Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Ramai memperkatakan keupayaan skuad bola sepak negara selepas berjaya ke perlawanan akhir Sukan SEA di Laos. Dari kedai kopi hujung kampung, sehinggalah ke ruang lobi Parlimen, malah PM sendiri terdetik untuk 'mendoakan' kejayaan skuad Rajagobal, setelah 20 tahun gagal melakukannya.
Foto bendera dua negara serantau: Sengaja besarkan Jalur Gemilang, sebagai tanda sokongan!
Hakikatnya, inilah masa terbaik untuk skuad B-23 negara menunjukkan keupayaan. Jika perlawanan di peringkat kumpulan menjadi sandaran, Vietnam yang menjadi lawan kita pada final nanti pasti mempunyai kelebihan. Ketika itu, anak buah Rajagobal tidak boleh mengawal emosi menyebabkan mereka 'menyerang' pengadil yang dikatakan berat sebelah.Tindakan bodoh Zakuan Adha tempoh hari pasti sudah dilupakan.
Memetik kata-kata Rajagobal di Utusan online;
"Pada saya, Malaysia dan Vietnam sama handal, cuma kita kalah tempoh hari kerana pemain kita gagal mengawal emosi mereka apabila dengan pantas bertindak balas terhadap keputusan pengadil.
"Apabila emosi menguasai diri, permainan jadi tidak menentu.
"Jadi saya menasihatkan pemain supaya jangan sesekali bertindak balas terhadap apa juga keputusan pengadil.
"Beraksilah dengan tenang, berikan persembahan bertenaga. Jika kita beraksi dengan cara permainan kita, saya yakin kemenangan akan memihak kepada kita," katanya.
Mengenai kehadiran semula penyerang Zaquan Adha ke dalam skuad kebangsaan selepas pulih daripada masalah mata, Rajagobal berkata, tiada jaminan Zaquan akan mendapat tempat secara automatik ke dalam skuad.
Katanya, dia perlu bersikap adil terhadap pemain lain apatah lagi mereka telah menunjukkan permainan yang bagus di sepanjang ketiadaan Zaquan yang digantung dua perlawanan.
"Adalah tidak adil jika saya mengetepikan sama sekali pemain yang membawa skuad ini mara ke final.
Kini, pendayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Bertemu Vietnam di pentas final tentu berbeza dari segi persembahan. Apatah lagi, skuad negara telah menunjukkan semangat juang yang hebat semasa berdepan tuan rumah Laos berserta lebih 20,000 penyokongnya.
Ayuh Malaysia, jika tak ke Afrika Selatan sekalipun, tunjukkan kemampuan kita di peringkat ASEAN!






