Friday, March 27, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (CMO) DI MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila China dilanda wabak Koronavirus, yang kemudiannya dikenali sebagai Covid-19, seluruh dunia terkejut. China kemudiannya telah membuat tindakan kawalan pergerakan yang ketat. Dalam masa yang sama, beberapa buah negara termasuk Malaysia, tidak begitu menekankan soal keselamatan apabila ribuan pelancong China masih dibenarkan masuk tanpa kawalan yang ketat.

Pada 17 Mac 2020, kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Seri Datuk Seri Muhyidin Yassin telah mengambil tindakan tegas mengetatkan kawalan buat pertama kali dalam sejarah negara selepas zaman darurat.

Ini berikutan wabak Covid-19 telah semakin merebak, bermula dengan jangkitan melalui jemaah tabligh yang berhimpun di Masjid Seri Petaling akhir Februari 2020. Majlis Fatwa Kebangsaan dengan persetujuan raja-raja Melayu memutuskan semua masjid dan surau ditutup daripada aktiviti solat jemaah, solat Jumaat dan kuliah agama. Kerajaan juga memutuskan cuti persekolahan dilanjutkan kepada 31 Mac 2020. Semua pejabat kerajaan, premis swasta dan institusi pengajian tinggi telah diarahkan tutup buat sementara waktu.

Saya dan keluarga pada waktu itu masih berada di Batu Rakit, menziarahi mertua yang uzur. Namun kami putuskan untuk pulang ke Perak pada Sabtu 21 Mac sehari sebelum PDRM dan ATM menguatkuasakan larangan pergerakan. 


Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung isu Covid-19 pada 16/3/2020 menetapkan kawalan sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. (akan dilanjutkan jika keadaan masih belum terkawal). Larangan termasuklah menyuraikan pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan. Hanya pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian dibuka dengan SOP yang ketat. 

Rakyat Malaysia tidak dibenarkan ke luar negara dan pelancong dihadkan ke negara ini. Bagi yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela selama 14 hari. Semua rakyat perlu akur untuk diam di rumah masing masing sepanjang tempoh tersebut. Semua taska, sekolah harian, sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan tinggi ditutup serta merta.

Keadaan ini tentulah suatu pengalaman baharu buat rakyat, apatah lagi ia tidak pernah dibuat pasca darurat dan merdeka. Pada awalnya pihak polis mengalami kesukaran memberi kefahaman kepada rakyat, namun menjelang akhir minggu pertama pelaksanaan, rakyat menerima hakikat kawalan ini perlu bagi memutuskan rangkaian penularan wabak tersebut. 

Kita perlu belajar daripada negara lain yang telah menghadapi kesan penularan wabak ini. Sehingga berita ini ditulis, China berjaya mengawalnya, manakala Itali paling teruk terjejas di Eropah. Kematian rakyat Itali akibat wabak Covid-19 mencecah 5000 orang, melebihi kadar kematian di China. Antara negara Eropah lain yang terjejas terus termasuklah Sepanyol, Jerman, United Kingdom dan seumpamanya.

Setakat hari ini, jumlah kematian di Malaysia akibat wabak ini mencecah angka 24 orang dengan kes melebihi 1100. Namun negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand turut bergelut dengan situasi yang sukar diramalkan.

Kepada Allah kita memohon, agar dipermudahkan urusan kerajaan dan barian hadapan Kementerian Kesihatan, ATM dan PDRM mengawal jangkitan wabak ini.
  


1 comment:

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...