Thursday, July 7, 2011

Keldai Abu Nawas Berjalan Salah

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Abu Nawas menunggang keldainya ke rumah seorang sahabat. Ketika dalam perjalanan, Abu Nawas menunggang terbalik, iaitu badannya menghadap bahagian ekor keldai manakala belakangnya pula menghadap kepala keldai. Orang ramai yang melihatnya mentertawakannya.
Lalu berkatalah Abu Nawas, "Apa yang kamu tertawakan?"
Orang ramai masih ketawa lalu seorang daripadanya berkata, "Kamu menunggang keldai dengan cara yang salah, wahai Abu Nawas."
Abu Nawas cuba mengelakkan dirinya kelihatan bodoh, lalu berkata,"Sebenarnya bukan aku yang salah menunggang keldai ini. Keldai yang degil ini sebenarnya yang salah. Adakah patut ia letakkan ekor di kepalanya, dan kepala di ekornya?
Lalu orang ramai yang berada di situ terus ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan Abu Nawas tadi.

Moral: Orang yang degil tidak mahu mengakui kesilapannya akan nampak sangat bodoh pada mata orang ramai.

Tuesday, July 5, 2011

Ketenangan Direntap, Keamanan Dicabul

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dinihari, saya terbangun lalu pergi memeriksa anak-anak. Semuanya nyenyak tidur diulit mimpi yang entah apa temanya. Selepas menunaikan tahajud, saya menung memikirkan suasana di negara yang saya sayangi ini.
Saya masih berteleku ketika isteri tiba-tiba bangun dan menghampiri.
"Ada apa, bang?"
"Entahlah.. Rasa bimbang tiba-tiba."
"Usahlah fikirkan sangat. Pasal kerja ke?" Dia bertanya lagi.
"Tidak.." Jawab saya perlahan. Sengaja tidak saya panjangkan perbualan.
Hakikatnya, saya sedang memikirkan mengapa bangsa saya yang dikenali sebagai bangsa yang bermaruah, yang bersopan dan hidup muafakat kini tidak seperti dulu. Bangsa saya sudah berpecah belah. Dalam komuniti negara pelbagai kaum kini, ada  suara-suara sumbang akhir-akhir ini tidak boleh langsung mendengar perkataan Melayu. Siapa yang sebut Melayu serta merta dituduh bersifat perkauman. Tanah Melayu sudah tidak relevan lagi, kerana namanya kini Malaysia. Sudah menjadi satu dosa kalau bercakap tentang survival bangsa?
Ah, saya kaget dengan situasi politik negara. Satu pihak ingin mengadakan perhimpunan aman. Satu pihak lagi menentang perhimpunan. Ia telah mengheret Yang Dipertuan Agong untuk menyatakan isi hati baginda. Sebaliknya, ada pihak yang biadab dan kurang ajar mendakwa Agong dengan hinaan dan kecaman.
Mengapa jadi begini bangsa saya?
Saya tidak kisah jika rakan saya pro-UMNO, pro-PAS atau mana-mana parti politik, tetapi yang saya kesalkan, tuduh menuduh dan sikap mengadu domba dalam kalangan orang Melayu kini seolah-olah sudah membarah.

Saya sayangkan Malaysia. Saya sayangkan keamanan negara ini. Janganlah ada pihak yang ingin merogol atau mencabul keamanan di bumi bertuah ini.

Menjelang subuh, saya masih tidak tidur mengenangkan apa yang berlaku kepada Malaysia akhir-akhir ini.

Saturday, July 2, 2011

LARIAN 1MURID 1 SUKAN SELURUH NEGARA

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Larian serentak 1m1s diadakan serentak seluruh negara. Seperti yang dijangka, bukanlah sukar untuk KPM menyediakan seramai mungkin murid yang terlibat dengan larian ini. Pekeliling terbaru meminta sekolah-sekolah seluruh negara memastikan Sabtu 2 hb Julai 2011, sebagai hari persekolahan.  

Larian serentak ini bermula tepat pukul 7.45 pagi melibatkan pelajar, guru dan masyarakat setempat. Tahniah kepada semua yang melaksanakannya. Apa yang penting, usaha ini adalah simbolik ke arah pelaksanaan sukan sebagai satu gaya hidup masyarakat masa kini. Ia juga diharap dapat menggalakkan pelajar menyertai kegiatan sukan secara sihat dan tidak hanya makan minum dan tidur, kerana ia boleh menyebabkan obesiti.

Larian tersebut mestilah sekurang-kurangnya dalam jarak 1.5 km dan diadakan bermula di sekolah. Selepas itu, diadakan sesi motivasi, permainan dan kuiz di kantin sekolah. Sambutan pelajar yang hadir amat memuaskan. Tahniah semua. 

Tuesday, June 28, 2011

SURAT LAYANG LAGI!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semalam mungkin detik yang merimaskan dalam hidup saya. Sepucuk surat daripada "Wak Lekir" ditujukan kepada pentadbiran sekolah, gara-gara tidak puas hati dengan kegiatan kokurikulum sekolah yang diadakan.
Surat itu dialamatkan kepada Pengarah JPN dan salinan kepada PPD dan pengetua sekolah. Antara kandungannya ialah rasa tidak puas hatinya terhadap kegiatan kokurikulum yang kononnya tidak mengikut jadual. 

