Sunday, October 28, 2018

CORETAN FINAL PIALA MALAYSIA 2018

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perak berjaya melangkah ke final Piala Malaysia selepas mengalahkan Sabah dengan agregat 7 - 2, manakala Terengganu menumpaskan juara bertahan JDT  dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Pada jam 9 malam 27 Oktober, saya memilih untuk menonton bersama komuniti Lekir di Pasar Tani Kekal FAMA Lekir, kerana ia menyediakan kemudahan dan skrin yang besar. Saya bawa juga pelajar lelaki asrama untuk merasai detik detik 'ala stadium'  di sana.

Tentunya di hati ada perasaan bercampur baur, kerana saya anak jati Perak, manakala Terengganu adalah negeri kedua saya. Setiap kali cuti, saya sekeluarga pasti balik ke Batu Rakit menziarahi mertua dan ipar duai.

Namun dalam final kali ini, saya memilih Perak sebagai juara dengan ramalan 2 - 0. Ramalan dan ilmu nujum saya, bagaimanapun tak kesampaian, apabila baru 46 saat perlawanan bermula, Terengganu sudah mendapat gol pertama hasil kesilapan pertahanan Perak.

Tamat babak pertama, Terengganu selesa dengan dua gol tanpa balas. Tidak cukup dengan itu, Perak bermain 10 orang kerana pemain import Perak Gilmar telah dibuang padang. Dalam hati saya berkata, sukar untuk Perak bangkit semula. Tapi tak mengapalah, sekadar tengok bola, ia tak menjadikan saya sakit hati melihat keputusannya nanti.

Babak kedua bermula, dengan gol pantas Perak memberi harapan untuk kembali bersaing. Pada penghujung masa kedua, memasuki masa kecederaan, tendangan dramatik Brendan Gan telah menceriakan Stadium Shah Alam dan penyokong Perak. Kedudukan terikat 2-2 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Terengganu sekali lagi mendahului dengan tendangan lencong pemainnya yang menggamatkan kem penyokong Terengganu. Saat itu, saya kira Perak cukup sekadar berpuas hati sebagai Naib Johan. Namun pada minit ke 120, memasuki masa kecederaan, tampanan pemain Terengganu ke gawang sendiri telah menghadiahkan gol penyamaan 3 - 3 untuk Perak mengheret permainan ke tendangan penalti.

Ia sangat dramatik, dan menghiburkan. Seperti yang kita maklum, Perak  memenangi Piala Malaysia kali ini setelah pengakhiran penalti berakhir dengan 4 - 1.

Perlawanan akhir kali ini benar benar satu ulangan pertarungan  klasik yang dramatik, seperti Perak mengalahkan Selangor pada perlawanan final Piala FA dahulu. Namun begitu ada juga kekasaran pemain kedua dua pasukan, dan sikap pengadil yang membuat beberapa keputusan yang kurang bijak juga menambahkan rencah perlawanan akhir ini, diingati sebagai antara yang terkesan di hati peminat bola sepak Bos Gaurus.

KEJOR YOP, KEJOR! 


Thursday, October 25, 2018

TANGISAN KEINSAFAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah menjadi rutin kami sebagai pentadbir, memanggil ibu bapa atau waris pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Ia juga menjadi satu peluang perbincangan antara waris dengan pihak sekolah. Kebiasaannya, pelajar yang terlibat akan berasa cuak, takut dan bimbang dengan kedatangan ibu bapa mereka ke sekolah.

Seorang pelajar yang kerap ponteng sekolah dan sudah menerima dua amaran, dipanggil warisnya datang bertemu saya. Dari jauh, kelibat pasangan suami isteri itu berwajah sugul, mungkin juga malu dengan tindakan anaknya yang menyebabkannya terpaksa hadir berjumpa saya. Jumlah tidak hadir sudah mencecah hampir 40 hari sejak Januari hingga Oktober. Jika dibiarkan, pasti pelajar itu akan dibuang sekolah satu hari nanti.

