Wednesday, January 11, 2017

ATIF FAIZI MENGHADIRI TEMUDUGA KE MTD

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Anak kedua saya, Atif Faizi sangat berminat dengan dunia ketenteraan. Selepas tamat PT3 2016, dia menyatakan minatnya untuk menyambung pelajaran di Maktab Tentera Diraja, sebuah sekolah elit khas untuk mereka yang cekal dan berjiwa kental. Bukan mudah untuk menyertai maktab elit ini, fikir saya. Namun saya menghormati keinginannya, dan sebagai bapa, tentulah saya memberikan sepenuh sokongan terhadap impiannya itu. Dengan susuk tubuh yang tinggi lampai, saya yakin Atif Faizi atau lebih mesra kami panggil dia Yang, mampu melalui temuduga MTD nanti. 

Apabila keputusan PT3 diumumkan, borang memohon masuk MTD secara online diisi. Dia dipanggil temuduga selama seminggu mulai 4 Januari hingga 10 Januari 2017. Awal pagi 4 Januari, kami bertiga: Saya, abangah (Afif Wajdiy) dan Atif  menyusuri lebuh raya yang sunyi ke Sungai Besi, Kuala Lumpur. 
Calon wajib bertali leher ketika hadir temuduga

Jumlah yang dipanggil mencecah lebih 900 orang

Calon dikumpulkan sebelum dibawa ke penginapan

MTD hanya khusus kepada pelajar lelaki lepasan tingkatan 3


Atif dan rakan-rakan yang sama-sama hadir temuduga

Kami menziarahi Kakyong di Dengkil
Kami tiba di Masjid Seri Petaling untuk solat subuh sebelum ke MTD yang terletak di Kem Tentera Sungai Besi. Kira-kira 7.30 pagi kami menjejakkan kaki buat kali pertama di blok baharu MTD yang serba indah. 

Saya bertemu dengan Mejar Norli, dan Encik Sharif yang merupakan tenaga penting dalam melaksanakan temuduga ini. Menurut Encik Sharif, lebih 900 orang dipanggil berdasarkan permohonan dan syarat kelayakan akademik, tetapi bukan semuanya hadir. Mereka pernah menerima sekitar 300 orang calon sedangkan tempat yang ditawarkan antara 200 - 250 orang. Lebih ramai calon, ia lebih kompetitif dan peluang untuk mendapat calon yang benar-benar layak lebih tinggi. Pelajar MTD dipanggil "BOY" layak menerima elaun khas RM100/sebulan di samping pakaian disediakan oleh pihak Kementerian Pertahanan.  Lebih menariknya, lepasan MTD yang mempunyai kelulusan akademik yang baik boleh menyambung pengajian peringkat tinggi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terletak bersebelahan dengan maktab.

Selesai di sana, kami tidak menunggu lama kerana esoknya saya kembali bekerja. Kami tinggalkan Atif Faizi dengan rakan-rakan baharunya, dan terus ke Dengkil menziarahi Kakyong di sana. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...