Tuesday, August 20, 2019

RIWAYAT NAFAS AKHIR UTUSAN MELAYU?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Minggu ini, negara dikejutkan dengan berita Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berikutan berdepan masalah kewangan ditambah dengan kegagalan untuk mencari pelabur bagi menyelamatkannya.

Syarikat akhbar berbahasa Melayu yang tertua di negara ini ditubuhkan pada 1939 dengan nama Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam tulisan Jawi. Ia telah beroperasi sejak 80 tahun lalu, dan tentu memberikan kesan emosi kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.


Pada 30 Jun, 2019 ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM261.61 juta. Ini bukan jumlah yang sedikit. Pada zaman pemerintahan BN, UMNO yang memiliki saham terbanyak akhbar ini masih boleh memberikannya talian hayat. Namun, situasi hari ini tidak memihak kepada Utusan. UMNO yang selama ini melindunginya, sudah menjadi pembangkang. Pendek kata, tanpa kuasa di tangan, UMNO tidak mampu mengubah nasib Utusan.  


Dalam maklum balas kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu dipetik sebagai berkata prestasi segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan semasanya telah merosot dan ahli lembaga tidak pasti bahawa kumpulan akan dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.


Disebabkan keputusan yang merosot, syarikat tersebut mengalami kekangan aliran tunai dan berusaha menangani isu itu dengan penjualan harta tanahnya.


Namun begitu, kemajuan penjualan itu terjejas teruk oleh sentimen pasaran perlahan, sekatan dan syarat pihak berkuasa relevan menyebabkannya gagal menyelesaikan isu aliran tunai dengan kadar segera. Adalah mustahil untuk lembaga pengarah meyakinkan pelabur berpotensi menyelamatkan perniagaan akhbar itu, kerana pihak berpotensi yang dikenal pasti enggan mengambil risiko disebabkan liabiliti besar syarikat.


Sejarah Utusan bermula di Queen Street, Singapura. Ia ditubuhkan oleh tokoh nasionalis Melayu Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura.


Ia kemudian memindahkan ibu pejabatnya ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur selepas merdeka pada 1958. Ketika konflik Malayan Union tahun 1946, Utusan Melayu memainkan peranan besar menaikkan semangat orang Melayu menentang gagasan tersebut.  Pada tahun 50-an, peristiwa Natrah, gadis Belanda yang menjadi anak angkat orang Melayu, mencetuskan konflik kaum yang buruk di Singapura, juga diberikan liputan meluas oleh akhbar ini. 

Hari ini, nasib Utusan Melayu, tidak ubah seperti tulisan Jawi yang ditolak oleh sebilangan rakyat negara ini. Barangkali, tidak sukar untuk kita memahami jatuh bangun akhbar ini dalam tempoh 80 tahun, akhirnya melambangkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...