Tuesday, July 30, 2019

KUTU TANAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bagi kanak kanak kampung sehingga dekad 80-an, aktiviti 'memancing kutu tanah' adalah detik yang menyeronokkan. Ia sama seronok dengan aktiviti menangkap kumbang kayu denggunakan botol. 

Kutu tanah adalah sejenis serangga sebesar butir gandum yang bersarang di pasir halus. Sarangnya seakan akan lubang pada permukaan bulan, biasanya di kawasan redup seperti bawah rumah bertiang. 
Rupa fizikal kutu tanah, mirip hama yang biasa dlihat melalui mikroskop
Sarang kutu tanah biasanya dikawasan redup seperti bawah rumah bertiang tinggi

Anak anak saya mencuba aktiviti ini walaupun kekok pada awalnya

Benang sari bunga raya dijadikan joran

Wednesday, July 17, 2019

MALAYSIA MENJADI LONGGOKAN SAMPAH NEGARA MAJU?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam laporan BH baru-baru ini, Malaysia didakwa menjadi tempat lambakan sampah dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Sepanyol, Perancis, Jerman, Ireland dan Jepun.
Ini tentunya menyebabkan kita berasa marah, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. AS sahaja dikatakan menghantar hampir 50 peratus daripada keseluruhan sisa plastik yang dihasilkan di negara terbabit, belum lagi 32 negara lain yang dikira mempunyai longgokan sampah yang banyak untuk diterima di negara kita.
Lebih membimbangkan kita sebagai penduduk adalah kilang yang menerima sisa buangan ini kebanyakan beroperasi secara haram tanpa lesen selain mereka menggunakan alatan berteknologi rendah.
Kita tidak mahu amalan prosedur pelupusan sampah yang tidak mengikut standard nanti mengundang bahaya kepada negara terutama penduduknya.
Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor antara contoh sikap tidak bertanggungjawab sebilangan pengusaha yang membuang sisa kilang secara sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat.
Hari ini, China yang sudah 25 tahun menjadi destinasi sisa buangan dari seluruh dunia, sudah tidak berbuat demikian kerana menyedari masalah alam sekitar yang mereka hadapi.
Sudah pastinya kesediaan negara ini menerima sampah dari seluruh dunia mengundang persoalan tentang kemampuan pihak terbabit dalam mengekalkan kesihatan alam sekitar.
Memang benar industri kitar semula plastik terutama mampu memberi pulangan lumayan kepada negara. Namun kita tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab menerima sampah berkenaan, namun gagal melupuskannya dengan cara sepatutnya.
Sudah pastinya lama kelamaan, negara hanya menjadi ‘tong sampah’ kepada negara luar sebagai tempat untuk melupuskan sampah mereka.
Jika ditanya seluruh rakyat Malaysia, saya pasti ramai tidak mahu mengorbankan kesihatan alam sekitar yang dikecapi hanya semata-mata untuk memenuhi poket pihak tertentu.

Tuesday, July 9, 2019

TRIP CANDAT SOTONG KGKT SMKBS DI CENDERING

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


     Pada 5 Julai hingga 7 Julai 2019, seramai 14 orang guru dan staf sekolah menyertai trip mencandat sotong di Terengganu. Perancangan ini dibuat lebih awal iaitu selepas raya aidilfitri. Objektif trip program ini adalah mengukuhkan hubungan sesama ahli, di samping menimba pengalaman mencandat sotong.

   Setelah menempah bot candat dan sewa bilik di pelabuhan Cendering, kami bertolak dengan sebuah van dan  sebuah 
CRV melalui jalan Gerik-Jeli pada 4 petang Jumaat 5 Julai. Kami akhirnya selamat tiba di penginapan pada jam 2 pagi, Sabtu 6 Julai.

Selepas solat subuh, kami dapat melihat rutin nelayan Cendering di tempat pemunggahan ikan dari kapal yang baru tiba di jeti. Selepas bersarapan nasi dagang di gerai popular Kampung Atas Tol, kami dibawa ke Bengkel Pembuatan Kapal Tradisional di Pulau Kambing. 

Sempat juga kami ke Pasar Payang sebelum balik berehat untuk persediaan mencandat sotong bermula 5 petang.

Ustaz Imran bertindak sebagai chef memasak makanan, manakala yang lain berusaha mencandat sebanyak mungkin sotong di laut. Nasib tidak menyebelahi kami, sotong yang dicandat tidak begitu banyak, tetapi kami mendapat banyak ikan kerisi, mengkerong, alu-alu, dan kerapu. 

Dalam perjalanan pulang, kami melalui jalan Kenyir-Aring-Gua Musang. Ia menyajikan pandangan menarik kerana dapat menikmati panorama semulajadi hutan hujan yang indah dan damai. Kami juga berkesempatan mengelilingi tasik Kenyir dan melihat kemudahan di sekitar kawasan eko-pelancongan ini. Rumah rakit berharga antara RM1500 hingga RM3000 semalaman, boleh menempatkan antara 20 -25 orang dalam satu masa. 


