Thursday, May 14, 2009

Spaghetti dan Pizza

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Spaghetti ialah makanan tradisi dari Itali. Ia memang sedap dan dianggap makanan mewah oleh kalangan rakyat Malaysia.

Namun spaghetti sauce ada pelbagai jenis. Ada yang traditional, cheesy, onion with mushroom dan chunky. Versi chunky bukan datang dari Italy. Itu ditemui oleh Howard Moskowitz - individu yang bertanggungjawab kepada idea:

‘There is no best Pepsi, there are best Pepsis’

‘There is no best mustard, there are best mustards’

Idea Howard menyebabkan beliau berusaha untuk hadir dengan idea baru dalam perusahaan makanan dan ini melonjakkan jualan Prego, salah satu jenama bagi produk sos spaghetti. Kejayaan Howard ada kaitan dengan paradigma atau cara berfikirnya dalam memahami manusia. Manusia bukan hanya akan membeli Pepsi terbaik dengan kadar kemanisan 10%, tetapi manusia akan membeli Pepsi-Pepsi terbaik. Maksudnya? Tidak ada satu jawapan untuk menjawab ‘Pepsi terbaik’. Lain manusia, lain citarasa, maka lain pula ‘Pepsi terbaiknya’.

Mengapa perlu pilih terbaik? Bagi industri makanan, ia ada kaitan dengan ‘jualan’ dan menggembirakan pelanggan. Begitulah juga dengan pizza. Itu pun sinonim sebagai makanan Itali. Agaknya, apa sahaja makanan luar, yang unik sifatnya, akan dianggap makanan mewah. Capati bagaimana? Ia pun makanan luar juga. Setidak-tidaknya, ia dari Asia Tengah.

Saya biasa membeli pizza Zan's, yang diusahakan secara francais kecil-kecilan. Di daerah saya, ada gerai Zan's Pizza di sebuah pasar raya. Harganya berpatutan jika dibandingkan dengan pizza yang dikeluarkan oleh restoran makanan segera ala Amerika. Rasanya lazat. Jika tidak, masakan anak-anak saya menggemarinya. Lebih penting lagi, ia adalah produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Amat membuka selera.

Seorang rakan saya, Ustaz Faisal namanya, turut mengusahakan produk pizza secara kecil-kecilan. Asalnya, untuk anak-anaknya. Apabila ada rakan yang menempah, maka tersebarlah kemampuannya membuat pizza. Dengan kemampuan yang terhad, pizza beliau dikeluarkan secara terhad juga.

Sebenarnya, industri makanan memberi pulangan lumayan. Tak kira daripada mana asalnya, jika ia dapat disesuaikan dengan tekak masyarakat Malaysia, pasti ia boleh menarik minat pelanggan.


Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu..

Foto bersama mak ayah dan Yong, 1972.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Maaflah jika 'entry' kali ini emosi sedikit. Sempena Hari Ibu, aku ucapkan selamat kepada Kak Tirana, Kak Hida, Iina, Asyiq, dan blogger lain yang bergelar ibu, yang pada hemat aku telah memberi khidmat terbaik buat keluarga masing-masing. Bersyukurlah kerana menjadi ibu, kerana dapat mengandung dan melahirkan anak.

Biarpun sesetengah orang melihat ia sebagai satu bebanan, hakikat yang pasti adalah ia eksklusif untuk wanita. Lelaki tak akan, dan tak mungkin melalui pengalaman seperti anda semua. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, hanya ibu sahajalah yang mengetahui perit jerih dan sukarnya mengandung dan melahirkan anak.


Sebenarnya, hatiku sayu menatap foto ini. Setiap kali teringat mereka, hanya doalah dapat dititipkan. Tiada yang lebih berjasa selain daripada kedua-duanya. Kenangan bersama kedua-duanya akan kekal dalam memori.

