Monday, September 7, 2020

KONVOI MERDEKA SMKBS KE KUALA MU, SUNGAI SIPUT


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 5-6 September 2020, kelab Rider Santai SMKBS dan komuniti setempat seramai 23 orang telah mengadakan program LADAP konvoi merdeka ke Kuala Mu Sungai Siput.

Pada jam 8.30 pagi, kami memulakan perjalanan bermotosikal dari Lekir, menuju ke Manong, menyusuri Sungai Perak hingga ke Karai. Di Karai, kami menikmati keindahan sejarah iaitu Jambatan Victoria. Jambatan ini adalah tinggalan kolonial British yang  menjadi bukti pengangkutan bijih timah menggunakan kereta api satu ketika dahulu. Ia siap dibina pada 1900 dan berkhidmat sehingga tahun 2002. Kini tinggal bahagian jambatan sahaja yang masih ada.

Selepas Karai, kami menuju ke Kuala Mu. Ia adalah penempatan orang asli suku Temiar kedua terbesar di Malaysia selepas Gua Musang. Masyarakat orang asli suku Temiar tidak jauh bezanya dengan orang asli lain. Bahasanya sahaja yang agak berbeza. Namun peredaran masa mengubah kehidupan mereka daripada berpindah randah di hutan, kepada tinggal menetap.

Kami memunggah barang dan kelengkapan di chalet Dusun, sebelum memulakan program pertama. Pada jam 3.30 petang, kami mengadakan program kolaborasi bersama anak anak orang asli suku Temiar. Mereka diasingkan mengikut umur dan jantina. Cikgu Tajul Azmir mengendalikan ceramah kemerdekaan diselang-selikan dengan lagu patriotik, dan kuiz kemerdekaan.

Program ini mendapat sambutan hangat anak anak Kuala Mu, apatah lagi setiap kali berjaya menjawab soalan kuiz, mereka seronok  diberikan hadiah. Antara hadiah yang kami sediakan adalah biskut, alat tulis dan gula gula.  

Selepas solat maghrib, ustaz Junaidi menyampaikan kuliah. Pada sebelah malam, hujan mengiringi malam kami yang sejuk dan dingin malam berterusan hingga ke pagi esoknya. 

Pada Ahad, 6 September, kami mulakan ekspedisi meneroka Bukit Kapit pada jam 7.30 pagi. Asalnya, kami hanya dimaklumkan menuju air terjun yang cantik di hutan Kuala Mu. Sungguh... Tak terfikir langsung kami akan mendaki puncak bukit. Daripada 16 orang, akhirnya hanya 12 orang teruskan perjalanan mendaki bukit Kapit hingga ke puncak. Kami dipandu oleh Pandak dan Rasi, dua orang anak muda Temiar yang tahu selok-belok hutan sekitar kawasan Kuala Mu.
Pendaki paling senior, ustaz
Yasir Selamat
antara yang terawal tiba bersama cikgu Hazlisham dan Cikgu Zalani. Cikgu
Hazlisham Bin Haron
sentiasa beri semangat kepada rakan lain yang nampak seakan putus asa.
Satu ketika, kami kepenatan lalu mencadangkan satu kumpulan teruskan mendaki, manakala sebahagian lagi tunggu di kawasan jeram.
Namun begitu, perancangan Allah lebih baik. Akhirnya kami berjaya juga mendaki.Tahniah kepada semua yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak bukit Kapit, 909 meter.

Perjalanan pulang kami bermula jam 12.45 tengah hari. Kami solat zohor di Masjid Bawong, hadapan SMK Bawong yang menjadi asrama penuh pertama anak anak orang asli di Malaysia. Kami melalui pekan Kuala Kangsar, Manong terus menaiki lebuh raya menuju rumah masing masing. Syukurlah trip penanda aras kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.















 
.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...