Saturday, August 28, 2021

KISAH MIMPI BUDAK ROKET HOMER HICKAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Homer Hickam, seorang anak remaja kepada pelombong arang batu, mendapat inspirasi untuk membina roket ketika mendengar tentang satelit buatan pertama Sputnik dilancarkan ke angkasa. Ketika itu, era perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union mewarnai lanskap politik dunia. 

Kejayaan roket USSR melancarkan satelit pertama memberikan tamparan kepada pentadbiran Amerika Syarikat yang dilihat ketinggalan dalam perlumbaan angkasa lepas.
 
Walaupun mendapat tentangan ayahnya yang ingin dia bekerja sebagai  pelombong arang batu, Hickam dan rakan-rakannya berusaha membuat roket amatur, mengambil bahagian dalam pertandingan pameran sains nasional 1960, sehingga memenangi pingat emas dan perak.

Homer pernah berkhidmat sebagai leftenan pertama di Bahagian Infantri ke-4 Tentera Darat AS dari tahun 1967 hingga 1968 semasa Perang Vietnam dan dianugerahkan Pingat Tentera Darat dan Pingat Bintang Gangsa.

Selepas tamat perkhidmatan, Hickam bekerja untuk Komando Penerbangan dan Komando Latihan Tentera di Jerman.

Dia kemudian bergabung dengan NASA sebagai jurutera aeroangkasa di Marshall Space Flight Center, Alabama.

Kepakarannya di NASA termasuk melatih angkasawan dalam hal muatan sains dan aktiviti luar kenderaan (EVA).

Sebelum bersara dari NASA pada tahun 1998, Hickam adalah pengurus latihan muatan untuk Program Stesen Angkasa Antarabangsa. Pada usia 77 tahun, Homer Hickam menjadi ahli kumpulan penasihat Majlis Angkasa Negara. 

Beliau mempunyai hobi yang unik, iaitu sangat suka membaca. Semasa zaman persekolahan, dia mempunyai guru hebat yang memotivasikannya untuk belajar dan menjaga disiplin di dalam kelas.

Walaupun tinggal di bandar Coalwood yang terpencil dan kecil, Homer dapat memahami banyak perkara kerana suka membaca dan sokongan sekelilingnya.

Buku pertamanya diterbitkan pada tahun 1989, "Torpedo Junction" bukan fiksyen mengenai pertempuran Amerika menentang kapal-kapal Jerman semasa Perang Dunia II.

Hickam tinggal di Jepun selama setahun dan melatih angkasawan Jepun pertama untuk misi STS-47 / Spacelab-J. Selepas itu, beliau mengusahakan program Stesen Angkasa Lepas (ISS)  sehingga dapat menyiapkan buku yang seterusnya, "Rocket Boys", yang kemudian dijadikan filem Oktober Sky (1999).

Pada tahun 1999, beliau bersara dari NASA dan memulakan kerjaya yang panjang sebagai pengarang yang berterusan hingga kini.

Apakah pengajarannya kepada kita?


Thursday, August 19, 2021

PRABOWO SUBIANTO: SETERU POLITIK JOKOWI YANG BERJIWA BESAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Prabowo Subianto juga adalah menantu Soeharto


Joko Widodo, Presiden Indonesia telah dilantik ke jawatan tersebut sejak 2014. Beliau mengalahkan pesaingnya dalam pilihanraya presiden, Prabowo Subianto. Selepas tamat penggal pertamanya, beliau bertanding lagi pada 2019.
Apabila keputusan Pilpres 2019 (Pilihanraya Presiden) Indonesia diumumkan, Joko Widodo (Pak Jokowi) memenanginya dan kekal menjadi presiden negara yang mempunyai jumlah penganut Islam teramai di dunia itu.
Pesaing beliau dalam Pilpres 2019, masih lagi Prabowo Subianto, nama besar mantan Jeneral TNI dan tokoh politik yang tidak kurang hebatnya. Kekalahan Prabowo membawa kepada ketidakstabilan politik dan berlaku beberapa rusuhan di ibu kota Jakarta dan kawasan lain.
Selepas Pilpres berakhir, Jokowi melantik beberapa orang ahli politik daripada pelbagai latar belakang, menjadi anggota kabinetnya. Mengejutkan apabila Prabowo yang menjadi lawannya dalam Pilpres, ditawarkan untuk menjawat jawatan menteri pertahanan, satu posisi penting dalam cabang kabinet Indonesia.
Lebih mengejutkan lagi, Prabowo menerima tawarannya walaupun tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pengikutnya.
Prabowo dalam satu wawancara, selepas majlis pembentukan kabinet baharu, berkata bahawa keputusan Pilpres sudah dibuat oleh rakyat, dan beliau mengajak penyokongnya memastikan Indonesia terus mara ke hadapan dalam pelbagai bidang.

