Friday, July 19, 2013

KETAKUTAN SEMASA KECIL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perasaan takut atau fobia terhadap sesuatu, tidak dapat dipisahkan dalam jiwa setiap insan. Ketakutan boleh mendorong kita bersikap positif atau sebaliknya. Perasaan takut adalah normal bagi manusia, khususnya kanak-kanak. Semasa kecil, saya pernah mengalami perasaan takut kesan daripada menonton sebuah filem Melayu di TV. 

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya masih bersekolah rendah. Filem tersebut bertajuk PUAKA. Ia dibintangi oleh Ed Osmera dan diarahkan oleh Omar Rojik. Filem ini mengisahkan Tok Demang yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan Mak Esah, seorang bidan yang terkenal, untuk anaknya Mayang yang sedang mengandung. Oleh kerana tidak puas hati, Mak Esah meminta tolong anak saudaranya, Hitam, untuk menggunakan ilmu hitamnya bagi mengganggu keluarga Tok Demang. Hitam mencipta sejenis hantu dengan memotong kepala sahabat baiknya, Singkuang. Hantu Singkuang terus mengganggu Tok Demang, isterinya, anaknya Mayang serta suaminya Indera. Dengan bantuan ayah Indera, seorang bomoh, hantu itu berjaya dimusnahkan. Perkara itu tidak memuaskan hati Hitam, lalu Hitam membunuh ayah Indera. Tidak lama kemudian, Indera pula membalas dendam di atas kematian ayahnya dengan membunuh Hitam dan Mak Esah. Selepas peristiwa itu, kampung Tok Demang kembali aman.

Selepas tamat rancangan tersebut, saya terbayang-bayang hantu berkenaan. Ketakutan saya mula mencengkam apabila dua orang adik lelaki yang sekelambu dengan saya diulit mimpi. Rumah sudah menjadi senyap sunyi, tetapi mata saya masih belum mahu terlelap. Apabila saya memejamkan mata, hantu tersebut terbayang di fikiran. Berkali-kali ia berlaku dan saya menjadi resah. Akhirnya, saya menjerit meminta ayah membantu saya. Ayah pada mulanya 'bengang' kerana tidurnya diganggu. Tetapi perlahan-lahan dia memujuk saya supaya tidur. Malah, ayah tertidur di sisi saya dalam kelambu kami yang agak sempit.  

Apabila dewasa, saya ketawa sendirian menonton filem tersebut buat kali kedua, tanpa ada rasa takut pun. Sebabnya, saya dapati kosmetik untuk 'hantu' filem PUAKA amatlah ringkas dan tidaklah mencerminkan realiti hantu yang sebenarnya. Hantu tersebut digambarkan tinggal rangka dengan wajah buruk berambut panjang. Rupanya, rangka tersebut hanyalah baju hitam dengan ilustrasi tulang di hadapan dan belakang baju. Apabila hantu tersebut muncul pada waktu gelap malam, memanglah kelihatan menggelikan hati kerana penipuan tersebut sudah boleh dibaca oleh pemikiran orang dewasa. Wajahnya pula hanyalah tompok-tompok putih (mungkin cat atau tepung) yang ditempelkan di wajah pelakon tersebut, dengan rambut palsu yang berserongoi.

Namun, semasa zaman kanak-kanak, filem itulah yang menjadikan saya tidak tidur malam. Mengenangkannya kembali, saya boleh memahami betapa sayangnya ayah kepada saya. 

Alfatihah kepada arwah ayah dan emak. Moga Allah merahmati roh kedua-duanya.

Tuesday, July 16, 2013

Kebiadapan Terhadap Islam Perlukan Tindakan Tegas Bukannya Retorik

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Penghinaan terhadap agama Islam oleh segelintir rakyat Malaysia kini menjadi-jadi. Akibatnya, perasaan marah umat Islam memungkinkan perkara buruk terjadi. Seorang  lelaki berusia 24 tahun,  telah  dilarikan sekumpulan lelaki  menaiki kenderaan bernombor pendaftaran palsu. Mangsa berasal dari Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor itu kemudian ditinggalkan di sekitar Lebuhraya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dalam keadaan berbogel. 


Badannya diconteng oleh suspek kerana dia mengaku menghina orang Islam dan Melayu di laman sosial facebook dan Twitter. Mangsa dilaporkan tidak membuat laporan polis kerana bimbang kegiatannya terbongkar. Laporan polis hanya dibuat oleh penunggang motosikal menemui mangsa di lokasi. 

Sebelum itu, Alvin dan Vivian, pasangan berkiblatkan seks bebas di laman maya, turut ditahan SKMM dan disoal siasat atas sebab yang sama. 

