Wednesday, March 23, 2011

SPM Dahulu dan Sekarang

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, Rabu 23 Mac 2011, keputusan SPM 2010 bakal diumumkan. Pelbagai reaksi bekas calon dapat dilihat. Ada seribu cerita yang akan dipaparkan di dada akhbar esok. Kisah anak petani, penanam sayur dan penjual kacang putih yang berjaya mendapat keputusan cemerlang mungkin mengambil tempat, menggantikan kempen pilihan raya Sarawak. 

SPM hari ini, jauh bezanya dengan SPM zaman saya dahulu. Memanglah zaman sudah berlalu dan ia tidak sama. SPM dahulu, mengambil kira pangkat 1, 2, 3 dan SAP. Saya garapkan ia secara umum. Pangkat 1, bermakna cemerlang. Calon mendapat jumlah gred antara 6 hingga 23. Bagi Gred 2, calon memperoleh gred 24 hingga 33. Begitulah seterusnya. SAP pula bermaksud Sijil AM Pelajaran, iaitu calon tersebut gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Senang bicara, cukup-cukup makan.

Hari ini, keputusan SPM mengambil kira jumlah A bagi setiap mata pelajaran. Ia sesuai dengan pensijilan terbuka yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak A yang diperoleh, bermakna pelajar itu cemerlanglah. Hakikatnya, tidak semua yang gagal dalam SPM itu gagal segalanya.

Mengambil keputusan SPM dahulu, tak sama seperti sekarang.   Hari ini, keputusan SPM boleh diperoleh melalui SMS. Dahulu, calon mesti ke sekolah dan bertemu guru-guru untuk mendapatkan keputusan. Kalau berhutang atau tidak memulangkan buku teks, keputusannya akan digantung sementara.

Apa pun, saya berdoa semua calon SPM 2010 mendapat keputusan seperti yang diusahakan. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hari ini, anda kutiplah 'sagu' itu. Moga berjaya! Jika tidak mendapat seperti yang diharapkan, usahlah kecewa. Ia bukan penamat kehidupan anda. Banyak lagi ruang untuk kita mencapai kejayaan. Loh Boon Siew, Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah contoh mereka yang tidak cemerlang dalam SPM tetapi berjaya menjadi jutawan hasil usaha dan titik peluh yang tidak mengenal erti putus asa. Fikirkan.

Monday, March 7, 2011

SINOPSIS NOVEL KEMBARA AMIRA

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan.  Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya.,Prof. Zaidah yang sedang menjalankan kerja lapangan ekskavasi penempatan manusia zaman prasejarah bersama pelajar tahun akhir. Amira dan Jacinta menaiki kereta api sehingga ke Stesen Danau Hijau. Di dalam koc, Amira bersua kali pertama dengan Malique, yang turut ke destinasi yang sama bersama John O'Hara.  Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. 

            Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut.  Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
 
            Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung. 

            Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia.  Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah.  Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua.  Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique.  Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.

            Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia.  Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu.  Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi).  Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik  kandung Malique.

Thursday, March 3, 2011

Apa Ada Pada HINDRAF?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Heboh di pelosok negara apabila pertubuhan haram Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) sanggup menggadaikan maruah bangsa semata-mata untuk memburukkan imej Malaysia dengan mengadakan tunjuk perasaan menuduh kononnya kerajaan Malaysia ketika ini sebuah rejim zalim dan bersifat autokratik. Kebanyakan mereka yang terlibat berharap pihak polis akan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan keadaan. Dalam masa yang sama, media asing yang di'jemput' bersama untuk melaporkan 'kekejaman' itu memainkan peranan menyebarkan berita buruk berkenaan melalui agensi berita asing.

Perbuatan mereka itu memalukan bangsa India di negara ini dan tidak menampakkan sikap patriotik dan rasa sayang kepada negara. Dalam kejadian terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 109 anggota HINDRAF termasuk pengasasnya, P Uthayakumar tetapi kemudian dibebaskan selepas keterangan diambil. 

Demi menjaga keselamatan negara dan mengelak kejadian seumpama berulang, adalah wajar penunjuk perasaan berkenaan diheret ke muka pengadilan. PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus tegas terhadap golongan berkenaan yang mempunyai niat jahat mahu memburukkan imej negara. Peristiwa ini menimbulkan persoalan, adakah bangsa India di negara kita sudah hilang jati diri dan berkiblatkan negara lain sebagai paksi? Menghentam pemimpin negara dan mengagung-agungkan pemimpin luar seperti Mahatma Gandhi yang tidak ada kaitan dengan sejarah negara ini, tentulah memberi persepsi buruk tentang hala tuju komuniti India berkenaan.

Saya setuju bahawa setiap kaum mempunyai hak sebagai rakyat tetapi harus dilihat dalam konteks yang sesuai dengan Perlembagaan Malaysia. Kita adalah sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya. Menuduh pembersihan etnik adalah fitnah yang sangat berat, dan jika orang Melayu terhiris dengan pandangan ini, apakah perpaduan yang kita nikmati kini akan kekal?

