Wednesday, October 14, 2020

RETORIK PEMIMPIN KALIS MASA HADAPAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam satu persidangan mesyuarat yang saya hadiri awal Oktober lalu, para perwakilan diberikan peluang untuk membuat pemilihan pucuk pimpinan. Lalu, saya dengan besar hati, bangun dan mencadangkan seorang rakan yang pada hemat saya, layak menerajui kepimpinan organisasi yang saya sertai. Beliau pada hemat saya lebih berpengalaman dan mempunyai aura sebagai pemimpin yang boleh melonjakkan kesatuan kami yang mempunyai lebih 200 orang ahli seluruh Perak. 

Ada juga calon lain dicadangkan, dan tiba-tiba perbincangan sebelum pengundian menjadi hangat. Rakan yang saya calonkan tadi akhirnya menarik diri, setelah mengambil kira kepentingan persefahaman dan mengendurkan keadaan yang tampak tegang.

Saya juga tidak menyangka sebuah organisasi yang profesional lagaknya, tidak melambangkan demokrasi yang sewajarnya. 

"Mengapa perlu buat pencalonan lain. Pemimpin sedia ada sudah mencukupi, kalau dia lepaskan jawatan, lantik sahaja timbalan menggantikannya. Tak perlu nak mengundi calon lain," kata seorang perwakilan wanita sambil mengerling ke arah saya.  

Setelah rakan tersebut menarik diri, saya tampil dan menjelaskan bahawa saya menerima penarikan dirinya daripada dicalonkan. Saya juga menjelaskan bahawa saya akur dengan keputusannya. Malangnya perbalahan yang berpunca daripada pemilihan jawatan tersebut tidak berakhir. Seorang rakan yang agak berusia telah bangun lalu menyindir dan memperlekehkan tindakan saya yang akur dengan situasi. Dengan nada perli dia menyatakan saya seorang yang tiada pendirian dan boleh mengubah keputusan dalam masa dua minit sahaja. 

Terkejut saya dengan sikapnya, yang sebelum ini saya hormati sebagai individu yang lebih tua daripada saya. Apa yang saya lakukan adalah memberi cadangan dalam mesyuarat, dan ia belum lagi diputuskan dalam pengundian. Malangnya, tindakan saya dianggap tidak sesuai dan menimbulkan polemik. 

Saya belajar sesuatu daripada apa yang berlaku. Pertama, dalam organisasi tersebut, tidak perlu beri pilihan kepada perwakilan memilih peneraju kepimpinan. Cukup sekadar menerima siapa sahaja yang sudah ditetapkan. Kedua, slogan yang memenuhi tema persidangan sebenarnya sekadar satu 'tagline' mempamerkan kehebatan luaran sahaja. Tidak lebih daripada itu. Ketiga, jangan cuba menunjuk-nunjuk keupayaan anda, sebab akhirnya memakan diri. 

Hakikatnya, kewibawaan pemimpin yang kalis masa hadapan, boleh dipersoalkan dengan tindakan tidak demokratik dan kurang wibawa dalam menguruskan organisasi. 

       

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, ...