Sunday, December 10, 2017

BAITULMAQDIS: KEBODOHAN TRUMP TERSERLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Presiden AS, Donald Trump bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, walaupun dibantah oleh banyak pihak. Alasan Trump, sebagai negara 'berdaulat', Israel berhak mengubah ibu kotanya daripada Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Baitulmaqdis, atau disebut oleh masyarakat Palestin sebagai "AlQuds" merupakan tempat letaknya Masjidil Aqsa, satu daripada masjid penting dalam sejarah Islam. Israel menamakan kota ini sebagai Jerusalem, dan bercita-cita menjadikannya ibu kota negara haram tersebut sejak tercetusnya Perang Arab-Israel 1967.
Masjid Aqsa: Nasibnya memerlukan kesatuan ummah dunia

Bagi saya, tindakan Donald Trump bolehlah dianggap bagai mencurah minyak ke dalam api. Ia bukan sahaja mencetuskan kebangkitan semula Intifada rakyat Palestin, sebaliknya menyebabkan sokongan terhadap Amerika oleh Kesatuan Eropah dan negara Arab semakin pudar. Saya pernah menyatakan kebimbangan terhadap tindak tanduk Trump di sini.

Tindakan bodoh Trump pastinya dicetuskan oleh pelobi Yahudi yang selama ini menyokong kempennya. Trump dipetik sebagai berkata, presiden lain hanya berjanji semasa kempen, tapi dia berjanji dan mengotakannya. Begitulah sombongnya Trump, seorang presiden yang sering bertindak tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Memetik kata-kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapan beliau selepas keputusan Trump tersebut, presiden negara kuasa besar sepatutnya menjadi pendamai konflik, bukan memburukkannya. Malah, negara lain termasuk Malaysia tidak mengiktiraf keputusan Trump yang jelas menyebelahi negara zionis tersebut. Arab Saudi, yang diketahui proksi setia AS, juga menyatakan kekesalan atas tindakan AS tersebut.  

Umat Islam seluruh dunia, berdoa dan membuat demonstrasi di hadapan kedutaan AS sebagai membantah keputusan tersebut.  Perkembangan ini tentu mewujudkan rasa tidak puas hati yang berpanjangan terhadap AS, dan menyebabkan Israel semakin berani meratah rakyat Palestin yang sememangnya sudah menderita di penjara terbesar di dunia itu. 

Kita berharap, Sidang Tergempar OIC yang dipengerusikan oleh Turki, minggu ini menghasilkan keputusan yang berani, konsensus dan sepakat. Kita merindukan kekentalan pemimpin seberani Muhamad Alfateh, dan Salahuddin Al-Ayubi. Moga ada sinar di bumi Palestin. 

Monday, December 4, 2017

PILIHAN RAYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pilihanraya umum (PRU), merupakan sebahagian proses demokrasi di negara ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR adalah badan bebas di bawah Yang DiPertuan Agong yang melaksanakan tanggungjawab merancang, mengendalikan urusan berkaitan pilihanraya umum atau pilihan raya kecil di mana-mana Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. 

Akhir-akhir ini, tarikh  PRU dikatakan semakin hampir, dan sudah mula dicongak oleh parti-parti politik yang bertanding. Tidak kurang juga, kempen melalui media massa dan media sosial sudah mula digembleng demi memastikan mereka meraih undi rakyat.

Pastinya PRU ke-14 akan datang menentukan survival Barisan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, dengan timbalannya, Dato' Ahmad Zahid Hamidi. Ia juga bakal melihat sejauh mana pengaruh PAS selepas berpisah dengan parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan dan DAP. Munculnya Amanah dan Bersatu, sebagai entiti baharu dalam warna warni politik tanah air tampak memberi ruang pilihan kepada rakyat dalam mencorakkan pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Apa pun situasi dan keadaan, politik sebenarnya adalah alat untuk mentadbir negara. Parti politik boleh berjanji itu ini kepada rakyat, tetapi pada akhirnya, pihak yang mendapat undi majoriti di DUN dan Parlimen, akan pasti diisytiharkan pemenang oleh SPR. 

Kuasa mengundi di tangan rakyat, dan jangan sia-siakan apa juga peluang yang anda miliki. Bersyukurlah kerana di negara kita, demokrasi masih subur. 

Thursday, November 23, 2017

PROJEK MENYIAPKAN BILIK KECEMERLANGAN SEBAYU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

SEBAYU mempunyai Bilik Kecemerlangan, tapi masih belum berjaya disiapkan. Pihak sekolah mendapat sumbangan Ahli Parlimen Larut dan RM6000 kami bercadang untuk digunakan melengkapkan bilik tersebut. Bagaimanapun, jumlah tersebut jauh daripada perbelanjaan yang perlu ada. Bilik tersebut agak besar, dan kami bercadang untuk menjadikan lantainya bertingkat. Segalanya memerlukan kos, dan ia menjadi kekangan kepada pihak sekolah. 

Idea Penolong Kanan Pentadbiran, Haji Abdul Malik, amat menarik hati saya. Beliau mencadangkan agar usaha menyiapkan bilik tersebut didokong bersama oleh ibu bapa melalui sumbangan jubin berukuran 1' x 1'. Setiap keluarga memberikan sumbangan 2 keping jubin, dan kami boleh dapat 1600 keping jubin jika 800 orang ibu bapa memberi sumbanga tersebut. Bata, simen dan keperluan lain akan ditampung melalui sumbangan para guru dan dermawan sekitar Sungai Bayor. Dengan demikian, Bilik Kecemerlangan SEBAYU yang tersedia nanti, adalah hasil SARANA ibu bapa dan Guru, sekaligus membuktikan hubungan rapat antara sekolah dan komuniti Sungai Bayor. 