Tindakan seperti ini tidak ubah bagaikan mendukung biawak hidup: mereka menikmati kekayaan dan kemakmuran negara, dalam masa yang sama melakukan penentangan terbuka terhadap dasar negara. Kerajaan sudah banyak kali bertolak ansur dengan rakyat berbilang kaum di negara ini demi memelihara perpaduan rakyat. Parti politik yang mewakili kaum India seperti MIC, PPP dan seumpamanya perlu berperanan menjelaskan kepada komuniti India di peringkat akar umbi demi mematahkan tohmahan HINDRAF bahawa kerajaan  bersikap autokratik atau zalim. 

Menyedari hakikat bahawa HINDRAF adalah sebuah pertubuhan haram, kerajaan tidak sewajarnya memberikan mereka layanan istimewa dengan memenuhi permintaan mereka untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin negara. HINDRAF, umpama memberi susu kepadanya, kita dibalas tuba.Sudah terang lagi bersuluh, ia tidak sah dari segi undang-undang dan harus dipadamkan daripada jiwa murni generasi muda India yang lebih bersifat patriotik. Ia hanya menjejaskan kestabilan dan perpaduan negara yang kita sayangi ini.

Sunday, February 6, 2011

Ketam Nipah Semakin Bernilai

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Ternakan Ketam Nipah

Ketam nipah yang juga dikenali ketam batu oleh penduduk tempatan dari spesies Scylla serrata di mana ditemui habitat asal di muara, kuala sungai dan pesisiran pantai.
Ketam ini mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya dari kegiatan separa kultur. Berat purata ketam yang telah matang antara 250 gm hingga 400 gm dengan lebar karapasnya antara 10 – 15 cm. ketam ini dapat membesar sehingga karapasnya mencapai 20cm iaitu dengan berat badan melebihi 1kg. ketam betina yang telah matang mempunyai ovari yang menjadi makanan mewah.
Kajian membuktikan bahawa ketam yang dipelihara di dalam kolam boleh membesar boleh mencapai saiz pasaran (10 cm -15 cm lebar karapas) dalam masa 7 – 8 bulan, manakala lebih kurang 2 juta telur dihasilkan oleh seekor ketam betina yang matang dan selalunya betelur lebih daripada sekali setiap musim.
Manakala dari segi permakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet permakanan ketam di mana sebanyak 5% – 6% daripada berat badannya diberikan setiap hari. Ini menunjukkan peternakan ketam mempunyai potensi untuk dimajukan oleh peternak yang terlibat di dalam aktiviti peternakan air payau.
Sumber: Jabatan Perikanan, Malaysia

Saturday, February 5, 2011

Budi Bahasa: Amalan Yang Semakin Dilupakan

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Sejak kebelakangan ini, amalan berbudi bahasa semakin kurang diamalkan oleh rakyat Malaysia. Budi bahasa sangat penting dalam kehidupan seharian. Budi dan bahasa adalah dua elemen yang berkaita rapat dalam pembinaan jati diri sesebuah masyarakat. Budi adalah kelakuan yang baik, manakala bahasa merupakan percakapan dan tingkah laku yang sopan santun.
Budi bahasa yang baik dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat. Sejak kebelakangan ini, ia semakin kurang diamalkan kerana kurangnya didikan tentang amalan ini di peringkat keluarga. Jika amalan ini tidak dididik sejak kecil, rakyat Malaysia akan hilang budi bahasanya. Contohnya, remaja hari ini kurang mengamalkan pemberian salam kepada orang tua. Oleh yang demikian, ibu bapa haruslah memainkan peranan mendidik anak-anak tentang amalan berbudi bahasa.
Selain itu, amalan berbudi bahasa kurang diamalkan kerana segelintir rakyat kita sudah tidak lagi mempunyai sifat baik. Sebaliknya, jiwa mereka dipenuhi sifat sombong, angkuh, meninggi diri dan angkuh. Orang yang mementingkan diri sendiri dapat dilihat di jalan-jalan raya. Para pemandu yang memandu laju dan tidak bertimbang rasa menunjukkan diri mereka tidak mempunyai budi bahasa yang sepatutnya.  Ada sesetengah remaja tanpa segan silu berasmara di khalayak ramai tanpa memperdulikan orang sekeliling. Akibatnya, bercambahlah bilangan bayi hasil daripada hubungan terlarang. Tanpa sifat malu dan adab sopan, gejala rasuah dan jenayah kolar putih juga mengakibatkan kerugian kepada negara.
Seharusnya kita mengamalkan sifat terpuji seperti lemah lembut, menghormati orang lain dan berhemah tinggi kerana ia dapat melahirkan rasa kasih mesra sesama manusia tidak kira bangsa, agama, usia, taraf atau warna kulit.
Sikap masyarakat Malaysia yang semakin kurang menitikberatkan amalan berbudi bahasa boleh dibantu oleh peranan media massa. Media cetak dan media elektronik harus berganding bahu menyiarkan berita atau kempen kesedaran akan perlunya budi bahasa dalam masyarakat. Melalui kerjasama semua pihak, amalan budi bahasa yang semakin terhakis dapat disuburkan kembali dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pihak sekolah sebagai institusi sosial, tidak hanya berperanan sebagai pusat persediaan peperiksaan. Kempen budi bahasa di peringkat sekolah dapat membantu menyedarkan pelajar untuk menjadi remaja yang berbudi bahasa. Tuntasnya, peranan guru di sekolah juga amat penting dalam meningkatkan amalan budi bahasa.
Setiap warga masyarakat yang mempunyai budi bahasa, akan dipandang tinggi dan mulia. Orang lain juga akan lebih menghormati dan senang bergaul dengan mereka yang mengamalkan budi bahasa. Harta kekayaan, rupa paras dan darjat tidak menjamin seseorang itu dihormati dan disegani.
Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama-sama memupuk amalan budi bahasa kerana ia dapat disemai dan dibajai, ia juga tidak dapat dijual beli. Pepatah ada menyatakan, ‘yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.’ Asas kesedaran terhadap budi bahasa harus disemai sejak kecil bak kata pepatah, jika melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Tindakan Bersepadu Menyelamatkan Pelajar Di Mesir

