Thursday, October 15, 2020

MEMBINA PASUKAN BEKERJA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Koloni serangga kecil seperti semut, adalah satu contoh kejayaan dalam sebuah organisasi. Kepentingan aspek kepimpinan dalam koloni semut diterajui oleh permaisuri, semut tentera dan semut pekerja. Pertahanan sarang diuruskan oleh semut tentera, manakala semut pekerja mencari makanan dan menyediakan keperluan domestik. Setiap ekor semut mengamalkan kerja berpasukan bagi memastikan kelangsungan hidup koloni mereka. Permaisuri pula berperanan menghasilkan telur yang memberi survival kepada generasi semut baharu bagi meneruskan kelangsungan baka semut.

 

Dengan mengambil kira koloni semut, begitulah juga kemenjadian sesebuah organisasi. Bagi pentadbir sekolah, kerja berpasukan merupakan kunci ke arah kejayaan dalam pengurusan. Seorang pengetua, mestilah mempunyai upaya dan daya mengawal organisasi, sama ada guru, staf sokongan dan murid (Khuzaimah Sulaiman, 2015). Ini membuktikan pengetua atau guru besar yang kompeten akan merangsang organisasi membentuk satu pasukan yang kuat.

 

Sekiranya ketua gagal memastikan pengurusan organisasi berjalan lancar, ia memberi kesan langsung kepada organisasi. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, Wan Zahid (1994, dalam Nota Kuliah IAB, NPQEL Ambilan 1/2016) telah menekankan untuk merealisasikan Wawasan Pendidikan Negara sejajar dengan Wawasan 2020, pemimpin pendidikan perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, sahsiah dan akhlak yang baik, serta keberanian mencuba dan mengambil risiko. Ini bermakna kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat dengan tingkah laku kepemimpinan pengetua. Kerjasama daripada kakitangan yang bertanggungjawab amat bergantung kepada interaksi positif antara pengetua dengan kakitangan sekolah. Ini bertepatan dengan kenyataan bahawa hubungan positif antara pengetua dengan guru-guru telah memberi impak yang besar kepada prestasi, kepuasan kerja dan komitmen guru di sesebuah sekolah.

 

Rumusannya, kemahiran kerja berpasukan melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya untuk mencapai matlamat yang sama.  Aspek  pembinaan hubungan baik, dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama, mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain, memberi sumbangan kepada perancangan dan menyelaraskan hasil usaha kumpulan, adalah manifestasi rasa bertanggungjawab terhadap kepentingan pasukan.

 

HALANGAN KERJA BERPASUKAN

 

Dalam sesebuah organisasi, kerja sepasukan adalah kunci kepada kemantapan organisasi. Hubungan muafakat antara ketua jabatan dan staf bawahan membentuk kerja sepasukan yang kukuh. Antara halangan yang menggagalkan kerja sepasukan adalah percanggahan idea. Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Bagaimanapun percanggahan idea yang tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terjejas jika percanggahan pandangan dibiarkan berlarutan.  Jika pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari. Fasa ini amat penting  terutama jika pasukan tersebut mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan tugas dengan teguh dan berkeyakinan tinggi.

Faktor seterusnya adalah norma atau peraturan. Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara harmoni, dan bersetuju terhadap nilai dan peraturan pasukan. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak supaya ahli pasukan mengambil tanggungjawab terhadap risiko yang mungkin terjadi.  Jika norma dan peraturan lama menjadi panduan, pasukan mungkin menjadi santai dan mereka kehilangan daya kreativiti serta daya usaha yang akhirnya menggagalkan matlamat organisasi.

Faktor berikutnya adalah pelaksanaan. Tidak semua pasukan akan mencapai tahap pelaksanaan yang sempurna. Pasukan yang berjaya  menjalankan tugas adalah organisasi yang mempunyai keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya saing. Keputusan dibuat secara kolektif tanpa tekanan dan sikap bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi antara ahli pasukan. Pelaksanaan yang sempurna hanya berlaku apabila ada pemantauan berterusan daripada pentadbir. Tanpa elemen pemantauan, program yang baik pun tidak akan berjaya mencapai matlamat dalam organisasi.

 

 

FASA MEMBENTUK PASUKAN BEKERJA

Ada beberapa fasa dalam membentuk pasukan bekerja yang berkesan. Ini adalah sebagai satu panduan seperti yang dinyatakan oleh Bruce Tuckman (1965).

 

1.    FORMING/ MEMBENTUK

Pada peringkat ini, kebanyakan ahli pasukan bersikap positif dan sopan. Ada yang merasa cemas, kerana mereka belum sepenuhnya memahami apa yang akan dilakukan oleh pasukan. Yang lain hanya gembira dengan tugas yang akan datang.

