Tuesday, July 9, 2019

TRIP CANDAT SOTONG KGKT SMKBS DI CENDERING

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


     Pada 5 Julai hingga 7 Julai 2019, seramai 14 orang guru dan staf sekolah menyertai trip mencandat sotong di Terengganu. Perancangan ini dibuat lebih awal iaitu selepas raya aidilfitri. Objektif trip program ini adalah mengukuhkan hubungan sesama ahli, di samping menimba pengalaman mencandat sotong.

   Setelah menempah bot candat dan sewa bilik di pelabuhan Cendering, kami bertolak dengan sebuah van dan  sebuah 
CRV melalui jalan Gerik-Jeli pada 4 petang Jumaat 5 Julai. Kami akhirnya selamat tiba di penginapan pada jam 2 pagi, Sabtu 6 Julai.

Selepas solat subuh, kami dapat melihat rutin nelayan Cendering di tempat pemunggahan ikan dari kapal yang baru tiba di jeti. Selepas bersarapan nasi dagang di gerai popular Kampung Atas Tol, kami dibawa ke Bengkel Pembuatan Kapal Tradisional di Pulau Kambing. 

Sempat juga kami ke Pasar Payang sebelum balik berehat untuk persediaan mencandat sotong bermula 5 petang.

Ustaz Imran bertindak sebagai chef memasak makanan, manakala yang lain berusaha mencandat sebanyak mungkin sotong di laut. Nasib tidak menyebelahi kami, sotong yang dicandat tidak begitu banyak, tetapi kami mendapat banyak ikan kerisi, mengkerong, alu-alu, dan kerapu. 

Dalam perjalanan pulang, kami melalui jalan Kenyir-Aring-Gua Musang. Ia menyajikan pandangan menarik kerana dapat menikmati panorama semulajadi hutan hujan yang indah dan damai. Kami juga berkesempatan mengelilingi tasik Kenyir dan melihat kemudahan di sekitar kawasan eko-pelancongan ini. Rumah rakit berharga antara RM1500 hingga RM3000 semalaman, boleh menempatkan antara 20 -25 orang dalam satu masa. 


#MABUK LAUT

Antara perkara yang membimbangkan saya adalah mabuk laut semasa di dalam bot. Ustaz Imran paling awal mengalami gejala mabuk laut, diikuti Zakuan. Alunan ombak tidak begitu besar, kerana cuaca agak baik, namun ia tetap menyukarkan kami yang rata rata tiada pengalaman mencandat sotong. 

#SOLAT ATAS BOT

Solat atas bot adalah satu pengalaman baharu. Ia sedikit menyukarkan kami, yang terpaksa mengimbangkan badan ketika berdiri betul dan membaca AlFatihah. Ketika rukuk dan sujud lebih mudah dilaksanakan. Namun begitu, kami tetap laksanakan kewajipan sebagai muslim. 

#ZAMAN MALAP PEMBUATAN KAPAL NELAYAN TRADISONAL

Kami berkesempatan bertemu Aki, pembuat kapal tradisional di Pulau Kambing. Menurutnya, pada era 70-an dan 80-an, ada hampir 35 buah bengkel membina kapal nelayan di sekitar Pulau Kambing. Hari ini, hanya tinggal 3 buah bengkel yang masih meneruskan pembinaan kapal. Antara puncanya adalah generasi muda kurang minat untuk terlibat dalam perusahaan ini. Selain itu, kos pembuatan kapal daripada kayu cengal adalah mahal dan mengambil masa sehingga 3 tahun untuk disiapkan.

#PULAU KAPAS

Kami mencandat sotong tidak jauh daripada perairan sekitar pulau Kapas, iaitu Taman Laut yang kaya dengan hidupan akuatik yang dilindungi. Pulau ini tidak boleh dimasuki oleh mana mana bot yang tiada permit khas. Selain itu, aktiviti memancing dan menangkap ikan sekitar pantainya adalah satu kesalahan. Ramai pelancong luar mengunjungi pulau ini untuk menikmati keindahan semulajadinya.

#TASIK KENYIR

Tasik berkeluasan sebesar negeri Perlis ini mampu menjadi tarikan pada masa hadapan, kerana keindahan kawasannya yang masih terpelihara. Kemudahannya rancak dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu, sesuai dengan statusnya sebagai kawasan bebas cukai. Namun begitu, saya optimis kawasan ini bakal menjadi tarikan utama pengunjung luar dan dalam negara dalam masa 5 tahun lagi.


Tim candat sotong SMKBS

menikmati ikan segar yang dimasak di atas bot

Penyerahan cenderahati kepada PokLah dan Pok Nasir tekong bot

Perjalanan menuju ke lokasi candat di perairan Terengganu

Bot candat agak selesa untuk kami

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...