AHLI POLITIK MALAYSIA YANG GILA KUASA, PERLU BELAJAR SESUATU DARIPADA JIWA BESAR PRABOWO SUBIANTO, PESAING CALON PRESIDEN INDONESIA.

Wednesday, August 11, 2021

PHIONA MUTESI: GADIS MISKIN YANG MENJADI PUTERI CATUR UGANDA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Phiona Mutesi, tidak asing dalam pertandingan catur antarabangsa. Kisah inspirasi gadis miskin di Uganda ini, akhirnya telah mencipta nama besar dalam sukan catur.

Mutesi dilahirkan dan dibesarkan di daerah miskin di Katwe, di negeri Kampala, Uganda. Ketika kecil, Mutesi kehilangan ayahnya akibat virus AIDS. Kemiskinan keluarga menyebabkan Mutesi berhenti sekolah semasa berusia 9 tahun.

Mutesi membantu keluarga dengan menjual jagung di tepi jalan. Suatu hari ketika mengikut abangnya, dia tertarik dengan sejenis permainan yang tidak pernah dilihatnya. Ia adalah permainan catur, dikendalikan oleh Sports Outreach Institute, sebuah organisasi mubaligh Kristian yang aktif.

Robert Katende, seorang guru dalam organsasi tersebut melihat bakat besar Mutesi dalam permainan catur, lalu membimbing dan mengajarnya teknik permainan catur.

Motivasi untuk Mutesi adalah diberikan makanan percuma, jika belajar bermain catur. Pada permulaannya, Mutesi bermain kerana inginkan makanan. namun semakin hari skil permainannya semakin baik.

Suatu hari, dia berlawan catur dan mengalahkan semua orang di kelab kecuali juara bertahan. Di pentas perlawanan akhir, Mutesi telah mengalahkan peserta lelaki tersebut.

Di Uganda, masyarakat hanya menganggap anak gadis lebih sesuai di dapur dan tidak perlu ke sekolah. Ibu Katwe tidak bersekolah dan berkahwin ketika berusia 16 tahun. Perkara yang sama berlaku kepada kakaknya. Mutesi mempunyai impiannya yang lain daripada kebiasaan wanita di tempatnya.

Apabila berjaya mengalahkan juara catur kelab, Mutesi mempunyai keyakinan diri dan melihat catur sebagai satu jalan untuk dia mencapai impian melihat dunia luar.

Kemudian dia menyertai pertandingan yang lebih besar. Semasa remaja, dia mewakili Uganda di kejohanan antarabangsa.

Hidup Mutesi semakin berubah. Peluang demi peluang dalam sukan catur menghidupkan impiannya untuk melihat negara luar.

Mutesi dapat menaiki pesawat dan melawat Amerika Syarikat. Dengan kecemerlangannya dalam sukan catur, Mutesi ditawarkan biasiswa Universiti Northwest, Washington pada tahun 2017.

Apabila berada di tempat orang, Mutesi mula rindu akan kehidupan bersama keluarganya. Kehidupan di pinggir bandar Seattle sangat membosankan berbanding dengan kehidupan di Kampala.

"Di rumah, di seluruh wilayah, anda mengenali setiap orang, dan semua orang saling bertanggungjawab," kata Mutesi.

"Saya dibesarkan di komuniti yang mana jika saya melakukan sesuatu kesalahan, ibu saya akan tahu. Malah, sebelum dia tahu, saya terlebih dahulu akan dihukum oleh ibu bapa yang lain kerana sifat tanggungjawab menjaga komuniti . Itu tidak apa-apa."

