Wednesday, July 31, 2013

Pelita Panjut: Bukan Sekadar Cahaya Malam Tujuh Likur (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelita panjut bukan sesuatu yang janggal dalam masyarakat Melayu, apatah lagi dalam suasana menjelang lebaran tidak berapa lama lagi. Pelita panjut ialah lampu-lampu bertenaga minyak yang diperbuat daripada pelbagai bahan seperti buluh, tin susu dan seumpamanya. Ia dipasang pada sebelah malam dan menceriakan suasana Malam Tujuh Likur.

Budaya ini dikatakan ada kaitan dengan kedatangan Malam Seribu Bulan ataupun Lailatulqadar. Bagaimanapun, ia bukanlah ajaran agama Islam. Sebaliknya, pemasangan pelita panjut ini lebih kepada budaya turun temurun masyarakat Melayu itu sendiri. Saya sendiri tidak pasti sejarah panjut tetapi pada hemat saya, ia tidaklah menjadi masalah kepada kita asalkan niat kita baik. Panjut dipasang bagi menceriakan malam lebaran dan memberi kegembiraan menyambut Syawal, terutama kanak-kanak.

Panjut daripada buluh
Saya masih ingat, ketika zaman kanak-kanak, pelita panjut dibuat sendiri. Anak kampung seperti saya tidak terkecuali. Saya dan adik beradik lelaki; Oun dan Sani, bekerjasama membuat pelita panjut. Kami akan mencari tin susu krimer kosong sebanyak mungkin.

Sesetengah rakan kami mendapatkan buluh di Kampung Permatang, bersebelahan kampung kami. Tapi itu agak berisiko. Kawasan hutan banyak bahayanya. Memikirkan itulah, kami lebih selesa mencari tin-tin susu Cap Junjung dengan gambar wanita Belanda menjunjung baldi berisi susu. 

Ayah biasanya memberikan sokongan di belakang. Misalnya, untuk membeli minyak tanah, kami akan dapatkan bantuan kewangan daripada ayah. Tin susu itu akan ditebuk di bahagian atasnya untuk dimasukkan sumbu daripada tali guni. Sani dan Oun juga membantu menyediakan tiang untuk menyangkutkan panjut apabila siap nanti. Pada sebelah malam, selepas berbuka puasa, kami akan cepat-cepat memasang pelita panjut, supaya suasana di rumah kami juga menarik seperti rumah jiran dan rakan lain. 
Memasang panjut memerlukan kreativiti-gambar hiasan

Usai bermain bunga api dan menikmati keindahan panjut di rumah sendiri, kami akan ke masjid untuk solat tarawih di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah. Panorama keindahan lampu panjut ketika melalui rumah jiran, menimbulkan keterujaan kepada kami. Pelita panjut biasanya bertahan hingga waktu bersahur, bergantung kepada jumlah minyak tanah.  Minyak tanah kami beli di kedai Chu Adam atau pun kedai Ah Kiau.  

kanak-kanak lebih teruja dengan pelita panjut
Dahulu, ada pertandingan panjut peringkat kampung. Seingat saya, kami tidak pernah menang pun, tapi itu bukanlah keutamaan. Apa yang penting adalah kami merasai keseronokan suasana hari raya. Semua kenangan ini amat menarik untuk saya kenangkan apabila meningkat dewasa.
pelita panjut plastik di rumah saya  :-)

Hari ini, pelita panjut melalui evolusi yang lebih menarik dan dikomersialkan. Saya  hanya membeli pelita panjut plastik yang hanya perlu diisi minyak sahaja. Minyak disel dijadikan pengganti kepada minyak tanah, kerana hari ini, minyak tanah sukar dicari.Anak-anak hari ini sudah tidak tahu sangat kehebatan pelita panjut daripada buluh, apatah lagi membuatnya.

Ramadhan bakal berakhir dan Syawal akan menjelang.
Entah bila kita akan bertemu Ramadhan lagi..

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...