Awal tahun hadapan, bilik itu akan berubah bentuk. Itulah tekad saya. Insyaallah, kami akan buktikan ia mampu dijayakan.
   

Thursday, November 16, 2017

KUNJUNGAN VETERAN TENTERA SELAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Pada Rabu 15/11, saya menerima kunjungan rombongan veteran ATM daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Selama. Mereka diketuai PW (B) Zulhisham, datang untuk menyatakan penghargaan kepada SEBAYU yang mempunyai hubungan baik dengan para veteran ATM, khususnya PBTM Cawangan Selama. 
Saya, En. Ghaffar dan barisan ahli PBTM Selama

Majlis taaruf, mereka menceritakan pengalaman sebagai tentera


Dari kiri:Wahid, Mutalib, Zulhisham, saya, Ghaffar, Fauziah, Ahmad, Ishak, Adenan, Asmah dan Ishah
En. Wahid, En. Mutalib, Zulhisham dan saya

Friday, November 10, 2017

BANJIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Banjir atau bah, adalah suatu fenomena biasa berlaku di kawasan tanah rendah, tepi sungai atau lembah yang berdekatan punca air. Banjir kadang kala mengundang musibah tragik. Antaranya kes mati lemas dan kerosakan harta benda yang bukan sedikit. 

Di kampung saya dahulu, pernah berlaku banjir besar. Seingat saya, ia berlaku ketika saya masih di sekolah rendah. air melimpah masuk ke bahagian dapur, kerana lantai dapur agak selari dengan tanah. Di jalan hadapan rumah, air memenuhi seluruh kawasan, sehingga ia menjadi bagaikan tasik.

Mak menasihati kami agar tidak bermain air banjir, kerana bimbang akan keselamatan. Namun begitu, kami meranduk juga air banjir kerana seronok bermain air. 

Itulah kenangan zaman kanak kanak dahulu. Hari ini, banjir berlaku dengan saiz yang agak besar di Pulau Pinang. Hujan lebat turun lebih daripada 15 jam, menyebabkan pulau tersebut lumpuh, sehingga memaksa Ketua Menteri Lim Guan Eng memohon bantuan kerajaan pusat khususnya Angkatan Tentera Malaysia.

Isu banjir tidak boleh dipolitikkan. Kita harus membantu negeri dan mangsa banjir, kerana ia bukan sesuatu yang diingini oleh semua pihak. Lim Guan Eng belajar banyak perkara daripada banjir yang berlaku di Pulau Pinang. Selepas ini beliau mungkin lebih berhati hati apabila melihat banjir berlaku di negeri lain. 

Wednesday, November 8, 2017

SEBAYU TERUS MENCIPTA KEJAYAAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Cikgu Anuar Nordin (bersongkok) dan pasukan SEBAYU

Tahniah kepada  pelajar yang mengharumkan nama SEBAYU

SMK Sungai Bayor (SEBAYU) sekali lagi mencipta kejayaan dalam bidang inovasi apabila hasil ciptaan sekolah diiktiraf di peringkat tinggi. Kejayaan meraih anugerah Emas dan "Best of The Best" dalam 6th International Innovation, Invention and Design Competition di Casuarina Meru, Ipoh pada 7 November 2017, membuktikan sekolah luar bandar mampu bersaing dengan institusi terkemuka tanah air dan luar negara.

Dalam pertandingan tersebut, lebih 300 penyertaan telah mempamerkan hasil ciptaan masing masing. SEBAYU diwakili oleh pelajar tingkatan 3 dengan dibimbing oleh Cikgu Anuar Nordin, telah mempersembahkan Mesin Mengisi Tanah Dalam Polibeg untuk pertanian.  Mesin ini adalah hasil cetusan idea penduduk Sungai Bayor yang sering mengalami kesulitan memasukkan tanah dalam polibeg kecil. Melalui kreativiti pelajar dan bimbingan cikgu Anuar, akhirnya ia telah membuka mata pelbagai pihak dan mampu diketengahkan. 

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua guru SEBAYU yang membantu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha memartabatkan kejayaan inovasi ini. 

Syabas kepada cikgu Anuar dan pasukan inovasi SEBAYU. 

Saturday, November 4, 2017

SELAMAT MENDUDUKI SPM, BUAT ANAK-ANAK SEBAYU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

SPM kembali lagi, bermula 6 November dan berakhir 4 Disember 2017. Peperiksaan ini penting kepada pelajar tingkatan 5, menentukan sama ada mereka mampu menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, atau sebaliknya. 

Bagi 179 orang calon SPM SMK Sungai Bayor (SEBAYU), ia tentunya menjadi cabaran kepada saya sebagai pengetua. Para guru SEBAYU telah memberi segala ilmu yang perlu. Terpulang kepada anda untuk mempersembahkan jawapan terbaik dalam peperiksaan nanti. 

Semoga Allah berikan kejayaan kepada semua 443, 883 orang calon SPM 2017, khususnya di SMK Sungai Bayor, Selama

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...