Kepada yang masih mempunyai mak dan ayah, bersyukurlah. Gunalah peluang ini sementara ada. Jangan sia-siakan. Apabila seorang sahabat bertanyakan Rasulullah tentang siapakah yang harus didahulukan selepas Allah dan Rasul, baginda meletakkan ibu di kedudukan yang tinggi berbanding ayah. Tiga kali baginda menyebut 'ibu', sebelum baginda menyebut 'ayah'.

Begitulah hebatnya ibu. Tapi ini hanya untuk ibu-ibu yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, bukannya bohsia yang membuang bayi dan anak zina di merata-rata, atau pelacur yang menjual tubuh di lorong-lorong gelap. Itu tidak layak digelar ibu.

Sekurang-kurang, aku masih punya mak mertua. Alhamdulillah.

Buat Cek, terima kasih atas segalanya.


Friday, May 8, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramai rakan dan lawan yang mengulas kemelut politik di Perak yang entah bila tamatnya. Jadi, untuk meneutralkan keadaan, biarlah blog lain membahaskan perkara ini, sama ada dengan cara yang elok, emosi atau pelbagai cara ulasan, mereka mempunyai pandangan yang tersendiri. Dalam dunia siber, setiap orang berhak menyatakan pendapat, biarpun mungkin pendapatnya tidak sama dengan orang lain.

Apabila menyentuh persoalan bahasa, tersentak aku dengan peristiwa pagi tadi. Seorang rakan sejawat (kusebut A)mempertontonkan beberapa helai baju sutera untuk rakan-rakan yang berminat. Baju itu adalah untuk sampel jualan kepada rakan sejawat di pejabat kami. Malangnya, dalam keadaan kelam kabut, baju batik sutera (yang harganya agak mahal itu) ditarik oleh seorang rakan lain, (kunyatakan sebagai B) yang pada hemat aku berlaku secara tidak sengaja. Aku yang berada di situ hanya melihat senario yang tiba-tiba menjadi panas dek kerana baju sutera tersebut.

A berasa marah dengan tindakan B sehingga mengeluarkan ayat yang pada hemat aku, tidak sesuai sebagai orang muda kepada orang yang lebih tua.

"Tak pernah beli baju batik sutera ke? Memang baju ni mudah koyak!" katanya dengan nada tidak puas hati.

Aku tak pasti apa berlaku selepas itu, tetapi sewajarnya ayat begitu tidak manis dituturkan, apatah lagi jika ditujukan kepada orang yang lebih tua.

Pada pandangan aku, baju itu pun tidaklah koyak sehingga jelas kelihatan. Tak sampai pun dua inci, dan hanya benang yang 'retas'. Boleh dijahit semula. Selesai masalah.

Mengapa harus ditutur perkataan yang boleh merenggangkan hubungan sesama insan?

Kata rakan lain, si A memang begitu. Mulutnya memang 'bisa', dan jenis 'cakap lepas'.

Teringat kata-kata Seniman Agung P. Ramlee dalam Seniman Bujang Lapok, "Bahasa Menunjukkan Bangsa..". Agaknya, bangsa kita sudah semakin biadab. Mat Rempit yang semakin mengganas, peragut yang semakin zalim dan terbaru, sidang DUN Perak yang ala Taiwan, semuanya membuktikan masyarakat kita makin biadab...

P/s: Speaker tak rosak lagi, nape tuko?.. tanya seorang rakan. Aku terkedu..(politik lagi..)


Thursday, May 7, 2009

Selamat Bersidang Untuk DUN Perak

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Agak lama juga DUN Perak tidak bersidang. Pada satu ketika, Bangunan SUK tidak dibenarkan dimasuki, sehingga menyebabkan sidang DUN 'bawah pokok' telah diadakan. Memang kelakar tetapi memilukan juga, kerana orang luar Perak ketawa sinis melihat apa yang berlaku di negeri ini.

Jalan penyelesaiannya ada, dan mudah sekali. Ramai yang kutemui menyatakan pendapat yang sama. Bubarkan sahaja DUN. Biar kerajaan baharu yang dilantik menguruskan pentadbiran negeri ini. Berikan kembali kuasa kepada rakyat.