Hakikatnya, kegiatan kokurikulum hari tersebut berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, pengawal keselamatan 'terlupa' mengunci pintu pagar menyebabkan pelajar yang culas, telah keluar dari kawasan sekolah tanpa rasa bersalah. Lebih daripada itu, mereka melepak di hentian bas dan pulang ke rumah. 
Tindakan Wak Lekir tidak merujuk pihak sekolah amat dikesalkan. Beliau hanya bertanya kepada pelajar yang berpeleseran. Jawapan mereka tentulah "Cikgu batalkan Kokurikulum", "Cikgu bagi kami balik" dan seumpamanya. 

Hal ini amat mengecewakan guru yang bertungkus lumus mengadakan perjumpaan kokurikulum mingguan. Amatlah malang apabila Wak Lekir menyerang kami membuta tuli tanpa menyelidik terlebih dahulu.


Monday, June 27, 2011

Tangan Tersembunyi Di Sebalik Perhimpunan BERSIH 2.0?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semakin hampir ke tarikh 9 Julai 2011, pergerakan ke arah merealisasikannya telah dilaksanakan. Bagaimanapun, belum sempat tindakan seterusnya diambil, polis telah menahan 31 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj selepas menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua, petang kelmarin.

Menurut sumber, antara yang ditemui adalah 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che.

Polis turut menemui kira-kira 7,000 risalah PSM dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil yang bertulis ‘Udahlah tu... Cukup 54 tahun, bersaralah’, 600 risalah berkaitan perhimpunan haram 9 Julai, 25 naskhah sosialis termasuk 15 naskhah berbahasa Tamil, satu set pembesar suara mudah alih, 15 bendera PSM, sembilan helai baju T tertera tulisan ‘Serangan Neo Liberal Rakyat Terus Sengsara’ dan lapan helai baju T tertera tulisan ‘Anti Capitalism’.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar, ketika memaklumkan penemuan itu pada sidang media di sini, semalam, berkata, tiada senjata berbahaya ditemui dalam bas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bahan yang ditemui bersama kumpulan itu sangat serius serta boleh menggugat keselamatan negara dan berikutan itu, siasatan dibuat mengikuti Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kita melihat usaha kumpulan ini membawa ke arah penentangan dan peperangan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Abd Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat ada rombongan dalam sebuah bas dari Sungai Petani, Kedah ke Pulau Pinang dipercayai cuba menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan dan membawa senjata berbahaya.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan tempoh reman tujuh hari sehingga 7 Julai terhadap 30 ahli PSM terbabit, termasuk Jayakumar.

Majistret Amernudin Ahmad membenarkan mereka ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka diwakili peguam Karen Lai, A Chandra Segaran, Rowena Nair, Sukhindarpal Singh, Agatha Foo, Joshua Narendren dan Benjamin Sathyanandam.

Karen berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mengkaji semula siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi kerana tiada sebarang senjata berbahaya ditemui.


Perhimpunan BERSIH dianjurkan oleh NGO yang menganggap SPR tidak telus. Mereka bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan menjadikan orang Melayu sebagai aset utama yang dapat membarisi perhimpunan berkenaan. 
 
Jika melibatkan gerakan subversif seperti tokoh komunis dijadikan idola, ada wajarnya orang Melayu memikirkan kembali natijah di sebalik perhimpunan ini. Ramai tentera kita mati berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada tahun awal kemerdekaan. Ketika pemerintahan Bintang Tiga selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah, bukan sedikit pemuda Melayu yang disembelih, termasuk datuk saudara mak saya di Kg Bharu, Lumut dahulu.

PAS tidak wajar menjadikan ini sebagai agenda parti. Ia merosakkan kredibiliti PAS dalam kalangan orang Melayu kelak.

Thursday, June 16, 2011

Gerhana Bulan Bukti Kebesaran Allah Maha Pencipta

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Zaman dahulu, apabila berlaku gerhana, sesetengah orang beranggapan ia malapetaka, atau tanda-tanda musibah akan berlaku. Masyarakat tamadun Mesir dan Mesopotamia misalnya, beranggapan ia sebagai tanda kemarahan Tuhan mereka. Masyarakat Hwang Ho mentafsirkan gerhana sebagai simbolik adanya 'naga' yang memakan bulan atau matahari.

Masa berlalu, kini gerhana tidak lagi dianggap membawa konotasi negatif, sebaliknya Islam menggalakkan umatnya mensyukuri nikmat sebagai hamba Allah yang masih berpeluang melihat kebesaran Maha Pencipta.

Malam ini, 16 Jun 2011, kita bakal melihat gerhana bulan. Jangan lupa buat solat sunat gerhana, sebagai manifestasi kecilnya kita di sisi Allah yang Maha Segala-galanya.

Monday, June 13, 2011

ASPIRASIKU UNTUK MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sajak seorang pelajar bukan Melayu kelas saya yang amat berbakat dalam penulisan sajak.


ASPIRASIKU UNTUK MALAYSIA

Malaysia
Tanah airku tercinta
Membangkitkan semangat waja
Menuju wawasan negara maju

Menjelang tahun 2020
Dengan wawasan teguh
Kami bentangkan harapan
Demi nusa tercinta ini

Tempat aku lahir
Tempat aku dibesarkan
Bersama rakan taulan
Tidak dibataskan rupa, warna kulit dan pegangan

Malaysia
Kudambakan perpaduan ini
Kekal selamanya

Karya
Tineshwary a/p Muniandy
5 ER (MAC 2011)

LANDAK RAYA: TIKUS BERDURI YANG BERPOTENSI DALAM EKONOMI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semasa berkunjung di rumah rakan di ...