Saya berbual dengan ibu bapanya, sementara menanti anaknya datang ke pejabat. Kedua-duanya tidak menunjukkan rasa tidak puas hati kepada saya. Ini satu petanda bahawa mereka sedar kesalahan anak mereka, fikir saya.

Apabila anaknya masuk, saya bercakap dan memberi nasihat di hadapan ibu bapanya. Selesai saya 'berkhutbah' saya memintanya membaca ikrar di hadapan ibu bapanya, untuk tidak lagi mengulangi kesalahannya. Selepas itu, saya menyuruhnya bersalam, dan meminta maaf kepada kedua-duanya.

Pada waktu inilah, saya melihat air matanya jatuh. Dia menangis memohon maaf kepada ibu bapanya. Sungguh saya tak menjangkakan pelajar itu akan menumpahkan air matanya, kerana sebelum itu, dia kelihatan begitu ego dengan kesalahannya. 




Monday, October 15, 2018

BERUNTUNGLAH MEREKA YANG BERDAKWAH KE ARAH KEBAIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan agama. Menurut sebahagian ulama, tanpa amar ma’ruf nahi mungkar, syariat agama tidak akan lancar, bahkan para rasul diutus untuk mengajak umatnya kepada kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Tanpanya, kemungkaran akan bermaharajalela, kerosakan akhlak berada  di mana-mana, maksiat akan menjadi kebiasaan, yang akahirnya mengundang kemurkaan Allah.
Allah SWT berfirman:
وَلَقَد بَعَثنَا فِي كُلِّ أُمَّة رَّسُولًا أَنِ ٱعبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَ فَمِنهُم مَّن هَدَى ٱللَّهُ وَمِنهُم مَّن حَقَّت عَلَيهِ ٱلضَّلَٰلَةُ فَسِيرُواْ فِي ٱلأَرضِ فَٱنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلمُكَذِّبِينَ
Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (QS. An-Nahl: 36).
2. Amar ma’ruf nahi mungkar adalah salah satu sifat Rasulullah SAW yang disebutkan pada kitab-kitab terdahulu, sehingga melayakkan kita mencontohi akhlak baginda.
Allah berfirman:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكتُوبًا عِندَهُم فِي ٱلتَّورَىٰةِ وَٱلإِنجِيلِ يَأمُرُهُم بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَىٰهُم عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ ٱلخَبَٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَٱلأَغلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَت عَلَيهِم فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِي أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS. Al-A’raf: 157).
Amar makruf nahi mungkar adalah sifat dan ciri yang paling menonjol dari orang yang beriman, sifat inilah yang membezakan mereka dengan golongan yang lainnya.
Allah berfirman:
وَٱلمُؤمِنُونَ وَٱلمُؤمِنَٰتُ بَعضُهُم أَولِيَاءُ بَعض يَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ ٱللَّهُ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma´ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS. At-Taubah: 71).
Amar makruf nahi mungkar adalah peluang umat Nabi SAW mencari kejayaan akhirat, seperti  firman Allah SWT:
وَلتَكُن مِّنكُم أُمَّة يَدعُونَ إِلَى ٱلخَيرِ وَيَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali-Imran: 104).
Dengan adanya sifat amar makruf nahi mungkar, keamanan akan dapat dizahirkan, kemungkaran dapat dikurangkan dan azab Allah SWT dapat dihindari.

Kisah dalam AlQuran membuktikan azab Allah SWT berlaku kepada Bani Israil dahulu ketika mereka tidak mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Tsunami dan gempa bumi yang berlaku di Palu, Donggola di Sulawesi baru-baru ini adalah ulangan kepada peristiwa lampau yang tidak dijadikan panduan oleh manusia. 
Daripada artikel asal https://www.hisbah.net/pentingnya-amar-maruf-nahi-mungkar-dalam-islam/

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...