Tetapi setakat sembang di kedai kopi sahajalah. Apalah kuasa kami, untuk menentukan dan memutuskan. Sehingga hari ini, politik di Perak menjadi caca marba.

Hari ini, Khamis 7 Mei 2009, khabarnya DUN Perak akan bersidang. Beberapa perkara pelik berlaku lagi. Antaranya, memakai baju warna hitam adalah kesalahan. Larangan berbaju hitam oleh Ketua Polis Negara ada kaitan dengan khabar angin kemungkinan tunjuk perasaan oleh kumpulan tertentu di Bandar Raya Ipoh semasa DUN bersidang.

Menurut berita Mstaronline, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhadapan dengan kemungkinan hilang jawatannya esok telah memutuskan tindakan berhubung tiga hingga empat perkara penting untuk dilaksanakan apabila sidang Dewan bermula esok.

"Saya sudah buat keputusan berkaitan banyak perkata, tiga hingga empat perkara.

"Ada beberapa lagi belum saya putuskan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan butiran tentang keputusan yang telah pun ditentukan tindakannya.

Ketika ditanya sama ada akan menolak dua usul yang dikemukakan oleh BN, Sivakumar yang merupakan ADUN Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut sambil meminta menunggu hingg esok.

BN mengemukakan usul agar Sivakumar digantikan oleh wakilnya dari MIC sebagai Speaker yang baru.

Bagaimanapun Sivakumar menekankan bahawa beliau sebagai Speaker mempunyai hak untuk menerima ataupun menolak mana-mana usul.

"Itu adalah kuasa Speaker," katanya yang turut enggan mengulas sama ada akan membenarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang lain masuk ke Dewan pagi esok.

"Itu soalan serius. Saya tahu mahu menjawab," katanya.

Biar apa pun keputusan sidang DUN kali ini, aku mendoakan agar negeri Perak ini terus kekal aman dan rakyat dapat hidup tenteram.

Wednesday, May 6, 2009

Dua Bisikan Yang Sering Berkonflik

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasulullah bersabda: “Terdapat dalam hati seseorang dua bisikan. Pertama bisikan malaikat yang menjanjikan kebajikan, membenarkan yang hak; maka barangsiapa merasakan bisikan ini, hendaklah ia mengetahui bahawa itu adalah dari Allah dan mensyukurinya. Kedua adalah bisikan musuh yang mengajak melakukan kejahatan, mendustakan kebenaran, melarang perbuatan kebajikan; maka barangsiapa merasakan itu hendaklah berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk."


Kemudian Rasulullah membacakan maksud ayat surah Al Baqarah: 268; ‘Syaitan menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurnia daripadaNya. Allah maha luas kurniaNya lagi maha mengetahui.’


Jelas pada hadis ini ialah dalam hidup kita, kita sering membuat berbagai -bagai keputusan. Dalam satu hari mungkin beratus-ratus keputusan perlu kita buat. Contohnya: ketika azan Subuh dari menara masjid yang mengejutkan kita dari tidur menyebabkan kita perlu membuat keputusan samada hendak bangun dan solat Subuh atau terus sahaja tidur.

Bisikan atau rasa hati supaya kita bangun untuk solat Subuh itu adalah bisikan malaikat manakala yang berbisik untuk terus tidur sebentar lagi adalah bisikan syaitan.

Ia membuai kita dengan rasa sejuk, menghiburkan kita supaya terus tidur, berhujah dengan kita bahawa waktu Subuh masih panjang, boleh solat Subuh di rumah dan akhirnya kita terlelap hinggalah terlepas waktu Subuh.

Demikianlah juga dalam pelbagai contoh keputusan lain yang boleh kita ambil. Antara ke masjid di waktu malam atau duduk di rumah tengok TV bersama anak-anak. Malaikat mengajak kita sekali tetapi syaitan mengajak dan memberikan alasan pada kita bertubi-tubi.

