Tuesday, August 6, 2019

POLEMIK TULISAN JAWI DAN KHAT HARUS DIHENTIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan memperkenalkan tulisan jawi kepada murid Tahun 4 sekolah rendah, ia menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli politik dan masyarakat. Ada yang bersetuju, ada yang membantah, dan tidak kurang juga mereka yang bersikap 'tunggu dan lihat' terhadap perkembangan isu ini.

Tulisan jawi adalah kombinasi huruf Arab yang telah digunakan sejak kedatangan Islam di Nusantara pada abad ke-9 Masehi. Tulisan ini digunakan secara meluas oleh orang Melayu Nusantara dalam pelbagai bidang penulisan dan kesenian.

Seni tulisan khat pula lebih popular dijadikan sebagai hiasan di dinding rumah, pejabat, sekolah ataupun kedai. Ia boleh dihasilkan dalam pelbagai motif, mengikut corak dan jalinan elemen yang pelbagai.

Melihat kepada tulisan jawi dan khat yang semakin terpinggir dan dipinggirkan, pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa tulisan jawi akan digunakan dalam buku teks di semua sekolah termasuk SJK Cina dan SJK Tamil tepat pada masanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Menurut KPM, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat bantahan dua pertubuhan Cina iaitu Dong Zong dan Jiao Zong, dengan alasan ia cubaan halus pihak kerajaan menarik minat generasi muda bukan Islam kepada agama tersebut.

Bantahan turut disertai oleh seramai 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, malah dilaporkan mereka bertekad mahu mengadakan perhimpunan membantah tindakan Kementerian Pendidikan itu.

Dalam hal ini, mereka yang membantah seharusnya lebih terbuka kerana tulisan jawi dan khat tidak ada kena-mengena dengan agama.

Sasterawan dan pejuang bahasa berketurunan Cina, Dr Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Saya bersetuju dengan ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek untuk mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan Malaysia istimewa, sekaligus isu ini tidak perlu dipolitikkan lagi.

Pada era kerajaan Pakatan Harapan, orang Melayu juga perlu bersikap terbuka jika KPM memperkenalkan tulisan Cina dan India dalam subjek bahasa tambahan di semua sekolah.

Tuesday, July 30, 2019

KUTU TANAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bagi kanak kanak kampung sehingga dekad 80-an, aktiviti 'memancing kutu tanah' adalah detik yang menyeronokkan. Ia sama seronok dengan aktiviti menangkap kumbang kayu denggunakan botol. 

Kutu tanah adalah sejenis serangga sebesar butir gandum yang bersarang di pasir halus. Sarangnya seakan akan lubang pada permukaan bulan, biasanya di kawasan redup seperti bawah rumah bertiang. 
Rupa fizikal kutu tanah, mirip hama yang biasa dlihat melalui mikroskop
Sarang kutu tanah biasanya dikawasan redup seperti bawah rumah bertiang tinggi

Anak anak saya mencuba aktiviti ini walaupun kekok pada awalnya

Benang sari bunga raya dijadikan joran

Wednesday, July 17, 2019

MALAYSIA MENJADI LONGGOKAN SAMPAH NEGARA MAJU?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam laporan BH baru-baru ini, Malaysia didakwa menjadi tempat lambakan sampah dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Sepanyol, Perancis, Jerman, Ireland dan Jepun.
Ini tentunya menyebabkan kita berasa marah, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. AS sahaja dikatakan menghantar hampir 50 peratus daripada keseluruhan sisa plastik yang dihasilkan di negara terbabit, belum lagi 32 negara lain yang dikira mempunyai longgokan sampah yang banyak untuk diterima di negara kita.
Lebih membimbangkan kita sebagai penduduk adalah kilang yang menerima sisa buangan ini kebanyakan beroperasi secara haram tanpa lesen selain mereka menggunakan alatan berteknologi rendah.
Kita tidak mahu amalan prosedur pelupusan sampah yang tidak mengikut standard nanti mengundang bahaya kepada negara terutama penduduknya.
Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor antara contoh sikap tidak bertanggungjawab sebilangan pengusaha yang membuang sisa kilang secara sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat.
Hari ini, China yang sudah 25 tahun menjadi destinasi sisa buangan dari seluruh dunia, sudah tidak berbuat demikian kerana menyedari masalah alam sekitar yang mereka hadapi.
Sudah pastinya kesediaan negara ini menerima sampah dari seluruh dunia mengundang persoalan tentang kemampuan pihak terbabit dalam mengekalkan kesihatan alam sekitar.
Memang benar industri kitar semula plastik terutama mampu memberi pulangan lumayan kepada negara. Namun kita tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab menerima sampah berkenaan, namun gagal melupuskannya dengan cara sepatutnya.
Sudah pastinya lama kelamaan, negara hanya menjadi ‘tong sampah’ kepada negara luar sebagai tempat untuk melupuskan sampah mereka.
Jika ditanya seluruh rakyat Malaysia, saya pasti ramai tidak mahu mengorbankan kesihatan alam sekitar yang dikecapi hanya semata-mata untuk memenuhi poket pihak tertentu.

