Sunday, September 29, 2019

ADIB, PEMBUNUHANNYA DISAHKAN BENAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada 27 September 2019, mahkamah koroner memutuskan kematian anggota bomba dalam rusuhan kuil di Seafield November tahun 2018 adalah akibat pembunuhan oleh individu yang lebih daripada seorang.

Keputusan mahkamah tersebut sekaligus menolak keputusan Peguam Negara dan pihak kuil Maha Mariamman bahawa Muhammad Adib Mohd Kasim, 24 tahun, dilanggar ketika jentera bomba meninggalkan kawasan kuil tersebut.  

Beberapa pihak mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan kerana memfailkan afidavit bahawa arwah tidak dibunuh pada awalnya. Hal ini secara tidak langsung mencemarkan nama baik institusi perundangan Malaysia, khususnya jawatan Peguam Negara, satu jawatan yang sangat dihormati.
Saya bersetuju Tommy Thomas perlu melepaskan jawatannya demi menjaga kehormatan martabat jawatan itu lanjutan daripada tindakan subjudis peguam negara yang pandai menari itu yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib  semasa inkues sedang berlangsung.
Saya secara peribadi tidak merasakan Thomas tidak lagi layak sebagai Peguam Negara kerana tidak menghormati prinsip "Rule Of Law" apabila bertindak secara pilih kasih menggugurkan kes-kes melibatkan ‘banglo rasuah’ Lim Guan Eng dan isyarat lucah Siti Kasim.

Biarpun Adib tidak akan kembali ke dunia ini, kita boleh mengubah keadaan dan mengelakkan ia berulang, asalkan meletakkan keadilan di tempat yang betul. 

Friday, September 20, 2019

JEREBU MENGGANAS, RAKYAT LEMAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal September 2019, jerebu mula menjengah semula ke Malaysia. Jerebu atau senario asap dan partikel debu akbat pembakaran terbuka secara besar-besaran, telah mengakibatkan ruang udara negara Asia Tenggara terjejas teruk.

Pada Rabu 17 September, sekolah di daerah Manjung, Hilir Perak dan bagan Datuk telah diarahkan menutup operasi kerana bacaan IPU melebihi 200. Di Sarawak, beberapa daerah seperti Seri Aman mencatat IPU yang lebih tinggi. Di Selangor dan Kuala Lumpur, keadaan yang sama berlaku.

Ini semua dugaan Allah. Apa yang berlaku menuntut kita muhasabah diri, sejauh mana kita menjaga alam sekitar.

Hari ini, 19 September, hujan lebat di daerah Manjung dari awal pagi telah membantu mengurangkan kesan jerebu.
Alhamdulillah. 

Monday, September 16, 2019

Penyatuan Ummah-Pandangan Bekas Ketua Hakim Negara

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perasaan saya pada 14 September 2019, paling kurang, saya boleh senyum. Terima kasih kepada penganjur yang sudi menjemput saya dan menyewa ambulans untuk membawa saya ke PWTC.
Kembali kepada Piagam Muafakat Nasional. Saya tidak perlu mengulasnya. Apa yang dinyatakan adalah jelas.
Kita mesti ingat bahawa piagam ini adalah garis panduan bagi kerjasama antara UMNO dan PAS dan juga parti-parti lain yang sudi menyertainaya kelak. Kerjasama itu hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan dan untuk tujuan garis panduan itu. Wujudnya piagam itu tidak bererti kerjasama akan berjaya. Yang menentukan kejayaan atau kegagalannya, ialah apa yang dilakukan oleh parti-parti yang menyertainya.
Saya percaya jika kerjasama itu dilaksanakan dengan baik, ia akan memberi tamparan  hebat kepada PH, terutama sekali kepada Bersatu, Amanah dan PKR. Saya percaya akan berlaku tsunami patah balik (reverse tsunami) kepada muafakat perpaduan umah. Saya juga percaya majoriti pengundi-pengundi 18 hingga 21 tahun yang sebilangan besarnya adalah Melayu, tidak akan menyokong PH. Tindakan PH menurunkan umur kelayakan mengundi berdasarkan undian golongan muda dalam PRU 14, mungkin akan memakan diri.
PAS boleh dikatakan menandatangani piagam ini dengan kedudukan yang bersih dan kuat. Penyokong PAS akan mengikut arahan ketuanya. Pengundi-pengundi yang bukan ahli atau penyokong Pas tidak mempunyai sebab untuk tidak puas hati dengan adanya pemimpin-pemimpin tertentu sehingga mereka tidak mahu memberi undi mereka kepada muafakat itu.
Tetapi, kita tidak boleh berkata demikian mengenai UMNO. Banyak orang yang bersetuju menyokong muafakat itu, tetapi keberatan berbuat demikian kerana adanya pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka tidak sukai, di dalamnya. Mereka merasakan bahawa dengan adanya pemimpin-pemimpin itu, UMNO tidak berubah. UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin lama yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sedang menghadapi berbuluh-puluh pertuduhan. Mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin itu berkuasa semula.