Persoalannya kini, mengapa kebiadaban mereka semakin berkembang-biak? Jawapannya mudah, kerana pihak berkuasa agak lambat dan tidak bertindak sewajarnya. Tindakan terhadap seorang pengurus alat solek yang menghina YDPA tidak lama dahulu, hanyalah amaran dan percakapannya direkodkan. 
Perasaan marah yang membuak-buak tanpa diselesaikan boleh mengakibatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum berada pada tahap yang meruncing. Persepsi dan buruk sangka yang berterusan boleh mendorong tindakan luar kawalan undang-undang. 

Saya menyeru kepada kerajaan, khususnya pihak berkuasa, agar mengambil tindakan segera dan perlu bagi mengelakkan suasana harmoni yang kita miliki ini berakhir.
*Sumber foto daripada Mazidulakmal.blogspot.com.

Tuesday, July 9, 2013

Kayuhan MCT Sebelum Bercuti Ramadhan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seperti biasa, kayuhan hujung minggu MCT diadakan mengikut jadual. Tapi kali ini ia agak istimewa kerana kayuhan ini adalah program akhir sebelum semua ahli menumpukan perhatian kepada ibadah Ramadhan. 
Saya dan Hafiz berkayuh dari Lekir dan berkumpul dengan ahli  MCT di hadapan KWSP. Jumlah kami kali ini agak ramai, sekitar 17 orang, diketuai Hj Zul Kasiman dan Hj Din Estima. 
Hj Zul menerangkan laluan yang bakal kami tempuhi, melalui jarak 50 km, bermula di Seri Manjung-Kg. Koh-Pekan Gurney-Sungai Wangi-Kg. Bharu dan berakhir di Seri Manjung. 
 
Peloton kami di laluan landai selepas Pekan Gurney

Melepas lelah di stesen minyak Shell Sungai Wangi

Kami juga dijangka akan berehat di warung Paksu, sebelum simpang Aeon. Itulah perancangannya. Perjalanan pada awalnya memang mengikut jadual. Jentera Giant TCR saya tidak memberikan masalah. Kami bergerak dalam kumpulan besar dan mengikut arahan Hj Zul. Kayuhan kami agak santai tetapi ada juga ahli yang melepas gian memecut di jalan lurus.

Bagaimanapun, satu musibah terjadi semasa kami melepasi Sungai Wangi menuju ke Kg. Bharu. Kemalangan ketika kumpulan hadapan melakukan 'breakaway' melibatkan tiga orang ahli pasukan, iaitu Hafiz Janggut, Addy dan En. Rizal di selekoh dua kilometer sebelum Kg. Bharu. Kemalangan seperti ini kadang kala tidak dapat dielak. Hafiz dan Addy mengalami kecederaan ringan manakala Rizal patah tulang bahu. Jentera mereka ada yang rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi. 
Hafiz terbaring menunggu ketibaan ambulans

Mujurlah kecederaan mereka tidak parah

'Frame' jentera Addy nampaknya tidak dapat diselamatkan

Ambulans datang membawa rakan kami ke HSM
 
Berehat di warung Paksu selepas melalui 50 km
Kami membantu rakan yang cedera sebelum meneruskan perjalanan ke warung Paksu.
Selepas Syawal, kami akan berkayuh lagi.Insya-Allah. 
Selamat menyambut Ramadhan 1434 Hijrah kepada semua umat Islam. Hiasilah Ramadhan ini dengan ibadah untuk menambah saham di akhirat.

Thursday, June 27, 2013

Jerebu Di Manjung Yang Menyesakkan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berita musibah jerebu yang melanda sebahagian besar Semenanjung Malaysia terutama di pantai barat, meninggalkan banyak implikasi. Manjung juga mendapat tempias yang bukan sedikit, apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) kawasan Perak Selatan ini mencapai tahap berbahaya. Sekolah terpaksa ditutup pada Rabu, 26 hb JUN 2013, setelah bacaan IPU berada pada tahap bahaya. 

Kebetulan pula, ketika cuaca jerebu ini, Manjung menjadi tuan rumah Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Inggeris Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan tahun 2013. Ia bagi merebut Piala Datuk Wira Abdul Rahman Arshad dan disertai oleh semua kontinjen negeri sebanyak 16 pasukan.Kami berkampung di Teluk Batik Resort dari 23 hb hingga 26 hb Jun 2013.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia berucap ringkat Kebangsaan
Jadual pertandingan bahas
Saya terlibat dalam bahagian makanan dan menjadi pengiring kontinjen Johor. Akhirnya, pasukan Johor memenangi pertandingan akhir setelah menewaskan Pulau Pinang dengan perbezaan yang kecil. Pembahas terbaik juga menjadi milik peserta Johor iaitu saudara Kiethan yang petah berhujah menangkis pihak lawan.

Jerebu di Manjung menjadikan persekitaran kelihatan berkabus tetapi haba panas dan debu menyebabkan kita tidak selesa bernafas.

