Thursday, January 19, 2017

POSKAD..

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila anak bongsu saya, Nuha meminta saya membelikan poskad untuk kerja bahasa Inggeris di sekolahnya, saya fikir ia satu permintaan yang biasa, dan mudah untuk saya uruskan. 

     Saya kemudiannya mencari poskad di kedai buku dan pasar raya sekitar Manjung. Malangnya ia sukar dicari. Sungguh. Rupanya poskad tidak lagi dijual di merata rata kedai seperti zaman saya remaja dahulu. Selama ini saya tak kisah pun dengan poskad sebab kini masyarakat lebih selesa bertanya khabar melalui media sosial.

   Saya mengimbau kenangan zaman remaja, ketika poskad dan aerogram (surat dilipat menjadi sampul) berada pada kemuncaknya. Ketika itu, surat kiriman dan kad (termasuk poskad) adalah medium utama untuk berhubung. Ia dianggap kemudahan yang murah biarpun lambat. Purata poskad mengambil masa tiga hari untuk sampai kepada penerima dalam negara, dan tiga hari lagi untuk mendapat balasan daripada penerima. Maknanya satu minggu masa untuk kitaran kiriman itu dilengkapkan. Jika poskad dikirimkan kepada sahabat pena luar negara, tempohnya lebih lama. 

   Satu daripada kegemaran saya adalah melukis kartun dan saya manfaatkan dengan menghasilkan kad serta poskad sendiri. Tambahan pula saya berasa lebih puas menghasilkan poskad berilustrasi kartun buatan sendiri. Ada rakan sekolah dan kolej yang mengupah saya melukis kad khas untuk mereka. Tentulah saya tidak menolaknya kerana selain mendapat upah, saya rasa bakat saya dihargai oleh rakan taulan. 

   Jadi, apabila Nuha ketiadaan poskad, saya membuat keputusan menghasilkan poskad khas untuknya. Namun, apabila dia membawanya ke sekolah, ramai pula rakannya yang berkenan dan saya terpaksa membuat beberapa keping poskad tambahan untuk mereka, dengan sedikit bayaran. 

   Malangnya, semua bayaran tersebut menjadi milik mutlak Nuha. Dia tersenyum dan gembira dengan 'hasil jualannya' memang untung besar. Tapi saya berasa puas kerana berasa bakat saya dihargai semula, biarpun oleh rakan-rakan anak saya.   

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...