Wednesday, May 11, 2016

CORETAN PENGALAMAN SEBAGAI GURU (SEMPENA HARI GURU 2016)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bukan semua orang ditakdirkan menjadi guru. Saya bersyukur kerana memiliki kerjaya ini dan saya akan jaga ia sebaik-baiknya. Kerjaya guru tidak menjadikan seseorang itu jutawan dunia, tapi dia boleh menjadi jutawan akhirat jika benar-benar menghayati falsafah tugas seorang guru. Guru,  sama seperti kerjaya lain menuntut komitmen yang tinggi. Adakalanya pedih juga telinga apabila mendengar suara sinis masyarakat yang menganggap kerjaya guru mudah dan banyak cuti. 

      Saya ingin bercerita kisah yang saya fikir seronok untuk dikongsikan di sini. Ia berkisar tentang kisah rokok. Saya memang tidak merokok. Memang arwah ayah mendidik kami anak-anak lelaki agar tidak merokok. Malah, ipar kami juga tidak merokok. Arwah mak cukup menyampah dan tidak redha jika kami adik beradik merokok. Alhamdulillah, berkat doa mak saya agaknya, hingga ke hari ini saya tidak merokok. Bukan tak pernah cuba, tapi dada saya seakan memberontak apabila saya cuba masukkan asap rokok ketika awal remaja dahulu. 


        Apabila ada pelajar saya yang merokok, saya menasihati mereka agar menjauhi tabiat ini. Selain daripada merosakkan kesihatan, ia juga perbuatan yang membazir. Malah, kebanyak perokok tidak menghormati privasi orang lain, Bagaimanapun, saya tidak ada masalah untuk berkawan dengan perokok, asalkan mereka menghormati pendirian saya. Inilah yang saya sentiasa ingatkan kepada pelajar. Satu hari, saya seperti biasa masuk ke sebuah kelas lalu menceritakan keburukan merokok sebelum memberi tugasan karangan. Saya tahu beberapa orang daripada mereka memang merokok. 

         "Perokok ni, bodoh.." Saya membuat provokasi kepada mereka .
         
        Ada yang tercengang mendengar ayat sinis itu. Ada juga yang tersenyum sumbing memandang rakan-rakan. Tidak kurang juga yang buat tidak kisah. 
         
         "Kamu tahu kenapa cikgu kata perokok ni bodoh?" Saya tanya kembali mereka.
         
          Semua diam, kalau ada pun yang bercakap antara dengar dengan tidak sahaja. 
         
          "Siapa tahu, mengapa cikgu kata perokok ni bodoh?"
      
      Kedengaran beberapa suara memberi pendapat. Antaranya adalah ia menghabiskan wang. Merokok membahayakan kesihatan dan seumpamanya. Memang itulah jawapannya. Memang itu juga yang saya inginkan. 

           " Apa yang kamu sebutkan tadi tu betul, Memang tepat dan tidak boleh dipertikaikan. Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1995 dah fatwakan bahawa merokok ini haram." Saya memberi hujah. Mereka berminat untuk mendengarnya. 

            "Manusia ini diberi akal untuk berfikir. Tapi perokok merosakkan akal mereka dengan memasukkan asap beracun ke dalam paru-paru."

Pelbagai hujah saya senaraikan dan ada juga sumbang saran daripada pelajar yang dijadikan isi karangan untuk tajuk pada hari tersebut, sempena Hari Tanpa Tembakau. Tetapi, merokok adalah satu tabiat buruk yang sukar dibuang. Cukuplah sekadar tidak merokok di sekolah. Itu pun satu kejayaan kepada kami untuk memberi teladan yang baik kepada pelajar. 





No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...