Berkat doa dan solat kepada Yang Maha Pencipta, serta usaha Jabatan Meterologi membuahkan hasil apabila hujan turun di kebanyakan kawasan seluruh negara termasuk Manjung. Hari ini, 27 hb Jun, cuaca begitu baik dan hilanglah rindu untuk melihat mentari menebarkan cahaya ke merata ceruk dunia. Syukur kepada Allah.
Jerebu di laluan Lekir berdekatan SK Lekir

Keadaan jerebu teruk pada Selasa 24 Jun di Lekir
 
Kenderaan ibu bapa bersimpang-siur mengambil anak yang dibenarkan pulang

Jerebu masih jelas pada petang Selasa 25hb Jun









Monday, June 3, 2013

BERSANTAI DI HUTAN LIPUR SEKAYU, HULU TERENGGANU


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Cuti sekolah kali ini, adik beradik sebelah isteri, berpakat untuk bersantai di Hutan Lipur Sekayu, 80 km dari bandar raya Kuala Terengganu. Sebenarnya, perancangan untuk ke Sekayu hanya dibuat secara kebetulan dan 'ad hoc' pada awal pagi Khamis, apabila kami kebetulan berbincang sementelah adik beradik bersama keluarga masing-masing berkumpul di rumah mertua di Batu Rakit.

Paginya merancang, dan menjelang tengah hari kami bertolak ke sana yang mengambil masa kira-kira satu jam. Kami melalui pekan Kuala Berang, yang sudah maju dan pesat berbanding era 90-an dan tiba kira-kira pukul 2 petang. Dari jalan utama, kami perlu masuk ke laluan kampung sejauh 15 km sebelum tiba ke lokasi tersebut. Cuaca yang redup membantu memberi ketenangan menghilangkan keletihan dalam perjalanan. Suasana yang damai dikelilingi kehijauan pohon hutan hujan berusia jutaan tahun amat menenangkan.
  
Sekayu terkenal sebagai lokasi percutian jauh daripada hiruk-pikuk kota


Ada bayaran masuk untuk dewasa sebanyak RM2/seorang


Bergotong-royong memasak BBQ di tebing lata Sekayu
Kami perlu membayar dua kali sebelum dibenarkan berkelah di sini. Pertama, bayaran parkir kenderaan yang dikutip di pintu masuk ke Sekayu. Sebaik tiba di sini, bayaran sekali lagi perlu dibayar kepada petugas yang menunggu di pondok bersebelahan pintu palang. Ironinya, menurut adik beradik ipar saya, sebelum ini tiada bayaran pun dikenakan. Tak mengapalah, fikir saya, kerana mungkin bayaran tersebut untuk menampung kos penyelenggaraan tandas dan kemudahan lain. 

Kami memilih lokasi yang tidak jauh dari lata yang berdekatan tempat persalinan. Di situ, sudah ada meja batu untuk duduk berehat. Ibu mertua saya yang agak keletihan mudah duduk di situ berbanding bersila di atas tikar. Setelah semuanya dikeluarkan dari kenderaan, kami mula memanggang ayam yang diperap dengan rempah istimewa oleh isteri dan adik-adiknya.

Anak-anak sudah tidak sabar untuk mandi di kawasan ini. Sengaja saya pilih kawasan yang kurang risiko. Tempatnya agak cetek dan arusnya kurang deras, berbanding di kawasan yang lebih dalam di bahagian atas. Berdasarkan pengalaman, lubuk yang dalamnya melebihi 7 kaki boleh membahayakan nyawa kanak-kanak. Apatah lagi fenomena 'kepala air' boleh menghanyutkan pengunjung yang tidak berhati-hati. 'Kepala air' adalah arus deras yang diakibatkan hujan di puncak bukit. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba dengan amaran deruan air yang kuat sebelum ia 'melanggar' apa sahaja di laluannya.

Mengalas perut sebaik tiba di Sekayu.

Kepuasan wajah-wajah yang gemar berendam
Sejuknya air di Sekayu sehingga menggetarkan bibir


Gaya tersendiri seorang gadis pingitan!
Lewat petang, santai kami di Sekayu sampai ke penghujungnya. Segalanya menarik untuk kami kongsikan, tetapi beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan Sekayu menjadi lokasi pilihan pengunjung untuk berehat. Antara kelemahan yang dapat saya kenal pasti adalah:
1. Kemudahan di tandas yang tidak mempunyai bekalan air berbanding tempat lain.
2. Kebersihan kawasan sekitar tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan sampah-sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung yang kurang kesedaran sivik bersepah di mana-mana. 
3. Tidak perlu kutipan yuran masuk yang tidak masuk akal jika kemudahan masih ditakuk lama. 

Sekayu, amat indah panoramanya. Insya-Allah, hujung tahun ini, kami merancang ke Tasik Kenyir pula!

