Thursday, June 4, 2020

SUDAH 23 TAHUN RUPANYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berdua pada 1997, Alhamdulillah kini berlapan

Terbayang kali pertama kami bertemu di kursus kaunseling di sebuah hotel di Lumut Oktober 1995. Akhirnya termeterai ijabkabul saya dan isteri pada tanggal 4 Jun 1997, iaitu 23 tahun lalu.

Kami lalui kehidupan suami isteri yang adakalanya susah, senang. suka dan duka silih berganti. Pada 1998, lahirnya permata kami yang pertama, dinamakan Qatrunnada (Titisan Embun) dengan harapan ia menyejukkan pandangan, dan beroleh keberkatan hidup yang berpanjangan.

Pada 1999, lahir seorang putera yang kami namakan Afif Wajdiy (Yang Menjaga Maruah), diikuti Atif Faizi pada 2001 (Yang Pemberi Simpati), Aqil Najmi (Bintang Yang Berakal) pada 2002, Adil Hilmi (Yang Adil dan Sopan) pada 2004 dan diakhiri oleh Qasrinnuha (Mahligai Orang Berilmu) pada 2006.

Alhamdulillah kami bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya jika Allah menguji dengan kebaikan, terima dengan rasa syukur. Namun jika Allah uji dengan musibah, ia harus diterima dengan tabah dan sabar.

Kami memiliki rumah sendiri pada 2005, menunaikan umrah pada 2014, dan haji pada 2017. Kami diberikan banyak kesempatan dan nikmat yang tidak terkira banyaknya.

Namun ada juga peristiwa dalam hidup kami yang perit untuk ditelan. Lapan tahun selepas kami dijabkabulkan, mak pergi buat selama-lamanya. Dua tahun selepas itu, ayah menyusuli mak kembali kepada-Nya.  Abang sulung saya Azwadi Noor, lebih awal kembali pada Oktober 1997, kira-kira 4 bulan selepas kami berumahtangga.

Abang ipar yang saya sayangi, Wan Long meninggal dunia pada Mei 2015, diikuti oleh adik tersayang, Abdullah Sani pada Disember 2019 yang lalu.

Begitulah rencah hidup yang kadangkala selesa, adakala sebaliknya. Apa juga yang Allah tentukan, saya redha dan terima ia sebagai ujian daripada Allah. Kami bertekad untuk terus mengekalkan nikmat kebahagiaan sehingga dipisahkan oleh ajal. Doakan..  

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...