Sunday, December 10, 2017

BAITULMAQDIS: KEBODOHAN TRUMP TERSERLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Presiden AS, Donald Trump bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, walaupun dibantah oleh banyak pihak. Alasan Trump, sebagai negara 'berdaulat', Israel berhak mengubah ibu kotanya daripada Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Baitulmaqdis, atau disebut oleh masyarakat Palestin sebagai "AlQuds" merupakan tempat letaknya Masjidil Aqsa, satu daripada masjid penting dalam sejarah Islam. Israel menamakan kota ini sebagai Jerusalem, dan bercita-cita menjadikannya ibu kota negara haram tersebut sejak tercetusnya Perang Arab-Israel 1967.
Masjid Aqsa: Nasibnya memerlukan kesatuan ummah dunia

Bagi saya, tindakan Donald Trump bolehlah dianggap bagai mencurah minyak ke dalam api. Ia bukan sahaja mencetuskan kebangkitan semula Intifada rakyat Palestin, sebaliknya menyebabkan sokongan terhadap Amerika oleh Kesatuan Eropah dan negara Arab semakin pudar. Saya pernah menyatakan kebimbangan terhadap tindak tanduk Trump di sini.

Tindakan bodoh Trump pastinya dicetuskan oleh pelobi Yahudi yang selama ini menyokong kempennya. Trump dipetik sebagai berkata, presiden lain hanya berjanji semasa kempen, tapi dia berjanji dan mengotakannya. Begitulah sombongnya Trump, seorang presiden yang sering bertindak tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Memetik kata-kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapan beliau selepas keputusan Trump tersebut, presiden negara kuasa besar sepatutnya menjadi pendamai konflik, bukan memburukkannya. Malah, negara lain termasuk Malaysia tidak mengiktiraf keputusan Trump yang jelas menyebelahi negara zionis tersebut. Arab Saudi, yang diketahui proksi setia AS, juga menyatakan kekesalan atas tindakan AS tersebut.  

Umat Islam seluruh dunia, berdoa dan membuat demonstrasi di hadapan kedutaan AS sebagai membantah keputusan tersebut.  Perkembangan ini tentu mewujudkan rasa tidak puas hati yang berpanjangan terhadap AS, dan menyebabkan Israel semakin berani meratah rakyat Palestin yang sememangnya sudah menderita di penjara terbesar di dunia itu. 

Kita berharap, Sidang Tergempar OIC yang dipengerusikan oleh Turki, minggu ini menghasilkan keputusan yang berani, konsensus dan sepakat. Kita merindukan kekentalan pemimpin seberani Muhamad Alfateh, dan Salahuddin Al-Ayubi. Moga ada sinar di bumi Palestin. 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, ...