Sunday, May 19, 2013

Kak Maheran Ibu Yang Tabah (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Agak terkejut juga apabila saya menerima mesej adik yang memaklumkan anak Kak Maheran, jiran kami di kampung telah meninggal dunia pagi tadi. Saya menghubungi rakan sekampung, yang kebetulan sedang menggali liang.
"Ha'ah, anak Kak Maheran yang Naim tu, meninggal dunia pagi tadi." Kata Kono mengesahkan berita tersebut.
Saya dan dua orang anak bergegas ke tanah perkuburan Islam Kg. Permatang. Hajat kami untuk memberi penghormatan akhir kepada Naim dimakbulkan Allah. Kami tiba ketika jenazah baru sampai untuk dikebumikan. 
Jenazah Naim dikebumikan

Wajah-wajah teman dan penduduk sekampung kelihatan di situ. Tetapi tak ramai yang saya kenal. Wajah saya pun mungkin asing bagi mereka kerana saya tidak lagi tinggal di sana. Kenangan lama kembali mengimbau. Kak Maheran, rumahnya di belakang rumah kami. Dia mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga kami. Dulu, saya sering melastik burung di halaman rumahnya. Rumah itu masih ada hingga kini, tetapi sudah tidak berpenghuni. Selepas suaminya meninggal dunia, mereka pindah ke Fasa 3A, tidak jauh dari kampung DSK. 
Anak-anaknya, Yob Nizam, Ana, Ani, dan Nomi turut berada di majlis terakhir untuk adik mereka.
Bacaan Yassin dan talkin untuk mengiringi perjalanan Naim
Yob Nizam di sisi keluarganya

"Kak ingat saya?" Saya menyapa Kak Maheran.
"Ein?" Dia membalas meminta kepastian. Itulah gelaran untuk saya di kampung dahulu.
Saya mengangguk kepala. Wajah tua Kak Maheran jelas kelihatan. Dia benar-benar ibu yang tabah. Dua orang anaknya, Yob dan Nomi adalah anak istimewa. Suaminya, Long Othman meninggal dunia pada bulan Mei tahun 2002, beberapa hari selepas kematian adik iparnya, Abang Din yang meninggal dunia akibat kanser.
"Naim balik daripada latihan silat pagi tadi. Dia sempat makan nasi lemak lauk ayam masak merah." Kata Kak Maheran menceritakan saat terakhir anaknya dijemput Allah.
"Selepas makan, dia mengadu penat. Kak suruh dia rehat. Dia tidur di bilik seperti biasa. Tak lama selepas itu, terdengar dia berdengkur pelik. Kak cuba kejutkan tapi dia kejang. Kak peluk dia.." Katanya sambil menyeka air mata.
Saya tak berani bertanya lagi. Makin banyak air matanya tumpah menahan sedih. 
Muhammad Naim, anak bongsunya baru berusia 20 tahun dan disahkan oleh pihak hospital mati akibat serangan jantung. Jenazahnya dikebumikan bersebelahan pusara abang iparnya, Zamri yang kembali ke rahmatullah pada Februari 2013.
Ani menyiramkan air di pusara adiknya

Alfatihah untuk Naim. Moga Allah menempatkannya di sisi hamba-Nya yang bertakwa.

Monday, May 6, 2013

NASIB ISLAM SELEPAS PRU13 (Kredit untuk Ustaz Redhuan Tee Abdullah)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tertarik dengan luahan pandangan ustaz Redhuan Tee Abdullah, yang dimuatkan di blognya. Kebimbangan beliau berasas, dan kerajaan pimpinan DS Najib harus memperkasakan kembali agenda untuk Melayu-Islam, bukannya melayan tuntutan puak chauvinist yang tidak tahu berterima kasih.


(Buka Minda Sinar Harian 6 Apr 2013)
Ketika artikel ini ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin), keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang. Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah  muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.
Analisis awal yang dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan Islam jarang kedengaran.
Kita lebih obses dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan, gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?
Lebih ekstrim lagi, mereka meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi sudah ultra paisi (jahat).
Pilihan raya adalah medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
PRU13 hanya alat, menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di buminya sendiri.
Saya tidak dengar ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain (vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat, bangsa dilaknat, negara tidak berkat.
Saya teramat sedih membaca kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon, panduan berpakaian dan sebagainya.
Pada saya, jika Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.
MCA ternyata semakin kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu menyindir PAS, sehingga menghina Islam.
Saya harap UMNO dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali berani mempermainkan agama wahyu ini.
Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang Islam yang ada dalam PRK dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?
DAP dan semua bukan Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Persoalannya, keranapa mereka masih menentang? Saya simpulkan, mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.
Mereka sengaja memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu. Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.
Saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak semakin hilang dan terhakis. 
 

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...