Sebagai pemimpin, PGB memainkan peranan yang dominan pada tahap ini, kerana peranan dan tanggungjawab anggota pasukan tidak jelas. Tahap ini dapat berlangsung selama beberapa waktu, ketika ahli pasukan mulai bekerja sama, dan ketika mereka berusaha untuk mengenali rakan baru mereka. Mesyuarat pengurusan dan mesyuarat panitia, mampu membantu mempercepatkan proses ini.

 

2.    STORMING/MENCAMBAH

Pasukan cuba menangani tugasan pekerjaan dengan mencadangkan idea-idea. Akan tetapi percanggahan idea akan berlaku pada peringkat ini. Jika fasa ini tidak dikendali dengan baik, ia akan melumpuhkan kerja berpasukan. Perhubungan antara pasukan akan terbentuk atau menjadi renggang dalam fasa ini.

       Jika pasukan terlebih fokus untuk mendapatkan persetujuan semua, pasukan mungkin akan memilih jalan atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan. Amatlah penting jika pada fasa ini, pasukan mempunyai pemimpin yang boleh menjalankan pekerjaan dengan teguh dan kuat. Konflik gaya kerja semula jadi ahli pasukan boleh menjadi alasan kepada kegagalan kerja berpasukan,  malah mereka mungkin akan kecewa. Sebagai contoh, ahli pasukan boleh mencabar kewibawaan kita sebagai pemimpin untuk melobi kedudukan. Ada juga  yang berasa terbeban dengan tugas atau mungkin tidak selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh ketua.

 

3.    NORMING/NORMA

Dalam fasa ini ahli pasukan bergerak ke arah bekerja secara harmoni. Dalam situasi yang terbaik, pasukan boleh bertindak tegas supaya ahli pasukan lebih bertanggungjawab. Risiko yang mungkin berlaku adalah pasukan mungkin menjadi tenang dan kehilangan daya kreativiti. Ini memerlukan inspirasi berterusan melalui usaha menyelesaikan perbezaan pandangan, menghargai kekuatan rakan sekerja, dan menghormati kewibawaan anda sebagai pemimpin.

 

4.    PERFORMING/MENJALANKAN

Tidak semua pasukan akan mencapai tahap ini. Pasukan dapat  menjalankan tugas jika mereka ada keupayaan bekerja sendiri, bermotivasi, berilmu dan berdaya boleh. Keputusan dibuat secara kolaboratif dan sikap bertoleransi diamalkan kerana wujud sikap saling hormat menghormati dalam komunikasi berkesan  wujud antara ahli pasukan.

 

 

5.    ADJOURNING & TRANSFORMING/ PENAMATAN

Ini adalah fasa terakhir yang ditambah oleh Tuckman untuk meliputi penamatan projek dan pembubaran kerja berpasukan. Pasukan boleh kembali ke mana-mana fasa dalam model ini jika mereka mengalami perubahan seperti melihat semula matlamat projek atau perubahan ahli pasukan. Dalam pasukan yang berjaya, apabila seseorang ahli pasukan meninggalkan pasukan dan ahli baru masuk, pasukan biasanya akan ke fasa forming (pembentukan) semula.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kepimpinan PGB memainkan peranan penting menjayakan pasukan bekerja di sekolah. Pasukan pengurusan yang terdiri daripada pengetua, penolong kanan dan guru kanan harus mempunyai hala tuju dan tindakan secara bersama. Pemimpin pertengahan lain seperti ketua panitia, setiausaha unit dan seumpamanya berperanan menyokong dasar sekolah dan bersatu  memastikan matlamat sekolah dapat dicapai.

 

RUJUKAN

Abd. Ghafar Mahmud. (2011). Haluan Kerja Pendidikan Merealisasi Agenda Transformasi Negara. Selangor: Cepat Cetak Sdn Bhd.

Ainon Mohd. (2007).Teori dan Teknik Kepimpinan, Panduan Aplikasi Di Tempat Kerja. Kuala Lumpur:  PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. 

Institut Aminuddin Baki. (2013). Buku Panduan PrOD. Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands

Institut Aminuddin Baki. (2016). Nota kuliah modul 1. Institut Aminuddin Baki: Genting Highlands

Khuzaimah Sulaiman. (2015). Guru Biasa Yang Luar Biasa. Bangi. Nuun Creative Books

 

Artikel ini dipilih untuk dimuatkan dalam Buletin MPSM sempena Persidangan MPSM Perak di Putrajaya pada -7 Oktober 2020

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, ...