"Di sini, (Amerika Syarikat) semua orang hidup sendiri. Malah tiada yang peduli apa yang anda lakukan.'"

Bagi menampung tambang pesawat untuk pulang bercuti di Uganda, Mutesi mencari wang tambahan dengan menjadi penceramah motivasi.

Menjadi penceramah motivasi, memberi peluang kepadanya mengembara ke pantai barat Amerika. Dia juga menerima wang daripada penaja dan pihak yang berminat mendapatkan perkhidmatannya.

"Saya tidak lagi obses dengan catur seperti dulu. Sekarang, saya rasa ada banyak perkara yang dapat saya lakukan dalam hidup saya. Namun saya tahu, caturlah yang membuka banyak peluang untuk saya." katanya.

Pada tahun 2012, Mutesi adalah pemenang tiga kali Kejuaraan Catur Junior Wanita Uganda. Mutesi dan Ivy Amoko dianugerahkan gelaran Master Wanita setelah mengumpulkan jumlah mata 50% yang diperlukan daripada sembilan perlawanan di Olimpik Catur ke-40 di Istanbul, Turki. Ini menjadikannya pemain catur wanita pertama diberikan anugerah tersebut dalam sejarah catur Uganda.

Pada tahun yang sama Mutesi menjadi pemain wanita pertama yang memenangi kategori terbuka Kejohanan Catur Junior Nasional di Uganda.

Pada tahun 2013, dia sekali lagi bermain di Kejuaraan Catur Junior Nasional di Uganda dan mara ke final menentang Lutaaya Shafiq dari Makerere University, dan memenanginya.

Mutesi mewakili Uganda di Olimpik Catur ke-41 pada 2014 dan Olimpik Catur ke-42 pada 2016.

Dia juga menyertai pasukan catur Universiti Northwest dalam bertanding di Pan American Intercollegiate Team Chess Championship, yang diadakan di Columbus, Ohio, pada bulan Disember 2017. Pasukan tersebut memenangi gelaran "Top Small College" mewakili Northwest University, mengalahkan Oberlin College. Mutesi memenangi tiga perlawanan dan seri satu.

Kisah Mutesi telah difilemkan oleh penerbit filem Disney pada tahun 2016, dengan tajuk Queen of Katwe. Banyak pengajaran daripada kisah Mutesi ini. Yang penting kita mesti ada impian.



Wednesday, August 4, 2021

KISAH BENAR 3 ORANG TENTERA YANG HANYUT 34 HARI DI LAUTAN PASIFIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

foto sebenar 3 orang tentera yang hanyut 34 hari

Dixon menerima pingat Navy Cross

Filem Against The Sun, berdasarkan kisah benar

Pada 16 Januari 1942, juruterbang tentera laut AS Harold Dixon, dan dua orang kru iaitu Tony Pastula serta Gene Aldrich, menerbangkan pesawat pengebom untuk membuat rondaan rutin.

Pesawat tersebut menghadapi masalah apabila tersesat daripada laluan asal, dan kekurangan bahan api di lautan Pasifik Selatan. Dixon membuat keputusan untuk kembali ke kapal induk, USS Enterprise.

Mereka cuba berhubung dengan menara kawalan, namun tiada isyarat kerana pesawat melencong terlalu jauh daripada pesawat lain. Kehabisan bahan api menyebabkan Dixon mengarahkan anak buahnya bersedia untuk pendaratan kecemasan di tengah lautan.

Mereka berjaya mendaratkan pesawat tersebut dan menyelamatkan diri di atas rakit angin yang kecil, dikelilingi oleh lautan yang luas.

Walaupun mengetahui ada usaha mencari mereka, Dxon sedar operasi itu terlalu jauh daripada  lokasi mereka berada. Dixon menggambarkan keadaan mereka sebagai "hilang di laut", istilah tentera laut untuk menghentikan pencarian.

Dengan segala keperluan yang terhad, mereka perlu terus hidup di rakit angin dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. 

Mereka menyedari tidak ada dayung, atau peta, dan yang lebih bimbang, tidak ada makanan atau air. Dengan sedikit harapan untuk hidup, mereka membiarkan rakit tersebut hanyut di samudera luas yang serba mencabar. 

