Monday, June 28, 2021

PAK ANJANG JURI YANG DISAYANGI TELAH KEMBALI KEPADA-NYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zamhuri Mohd Husin, atau lebih mesra kami panggil sebagai Pak Anjang Juri adalah adik lelaki arwah bonda saya.  Adik beradik mak ada 7 orang; Hasil perkahwinan atuk (Md Husin)  dan opah (Sofiah), lahirlah Makco Puteh,  Makngah Rajmah, bonda saya (Aminah), Pak Uda Bohari, Mak Andak Mi, Pak Anjang Juri dan yang bongsu, Pakcik Endan.   

                      Pak Anjang Juri 

Pak Anjang Juri bersara sebagai penolong penguasa kanan kastam di Perlis, dan mempunyai 6 orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Hajah Ramlah, suri hatinya. 

Hubungan Pak Anjang dengan kami anak anak saudaranya sememangnya rapat. Adakala kami bergurau senda bagaikan rakan. Namun statusnya sebagai bapa saudara tetap dihormati. 

Semasa kecil dahulu Pak Anjang bawa saya dan beberapa orang sepupu naik kereta Mazda 323, yang dibelinya. Zaman 70-an menaiki kereta adalah pengalaman yang jarang dinikmati oleh anak kampung seperti saya. Betapa seronoknya saya ketika itu dapat naik kereta pusing kampung Bharu. Ketika majlis pertunangan saya di Terengganu pada tahun 1996, Pak Anjang bersama keluarganya turut serta memberi sokongan. Manakala pakcik Endan pula bertindak sebagai jurucakap pihak lelaki. Begitulah antara kenangan bersama Pak Anjang dan pakcik Endan. 

Pak Anjang kerap berpindah tempat bertugas, sesuai dengan keperluan sebagai anggota kastam. Antara tempat bertugasnya di Port Dickson, Klang, Brickfileds, Kuala Lumpur dan Kuala Perlis. 

Ketika belajar di UPM Serdang, ada juga saya singgah bermalam di rumah Pak Anjang di Kampung Kastam Brickfields. Saya juga parkir kereta di rumahnya di kuates kastam Kuala Perlis semasa berkursus di Langkawi beberapa tahun lalu. Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, Pak Anjang kembali ke daerah Manjung. 

Pada tahun 2020, Makco kakak Pak Anjang kembali ke rahmatullah. Ketika di majlis pengebumiannya, Pak Anjang berbisik kepada saya, "Pak Anjang ni, tunggu masa je.." 

Sedih ayatnya tapi saya memahami apa yang Pak Anjang maksudkan. Satu demi satu adik beradiknya pergi tak kembali. Malah adiknya yang lebih muda iaitu pakcik Endan telah meninggal dunia pada 2013. Sudah tentu Pak Anjang menerima hakikat masa untuknya akan tiba jua.
                                  
      Pak Anjang menerima rawatan

Pak Anjang sudah menjangkau usia 71 tahun dan semakin banyak mengalami komplikasi keuzuran. Sakit kaki, lutut, buah pinggang dan jantung memaksa Pak Anjang kerap berulang alik ke hospital mendapatkan rawatan. Apabila kami menziarahinya, dia gagahkan diri melayani kedatangan para tamu. Seronok benar Pak Anjang kalau ada yang berkunjung ke rumahnya. 

Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara, mengehadkan banyak perkara. Saya dapat mengunjungi Pak Anjang ketika hari raya pertama pada 13 Mei lalu. Saya datang bersendirian dengan motosikal, sebab memudahkan pergerakan. Banyak yang saya dan Pak Anjang sembangkan. Pak Anjang tunjukkan tapak dialisis di tangannya. Di badannya kelihatan tompokan lebam kerana kesan dialisis mencuci buah pinggangnya. Rupanya itulah kunjungan terakhir saya kepadanya.  

Pada 26 Jun kami dikhabarkan Pak Anjang jatuh ketika berada di rumahnya. Pak Anjang dimasukkan ke wad di Hospital Seri Manjung oleh anaknya Zaimi kerana kondisinya lemah dan memerlukan pemantauan doktor.
                                                           
        Nesan Pakcik Endan (tanda merah) dan nesan opah (biru)

Semalam, Ahad 27 Jun 2021, kami mendapat perkhabaran, Pak Anjang yang disayangi pergi buat selama-lamanya setelah jantungnya terhenti berdegup kira-kira jam 10 pagi. Selepas solat Asar, jenazah bapa saudara saya selamat disemadikan di perkuburan Kampung Bharu, Lumut. Pusaranya berdekatan kubur opah dan pakcik Endan. 

Berakhirlah sudah hidup Pak Anjang yang baik budi, namun nasihat dan kata katanya masih terngiang-ngiang dalam ingatan. 

Semoga Allah menerima amal ibadahnya, dan merahmati roh ZAMHURI bin MOHD HUSIN. Aminnnn    


3 comments:

  1. betui nyah..pak anjang ni kuat bergurau.., bila raya ..dia tunjuk gambar adik beradik dia yg 7 org..yg meninggal semua dah pangkah..tinggal la dia dgn mak andak.. pak anjang mmg bnyak jasanya kat kita..kereta pertama yg dibelinya kereta MAZDA 323 nyah..mmg rare kete tu sbb model hatchback..ramai anak sedara naik kereta dia.
    terterhitung jasanya..sbb oun kawen pun dia ada menghantar jugak..walaupun jauh..zaman belajar kat utm dulu pun ada la duduk menumpang kat rumah dia..
    semoga amalan baiknya diterima Allah..
    "damailah pak anjang di sana..."

    ReplyDelete
  2. Allah..sedih bada membacanya ein...bada rapat sangat masa dok di um dulu. Masa buat dip ed bada duduk di bricfields kat kuarters kastam tu....rumah arwah..skrg ni dah jadi kl sentral. Arwah n famili mmg tak berkira..layan bada mcm keluarga sendiri....kalau balik kg...bada ikut..sempit dalam keta pun dia ajak jugak....kita doakan mak anjang dan anak2 diberi kekuatan untuk menghadapi kehilangan ini. ya Allah ampuni la dosa2 arwah pak anjang juri...arwah sangat baik dengan kami semua...

    ReplyDelete
  3. Sedihnya membaca coretan seorang anak sedara yang begitu menyayangi insan yang banyak berjasa kepada diri dan keluarganya. Memori terindah ini akan dikenang sepanjang zaman. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham.....

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...