Wednesday, November 6, 2019

BASIKAL LAJAK: JANGAN TUNGGU TRAGEDI BERULANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Baru- baru ini, mahkamah membebaskan dan melepaskan tertuduh yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan 6 orang remaja yang terbunuh dalam tragedi basikal lajak pada 2017. (beritanya di sini).

Keputusan tersebut tentu mengecewakan keluarga mangsa, kerana seolah olah tiada keadilan buat anak mereka. Namun begitu, jika diimbas kembali tragedi tersebut, ia berlaku jam 3 pagi, di lebuh raya yang sepatutnya boleh dielakkan, sekiranya anak anak remaja berkenaan tidak berpeleseran di tempat yang berbahaya untuk mereka. 

Semasa kecil, saya dan adik beradik lain hanya boleh keluar sebelah siang, dan mesti berada di rumah menjelang maghrib. Kalau lewat pulang, pasti ada hukuman dikenakan. Itu jugalah yang saya terapkan kepada anak-anak. Namun begitu, tidak semua ibu bapa hari ini mampu mengawal anak anak mereka. Dengan ilmu keibubapaan yang terhad, ditambah pula kesibukan mencari rezeki siang malam, kasih sayang kepada anak anak terabai. 

Dalam kes basikal lajak, ibu bapa harus kembali kepada kaedah tradisi dalam mendidik anak-anak terutama di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Buatlah peraturan supaya mereka berada di rumah sebelum waktu maghrib bagi menentukan anak anak tidak terlibat dalam gejala tidak sihat seperti basikal lajak, merokok dan sebagainya.

Ibu bapa sekarang perlu kembali kepada kaedah warisan dalam mendidik anak seperti budaya menghormati orang tua, tidak keluar merayau ketika waktu Maghrib, solat secara berjemaah bersama keluarga, dan sebagainya. Tidak rugi pun jika kekalkan tradisi ini, demi memastikan anak anak kita selamat.  

Saya setuju dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, dengan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dunia hari ini semakin berubah, terutama dengan ada gajet elektronik seperti telefon pintar yang banyak mempengaruhi cara berfikir dan bertindak. Bagaimanapun, cadangan mengehadkan remaja keluar berpeleseran tanpa arah tujuan, boleh dipertimbangkan supaya tidak berulang tragedi basikal lajak.   

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...