Sunday, September 15, 2019

MERAIKAN TAMU SMK JENGKA 2 PAHANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kira kira 3 minggu lalu, Hajah Rohasliza Rashed, guru koperasi sekolah yang menguruskan pelancongan koperasi memaklumkan kepada saya, bahawa kami akan menerima tamu PKS iaitu SMK Jengka 2, Pahang yang dijadualkan pada 14-15 September ini.


 Perancangan dan jadual disusun agar tamu kali ini mendapat manfaat daripada program PKS. Kami menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk dikongsi bersama mereka. Antaranya adalah mencari kerang di pantai Tanjung Kepah, merebusnya dan makan di tepi laut. Ini dapat juga mempromosikan keindahan pantai Tanjung Kepah yang tidak diketahui ramai.

Selain itu, peserta diajarkan aktiviti mengadun, menguli dan memasak bubur masyarakat Melayu Banjar, iaitu Wadai Kepeng. Ia merupakan adunan gula, tepung, santan, garam dan gula melaka yang menjadi pilihan utama ketika majlis kenduri kahwin masyarakat Banjar sekitar Lekir.


Keesokan hari pada Ahad 15/9/2019, peserta dibawa ke pulau Pangkor untuk menikmati panorama indah pulan pelancongan yang terkenal itu.

Dengan adanya program PKS, ia menjadi satu landasan yang baik untuk 'Kemenjadian Murid', yang menjadi elemen utama TS25.
Tahniah kepada semua hos program PKS SMK Batu Sepuluh Lekir.

Friday, September 6, 2019

BUDAK LAUT PULAU PANGKOR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pulau Pangkor Perak sinonim dengan tempat pelancongan menarik bagi pelancong dalam dan luar negara. Dahulu, pulau ini adalah perkampungan nelayan pelbagai kaum dengan orang Melayu menjadi penduduk asal dengan loghat utara.

Kalau pelancong tempatan dan luar negara ke Pangkor, ia akan memulakan perjalanan feri di pekan Lumut. 

Feri kayu syarikat Min Lian Ferry Service menabur bakti membawa penduduk Pangkor dan pelancong dari Lumut ke pulau tersebut. Perjalanan antara 45 minit hingga sejam bergantung kepada keadaan laut. Feri akan singgah di perkampungan nelayan di Sungai Pinang Besar, sebelum tiba di jeti Pangkor. 

Di kedua dua hentian ini, ramai budak laut pulau Pangkor menunggu ketibaan  pelancong yang mencampakkan wang syiling 20 sen, 50 sen ke dalam air.  Mereka akan menyelam selepas satu hingga 5 saat selepas syiling dicampakkan ke dalam air, dan kembali timbul di permukaan air dengan syiling tersebut sudah berada di tangan mereka.

Kecekapan budak laut pulau Pangkor memang tidak dinafikan. Mereka mampu mendapat pendapatan sampingan dengan memperagakan kemahiran menyelam yang hebat. Rata rata mereka adalah anak nelayan tempatan yang sudah lali, dan biasa dengan laut. 

Hari ini, semua yang saya ceritakan sudah tidak lagi kelihatan di pulau peranginan ini. Budak laut pulau Pangkor hanyalah sebahagian daripada cebisan kenangan tahun 80-an.






Wednesday, September 4, 2019

KEMERDEKAAN: NIKMAT YANG HARUS DISYUKURI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Frasa Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih diangkat sebagai tema sambutan kemerdekaan ke 62. Ia sarat dengan mesej patriotik, dan kebersihan yang menjadi keutamaan kerajaan. 

Biarpun ada kalanya isu isu panas seperti perkauman dan agama mewarnai landskap politik negara, rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan yang wujud demi menunjukkan semangat cintakan tanah air yang bertuah ini. 

SMK Batu Sepuluh Lekir, turut menyertai rakyat Malaysia yang bangga dengan negara ini. Pelbagai aktiviti dan program diadakan, dengan tujuan menerapkan nilai-nilai murni seperti patriotik, bersyukur dan bangga kerana menjadi warganegara bumi berdaulat.

Selamat menyambut bulan kemerdekaan, semoga Malaysia yang kita sayangi ini, terus maju dan makmur. 






MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...