Monday, March 30, 2020

BAS SEKOLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pengangkutan awam merupakan aspek penting dalam kehidupan, terutama bagi mereka yang memerlukannya pada setiap hari. Antara golongan yang sangat memerlukannya adalah pelajar sekolah dan pekerja.

     Bas sekolah sinonim dengan zaman persekolahan saya. Masih segar dalam ingatan, bas Sitiawan Transport Company (STC) berwarna hijau mengangkut murid sekolah dahulu. Selain itu, ada individu seperti Gopal dan Karan, yang menyediakan perkhidmatan bas menghantar murid ke sekolah sekitar daerah Manjung.

    Semasa di SK Teluk Muroh (kini SK Datuk Ishak, Lumut), saya dan rakan sekolah berulang alik menaiki bas STC. Kami menunggu seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah. Mak akan mengejutkan saya dan Yong sekitar jam 5 pagi, supaya dapat bersiap awal dan tidak ketinggalan bas. 

    Ketika itu, perkhidmatan bas awam menjadi lumrah dan perkara wajib untuk bergerak ke luar daripada kampung. Masyarakat kurang pilihan kerana jumlah pemilikan kenderaan sendiri agak terhad. Kereta hanya untuk orang yang berada. Memiliki motor sudah dikira hebat pada tahun 70-an hingga awal 80-an. Ayah membeli motorsikal pertama pada 1977, dan itulah yang menjadi kenderaan utama berulang alik kerja mencari rezeki menyara kami sekeluarga. Sebelum itu, ayah hanya mengayuh basikal ke Lumut dengan jarak 15 km sehala. Berbasikal adalah pemandangan biasa di jalan raya waktu itu.

    Apabila kereta pertama Proton Saga dikeluarkan oleh kerajaan pada 1985, persepsi rakyat terhadap pengangkutan awam semakin berubah. Ramai rakyat mula memilih untuk mempunyai kenderaan sendiri, lantaran kemampuan ekonomi yang semakin baik. 


 Namun saya masih berulang alik ke SMKAB dengan bas STC, kadangkala menaiki bas Karan. Jika naik bas STC, terminal utamanya tentulah stesen bas Sitiawan, berdekatan Wisma Ganda. Saya pernah berbasikal ke sekolah semasa di tingkatan 4, dan ia pengalaman yang sangat berharga. Disebabkan itulah, ayah berusaha tempatkan saya di asrama bagi memudahkan saya fokus pada SPM pada 1988. 

     Pada 1980-an, stesen STC menjadi pusat hentian penting kepada masyarakat. Platform terbuka, dengan kerusi disediakan di kawasan menunggu. Ada radiogram yang sering memainkan lagu lagu rock dan balada pilihan pengguna, dengan syarat pengguna perlu masukkan duit syiling untuk mendengar lagu yang dipilih. Ketika itu, stesen bas tersebut menjadi pusat anak muda dan remaja berkumpul, terutama pelajar sekolah daripada SMKAB, SMK Tok Perdana, SMK Methodist ACS dan seumpamanya. 

    Menjelang akhir 90-an, peranan stesen bas STC semakin ditelan kemajuan. Akibat kos operasi bas yang semakin meningkat, akhirnya legasi STC berakhir juga. Tapak stesen bas itu sudah dibangunkan sebagai pusat komersil menempatkan hotel dan rumah kedai. Hanya kenangan terpahat dalam minda kami yang pernah menggunakan perkhidmatannya.

     Apabila sistem pemilikan kenderaan persendirian berkembang pesat, pengangkutan awam tidak lagi menjadi pilihan utama. Perkhidmatan bas awam semakin kurang permintaan. Malahan hari ini, sukar melihat anak anak ke sekolah dengan basikal atau bas. Sebaliknya ramai yang disediakan motorsikal oleh ibu bapa walaupun tidak berlesen. 


Bas sekolah pula semakin kurang permintaan kerana kemampuan keluarga menghantar sendiri anak anak ke sekolah semakin bertambah.   

 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...