Melawan segala kemungkinan yang luar biasa, ketiga-tiga orang tentera itu bertahan daripada dehidrasi, kelaparan, ancaman jerung, ribut dan kematian. Mereka berusaha menangkap ikan dan memakannya mentah mentah, demi meneruskan kelangsungan hidup. Ada ketika mereka berlapar berhari-hari. 

Pada detik-detik berakhirnya penderitaan, mereka hampir gila, dan putus asa, dan sudah ada yang berniat membunuh diri. Namun sokongan antara satu sama lain membantu mereka terus hidup. 

Semangat tidak berputus asa dan percaya kepada takdir, akhirnya membuahkan hasil apabila pada hari ke-34, mereka melihat daratan buat pertama kali selepas kejadian pesawat mereka terhempas.  

Dixon dan anak buahnya terdampar di pesisir pantai Pukapuka, kepulauan Pasifik, pada 20 Februari 1942, selepas lebih sebulan hanyut tanpa bekalan mencukupi, sejauh lebih 1000 km.

Dixon dianugerahkan pingat Navy Cross, kerana mempimpin anak anak buahnya untuk terus hidup berjuang menempuh cabaran di lautan Pasifik. 

Kisah mereka kemudiannya difilemkan dalam filem berjudul Against The Sun pada tahun 2014. 

Apakah pengajaran yang boleh kita kutip daripada kisah benar ini? 

Monday, August 2, 2021

AHMED HAFNAOUI: MIMPI INDAH PERENANG TUNISIA DI OLIMPIK TOKYO

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ahmed Hafnaoui, atlet pertama Tunisa mendapat emas

Kisah sensasi perenang remaja benua Afrika, iaitu Ahmed Hafnaoui, menjadi satu kejayaan terbesar Sukan Olimpik Tokyo, kerana mengutip pingat emas dalam acara gaya bebas 400m dengan cara yang menakjubkan.

Hafnaoui, berusia 18 tahun, rakyat Tunisa, telah bersaing dengan perenang bertaraf dunia seperti Jack McLoughlin dari Australia, yang meraih perak, dan atlet renang Amerika Syarikat, Kieran Smith, yang memenangi gangsa. Dia mencatat masa terpantas dalam 3 minit 43.36 saat untuk memahat namanya sebagai juara di sukan Olimpik Tokyo tersebut. 

Hafnaoui sendiri terkejut dengan pencapaiannya. Dialah rakyat Tunisia pertama mengutip emas dalam temasya sukan Olimpik. Malah, tidak pernah ada atlet renang Afrika yang memenangi emas di sukan Olimpik sebelum ini. 

"Ia sukar dipercayai. Saya tidak mempercayainya sehingga saya menyentuh dinding dan melihat nama di papan markah. Saya melihat perenang Australia dari lorong enam, saya kira dalam jarak 200m . Ia adalah pertarungan hebat. Saya berasa hebat. Saya berasa bangga." katanya ketika diwawancara sebaik menang acara tersebut. 

Peningkatan dramatik Hafnaoui seolah-olah keajaiban. Sukan renang biasanya didominasi oleh perenang Eropah dan Amerika.  Ada wartawan yang bertanya bagaimana dia bertambah baik setelah menduduki tangga kelapan di Olimpik Remaja 2018. 

"Pada mulanya saya terkejut bahawa saya adalah finalis," katanya. "Dan sekarang saya terkejut saya memenangi pingat emas. Saya hanya bekerja keras dan ikut arahan jurulatih saya, itu saja." katanya lagi. 

Hafnaoui menitiskan air mata, ketika melihat bendera negaranya berkibar dan lagu kebangsaan negaranya dimainkan saat tegak berdiri di podium. Sebaik pulang ke negaranya, Hafnaoui disambut meriah oleh keluarga dan warga Tunisia. 

Sudah pasti Hafnaoui menjadi legenda di negaranya. Atlet Malaysia ketika ini, sedang mencari peluang mengutip emas pertama negara dalam sukan Olimpik. Sandaran pastinya diletakkan di bahu Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus, dalam acara basikal pecut dan keirin, selepas Lee Zi Jia terkandas dalam sukan badminton, sama seperti Khairul Anuar dalam sukan memanah. 

Semoga ada sinar untuk atlet Malaysia di Olimpik Tokyo. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...