Wednesday, May 8, 2019

SELAMAT DATANG, RAMADHAN 1440 H


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Ahlan Wa Sahlan, Ya Ramadhan, Inilah bulan yang dijanjikan penuh keberkatan dan ganjaran pahala yang sangat dinanti-nantikan oleh hamba yang beriman kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud, “apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup semua pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan” (Riwayat Sahih Muslim).
perkataan Ramadhan bermaksud panas terik. Tempoh bulan Ramadhan sememangnya lebih panas daripada biasa. Ramadhan adalah bulan selepas Syaaban, iaitu bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah. Dalam bulan inilah Allah s.w.t. mewajibkan umat Islam yang mukalaf berpuasa di siang hari sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud, “Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu….” (surah Al-Baqarah, ayat 185)
Umat Islam harus merebut peluang yang ada dengan melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain amalan soleh dengan bersungguh-sungguh di samping memohon keampunan dan keredaan Allah, kerana kita belum tentu bertemu dengan Ramadhan tahun berikutnya, kecuali dengan izin Allah. Jika Ramadhan kali ini adalah yang terakhir untuk kita, wajarlah kita berusaha melakukan yang terbaik sebagai bekalan akhirat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

Seharusnya, pada bulan Ramadhan kita semakin cergas dan bertenaga untuk melaksanakan tugas menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, bukannya lemah dan lesu. Berpuasa tidak seharusnya menjadi penghalang tetapi seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih bermutu.
Oleh itu, rebutlah peluang dan gunakan masa yang ada dalam bulan Ramadhan untuk melakukan amal ibadah seolah-olah inilah Ramadhan yang terbaik dan terakhir untuk kita. Semoga Allah menjadikan kita insan yang bertakwa dan sentiasa berkasih sayang dalam rahmat Allah.
“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka menginginkan agar sepanjang setahun semuanya menjadi Ramadhan.” (Al-Hadis)
Selamat Beribadah Di Bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...