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Krisis politik di Mesir bukanlah masalah dalaman kita. Bagaimanapun, perkembangan peristiwanya diikuti oleh rakyat Malaysia, khususnya para ibu bapa yang mempunyai anak yang belajar di sana. Lebih 11,000 orang pelajar Malaysia berada di merata-rata pelosok Mesir: Kaherah, Mansourah, Iskandariah dan seumpamanya.

Keadaan politik yang tidak stabil memaksa ramai warga asing meninggalkan bumi Firaun itu. Tindakan bersepadu yang diterajui Kedutaan Malaysia, ATM, MAS, Air Asia dan persatuan pelajar telah membantu usaha mengeluarkan pelajar kita berlangsung secara lancar.

Apa yang diharapkan, usaha ini dapat menyelamatkan nyawa pelajar kita yang terperangkap dengan krisis politik Mesir. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu pemindahan pelajar kita di sana.  

Wednesday, February 2, 2011

Krisis di Mesir: Warga Malaysia Perlu Diselamatkan.

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam blog http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com/ , ia menceritakan kisah pelajar Malaysia yang menghadapi kesulitan ketika negara Mesir berhadapan dengan tuntutan rakyatnya agar pemimpinnya berundur. Hosni Mubarak, 82 tahun yang telah memerintah Mesir lebih daripada 30 tahun, semakin dipinggirkan oleh rakyatnya sendiri. Hari demi hari, tunjuk perasaan yang telah dibuat semakin mencemaskan. Ribuan orang memenuhi bandar-bandar utama menuntut pemimpin tua itu berundur.

Apa yang membimbangkan adalah keadaan rakyat kita, khususnya para pelajar Malaysia yang jumlahnya melebihi 10,000 orang. Demontrasi yang dibuat secara besar-besaran di Mesir telah menjejaskan kehidupan pelajar. Tindakan beberapa buah negara seperti China, Taiwan, Amerika Syarikat dan Indonesia membawa keluar warganya dari Mesir adalah tindakan pro-aktif yang patut dicontohi.

Suasana tidak aman dapat dilihat dan dibaca di akhbar: Huru-hara di Kaherah, kecurian di Mansourah, dan anarki di Iskandariah merupakan contoh betapa keadaan di negara lembah Sungai Nil itu amat membimbangkan. Lebih daripada itu, tentera dan polis tidak dapat mengawal keaddaan. Ini tentulah memebri gambaran buruk tentang jaminan keselamatan pelajar kita.

Tindakan Tan Seri Dato' Sri Muhyidin Yassin, Timbalan perdana Menteri dalam kenyataan awalnya sedikit membimbangkan. Beliau dipetik sebagai berkata, tiada keperluan untuk memindahkan pelajar kita ke negara lain. Pihak kedutaan sentiasa memantau kebajikan pelajar di sana.

Ironinya, pelajar yang dapat menghubungi ibu bapa mereka mempunyai cerita yang berbeza. Makan tidak mencukupi, keadaan persekitaran semakin tidak selamat dan ATM yang dirosakkan, menjadikan hidup mereka di sana semakin tersepit. Liputan internet di negara yang bergolak itu telah terputus dan pelajar tidak dapat berhubung antara satu sama lain. Untuk keluar bergerak ke mana-mana,ia mendedahkan pelajar dengan jenayah yang tidak terkawal. Sehingga berita ini ditulis, keadaan pelajar kita masih samar-samar.

Satu pelan tindakan keselamatan perlu dibuat oleh pihak kedutaan. Kenyaataan Perdana Menteri yang terbaru menyebut, kapal TLDM di Teluk Aden akan digunakan untuk memindahkan pelajar dari Mesir ke Arab Saudi merupakan kenyataan yang menunjukkan keprihatin pemimpin kita terhadap kebajikan warga Malaysia.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...