Kalau pergi ke masjid susah kerana malam yang gelap, hujan hendak turun, hendak balik nanti takut, lampu motor malap, kasihan anak nak tinggal anak dan isteri di rumah sendirian, kalau pergi ke masjid nanti orang perli kerana jarang pergi, dan 1001 macam alasan yang akan dibisikan oleh syaitan dalam hati kita.

Apabila ada orang minta sumbangan, kita tertanya-tanya dalam hati, apakah duit yang kuserah ini akan sampai kepada penerimanya, atau mungkin di'songlap' oleh pengutip derma? Inilah bisikan syaitan yang akhirnya menyebabkan kita rasa 'sayang' untuk menderma atau berbuat kebajikan lain.

Inilah juga konflik yang selalu aku hadapi. Adakah aku tewas kepada bisikan SYAITAN?



Monday, May 4, 2009

Azan dan Kematian

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak ramai daripada kita suka berbicara soal mati. Hakikatnya, 5 tahun lalu, aku masih punya mak dan ayah, kini semuanya tinggal kenangan. 10 tahun lalu, 20 tahun lalu, 30 tahun lalu, hidup bersama orang-orang yang kini sudah ke alam baqa' pernah kulalui.

Itulah hakikat hidup. Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Siapa yang boleh menjamin hidupnya pada hari esok? Ironinya, celik mata, aku selalu fikirkan apa yang nak dibuat hari ini. Cukup susah untuk kita mengucapkan syukur kerana masih diberi peluang untuk hidup.

Kita selalu melihat orang sakit, sama ada yang uzur ringan, mahupun yang nazak dan hampir mati. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.... lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang.

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, apakah mustahil untuk Allah kelukan lidahnya ketika nazak?

Tidakkah kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba ? Ketika itu, kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." (Sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut, dengan izinNya telah menjanjikan syurga untuk mereka.)

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

Jadikanlah doa ini sebagai panduan menghadapi kematian yang entah bila-bila menjengah:
"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah. ."semasa sakaratul maut menghampiri kami.
Amin..amin.. amin Yarobbal a'lamin.."

Cuba fikirkan,

Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid,
tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

45 minit terasa terlalu
lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan
bola sepak.

Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang
berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya

(Disesuaikan daripada satu artikel dalam Halaqah untuk renungan bersama)

Saturday, May 2, 2009

Pulau Sipadan Perlu Sokongan Kita


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Di laman web 7Newwonders yang kulayari, terdapat banyak tempat tercantik di dunia. Sememangnya, bumi yang dijadikan Allah ini, mempunyai keindahan yang perlu dihargai.

Pernah pergi ke Pulau Sipadan? Kalau Langkawi dan Pangkor, sudah klise. Tapi aku tak pernah menjejak kaki ke Pulau Sipadan. Melihat keindahan foto, dan liputan Majalah 3 satu ketika dulu, membuatkan aku terpikat dengan Sipadan. Pulau ini pernah menjadi rebutan antara dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Jika pernah, pasti anda juga akan terpesona dengan Sipadan. Sipadan menjadi syurga kaki selam (scuba divers) yang mengenalinya kerana keindahan bawah laut yang mengasyikkan. Sekeliling pulau ini adalah batu-batu karang yang menjadi habitat ikan serta haiwan akuatik lain.

Dalam liputan Majalah 3 dahulu, Sipadan dikatakan berbentuk cendawan, dan terhasil daripada aktiviti gunung berapi dasar laut yang sudahpun pendam. Pulau Sipadan sudah diiktiraf sebagai Taman Laut dan menjadi pusat pelancongan yang terkenal dalam kalangan penggemar sukan skuba dan snorkel.

Apa tunggu lagi, singgahlah ke web berkenaan, dan undilah untuk khazanah negara kita. Tidak perlu keluarkan belanja besar untuk mengiktirafnya, tetapi ia memerlukan sokongan rakyat Malaysia.

Daripada semua tempat yang disenaraikan dalam web tersebut, hanya Sipadanlah yang menjadi kebanggaan kita.


PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...