Tuesday, July 9, 2019

TRIP CANDAT SOTONG KGKT SMKBS DI CENDERING

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


     Pada 5 Julai hingga 7 Julai 2019, seramai 14 orang guru dan staf sekolah menyertai trip mencandat sotong di Terengganu. Perancangan ini dibuat lebih awal iaitu selepas raya aidilfitri. Objektif trip program ini adalah mengukuhkan hubungan sesama ahli, di samping menimba pengalaman mencandat sotong.

   Setelah menempah bot candat dan sewa bilik di pelabuhan Cendering, kami bertolak dengan sebuah van dan  sebuah 
CRV melalui jalan Gerik-Jeli pada 4 petang Jumaat 5 Julai. Kami akhirnya selamat tiba di penginapan pada jam 2 pagi, Sabtu 6 Julai.

Selepas solat subuh, kami dapat melihat rutin nelayan Cendering di tempat pemunggahan ikan dari kapal yang baru tiba di jeti. Selepas bersarapan nasi dagang di gerai popular Kampung Atas Tol, kami dibawa ke Bengkel Pembuatan Kapal Tradisional di Pulau Kambing. 

Sempat juga kami ke Pasar Payang sebelum balik berehat untuk persediaan mencandat sotong bermula 5 petang.

Ustaz Imran bertindak sebagai chef memasak makanan, manakala yang lain berusaha mencandat sebanyak mungkin sotong di laut. Nasib tidak menyebelahi kami, sotong yang dicandat tidak begitu banyak, tetapi kami mendapat banyak ikan kerisi, mengkerong, alu-alu, dan kerapu. 

Dalam perjalanan pulang, kami melalui jalan Kenyir-Aring-Gua Musang. Ia menyajikan pandangan menarik kerana dapat menikmati panorama semulajadi hutan hujan yang indah dan damai. Kami juga berkesempatan mengelilingi tasik Kenyir dan melihat kemudahan di sekitar kawasan eko-pelancongan ini. Rumah rakit berharga antara RM1500 hingga RM3000 semalaman, boleh menempatkan antara 20 -25 orang dalam satu masa. 


#MABUK LAUT

Antara perkara yang membimbangkan saya adalah mabuk laut semasa di dalam bot. Ustaz Imran paling awal mengalami gejala mabuk laut, diikuti Zakuan. Alunan ombak tidak begitu besar, kerana cuaca agak baik, namun ia tetap menyukarkan kami yang rata rata tiada pengalaman mencandat sotong. 

#SOLAT ATAS BOT

Solat atas bot adalah satu pengalaman baharu. Ia sedikit menyukarkan kami, yang terpaksa mengimbangkan badan ketika berdiri betul dan membaca AlFatihah. Ketika rukuk dan sujud lebih mudah dilaksanakan. Namun begitu, kami tetap laksanakan kewajipan sebagai muslim. 

#ZAMAN MALAP PEMBUATAN KAPAL NELAYAN TRADISONAL

Kami berkesempatan bertemu Aki, pembuat kapal tradisional di Pulau Kambing. Menurutnya, pada era 70-an dan 80-an, ada hampir 35 buah bengkel membina kapal nelayan di sekitar Pulau Kambing. Hari ini, hanya tinggal 3 buah bengkel yang masih meneruskan pembinaan kapal. Antara puncanya adalah generasi muda kurang minat untuk terlibat dalam perusahaan ini. