Wednesday, August 24, 2016

Penyakit AIDs dan Pencegahannya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Satu ketika dahulu, masyarakat dunia digemparkan dengan kematian Rock Hudson, artis Amerika yang mengakui dirinya dijangkiti virus HIV. Selang beberapa lama kemudian, artis terkenal itu maut akibat penyakit tersebut. 

Apakah HIV Dan AIDS? HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan penyakit AIDS. Ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan kanser. AIDS adalah singkatan bagi 'Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit' dan adalah peringkat terakhir jangkitan HIV. 

    Pada tahun 2003, terdapat 40 juta orang menghidap penyakit HIV/AIDS di seluruh dunia, di mana 5 juta orang baru dijangkiti manakala 3 juta maut. Ini membuktikan HIV berkembang dan jumlahnya tidak terbendung. Bagaimanakah HIV merebak? HIV mudah dijangkiti melalui cecair badan seperti darah, air mani, cecair faraj, susu ibu dan seumpamanya. HIV boleh merebak melalui hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut), perkongsian jarum dan alat suntikan dadah, pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV dan derma darah yang sudah tercemar. 

      Ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu. Bagaimanakah HIV tidak boleh merebak? Virus HIV adalah virus yang lemah, tidak bertahan diluar badan manusia. HIV tidak boleh dijangkiti melalui sentuhan seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan, memeluk atau bekerja dengan pesakit AIDS, berkongsi kemudahan awam seperti telefon awam, kolam renang, tandas dan pengangkutan awam, berkongsi perkakas atau makanan dengan seorang pesakit AIDS, bersin, batuk, berpeluh atau kencing. 

      Apakah tanda-tanda jangkitan HIV? Sebilangan pesakit mengalami gejala-gejala berikut dalam masa 2-6 minggu selepas dijangkiti kuman HIV, antaranya demam, sakit tekak dan batuk, sakit otot, sakit kepala, cirit-birit, bengkak kelenjar limfa, keletihan melampau, ruam dan sakit sendi seluruh badan, serta turun berat badan. 

      Pada peringkat awal, selalunya pesakit kelihatan sihat tetapi dirinya HIV positif. Walaupun pesakit tidak mempunyai tanda-tanda AIDS, tetapi ia boleh merebak dan menjangkiti orang lain. Apakah gejala-gejala jangkitan HIV? Pesakit HIV mudah untuk mendapat jangkitan kuman disebabkan sistem ketahanan badan lemah. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, gejala AIDS akan muncul dalam 8-10 tahun Gejala-gejala tersebut adalah seperti penyakit kulit dan jangkitan sistem pernafasan, cirit-birit yang kronik, jangkitan bakteria yang teruk dan batuk kering, jangkitan kuman pada otak (contohnya toxoplamosis), jangkitan kulat (contohnya candidiasis pada saluran makanan atau sistem pernafasan), kanser (contohnya Kaposi's sarcoma).

      Dalam masa 2 tahun, pesakit AIDS boleh dijangkiti jangkitan kuman yang teruk, susut berat badan dan lemah. Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada dijangkiti HIV? Ujian Antibodi HIV terdapat di mana-mana klinik atau hospital. Ujian segera ( keputusan selama 10 minit) juga boleh didapati. Maklumat individu akan dirahsiakan. Ibu mengandung yang mendapatkan pemeriksaan di klinik ibu mengandung akan menjalani ujian antibodi HIV. Kaunseling sebelum dan selepas menjalani ujian akan diberikan. 

   Dari segi rawatan, adakah ubat untuk menyembuhkan HIV/AIDS? Jawapannya, tidak sama sekali, masih tiada lagi ubat untuk merawati HIV/AIDS. Namun, penggunaan ubat anti-virus HIV dapat melambatkan proses penyakit ini. 

         Siapakah yang perlu dirawat dan di manakah seseorang perlu mendapatkan rawatan? Kebanyakan pesakit tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal kerana malu atau bersikap tidak ambil peduli. penyakit. Rawatan diberikan kepada pesakit-pesakit yang menunjukkan tanda-tanda bacaan CD4 kurang daripada 200 sel/ml. 

           Kerajaan menyediakan kombinasi 3 ubat anti-virus dikenali sebagai Highly Active Anti-Retroviral Therapy (HAART) secara percuma untuk pesakit kanak-kanak berumur kurang 12 tahun, pesakit yang dijangkiti HIV melalui pemindahan darah dan pemindahan organ, pesakit yang dijangkiti melalui pekerjaan, serta wanita yang disahkan positif untuk HIV melalui program pencegahan HIV ibu kepada anak. 

             Untuk pesakit-pesakit lain, kerajaan menyediakan 2 jenis ubat anti-virus secara percuma. Pesakit hanya perlu membeli 1 jenis ubat sahaja. Ubat anti-virus boleh didapati di hospital kerajaan dan klinik kesihatan terpilih. Rawatan HIV/AIDS juga termasuklah pencegahan dan rawatan untuk jangkitan oportunis (opportunistic infection), nasihat mengenai pemakanan berkhasiat, rawatan penyakit kelamin dan kaunseling ( perubatan dan psikologi) 

    Pencegahan Pencegahan dalam kalangan individu berisiko tinggi dan orang awam adalah penting disebabkan tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit AIDS dan begitu juga vaksin untuk mencegah HIV. Pencegahan daripada merebak melalui hubungan seks boleh dibuat dengan menjauhkan diri, daripada mengadakan hubungan seks pelbagai pasangan.  Setialah  kepada pasangan anda, dan amalkan hubungan seks selamat termasuk menggunakan kondom. Elakkan penagihan dadah terutama yang melibatkan jarum suntikan. Jangkitan melalui ibu kepada anak dapat dikurangkan dengan mengambil anti-virus sewaktu mengandung dan bersalin, manakala anggota-anggota pegawai kesihatan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan supaya dapat mengelakkan kecederaan disebabkan jarum dan alatan tajam. 

         Kesedaran akan pentingnya amalan gaya hidup sihat menjadi perisai yang padu untuk menghalang penularan penyakit HIV/Aids. Saban tahun, tarikh 1 Disember dipilih sebagai ulang tahun Hari Kesedaran HIV/Aids seluruh dunia.  Dengan kesedaran yang semakin berkembang, diharapkan gejala penularan wabak pembunuh ini dapat dikurangkan. Hakikatnya, pegangan agama Islam yang kuat dalam institusi keluarga dan masyarakat, juga mampu menjadi benteng penghalang wabak ini. 

Disesuaikan daripada sumber Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...