#MABUK LAUT

Antara perkara yang membimbangkan saya adalah mabuk laut semasa di dalam bot. Ustaz Imran paling awal mengalami gejala mabuk laut, diikuti Zakuan. Alunan ombak tidak begitu besar, kerana cuaca agak baik, namun ia tetap menyukarkan kami yang rata rata tiada pengalaman mencandat sotong. 

#SOLAT ATAS BOT

Solat atas bot adalah satu pengalaman baharu. Ia sedikit menyukarkan kami, yang terpaksa mengimbangkan badan ketika berdiri betul dan membaca AlFatihah. Ketika rukuk dan sujud lebih mudah dilaksanakan. Namun begitu, kami tetap laksanakan kewajipan sebagai muslim. 

#ZAMAN MALAP PEMBUATAN KAPAL NELAYAN TRADISONAL

Kami berkesempatan bertemu Aki, pembuat kapal tradisional di Pulau Kambing. Menurutnya, pada era 70-an dan 80-an, ada hampir 35 buah bengkel membina kapal nelayan di sekitar Pulau Kambing. Hari ini, hanya tinggal 3 buah bengkel yang masih meneruskan pembinaan kapal. Antara puncanya adalah generasi muda kurang minat untuk terlibat dalam perusahaan ini. Selain itu, kos pembuatan kapal daripada kayu cengal adalah mahal dan mengambil masa sehingga 3 tahun untuk disiapkan.

#PULAU KAPAS

Kami mencandat sotong tidak jauh daripada perairan sekitar pulau Kapas, iaitu Taman Laut yang kaya dengan hidupan akuatik yang dilindungi. Pulau ini tidak boleh dimasuki oleh mana mana bot yang tiada permit khas. Selain itu, aktiviti memancing dan menangkap ikan sekitar pantainya adalah satu kesalahan. Ramai pelancong luar mengunjungi pulau ini untuk menikmati keindahan semulajadinya.

#TASIK KENYIR

Tasik berkeluasan sebesar negeri Perlis ini mampu menjadi tarikan pada masa hadapan, kerana keindahan kawasannya yang masih terpelihara. Kemudahannya rancak dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu, sesuai dengan statusnya sebagai kawasan bebas cukai. Namun begitu, saya optimis kawasan ini bakal menjadi tarikan utama pengunjung luar dan dalam negara dalam masa 5 tahun lagi.


Tim candat sotong SMKBS

menikmati ikan segar yang dimasak di atas bot

Penyerahan cenderahati kepada PokLah dan Pok Nasir tekong bot

Perjalanan menuju ke lokasi candat di perairan Terengganu

Bot candat agak selesa untuk kami

Thursday, July 4, 2019

CEKAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Luka akibat kuku menusuk daging, boleh mengakibatkan kesakitan pada jari kaki. Itulah yang saya alami minggu lalu. Bermula khamis 27 Jun, ibu jari kaki kanan sudah berasa bengkak. Pada Sabtu 29 Jun, saya ke PWTC untuk hadir mesyuarat ANGKASA seluruh negara. Turun naik anak tangga dengan berkasut akhirnya 'membuahkan' bengkak bernanah pada luka yang semakin parah. Pada Ahad 30 Jun, saya gagahkan diri ke dusun pakcik Yob Ibrahim mengutip durian sambil menjala di anak sungai belakang dusun.

Akhirnya, luka cekam semakin parah dan saya 'menyerah diri' ke klinik Lekir. Klinik dan hospital adalah dua tempat yang paling akhir saya singgah jika keadaan memerlukan. Pada Selasa 2 Julai, sehari selepas genapnya usia saya 48 tahun, kuku yang cekam dicabut juga.

Pembantu perubatan yang saya kenali, Fairol Rossi, seorang staf perubatan yang amat profesional. Dia memaklumkan setiap langkah yang bakal diambil, melalui prosedur yang tertib. Keliling ibu jari kaki kanan saya disuntik dengan ubat bius, kemudiannya dibiarkan seketika untuk membolehkan ubat tersebut meresap ke sel sel saraf. Dia kemudiannya menguji dengan menyentuh jari yang sakit. Apabila saya tidak lagi berasa sakit, bermakna ubat bius sudah mula bertindak terhadap bahagian jari.

Tempoh penyembuhan juga agak lama, saya dinasihatkan tidak berkasut untuk tempoh dua minggu, sehingga kuku baharu tumbuh. 
Mesyuarat Agung ANGKASA di PWTC

Menikmati durian di dusun Pak Yob Ibrahim Kg. Paya Lintah

Penderitaan cekam sampai penghujung

    


MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...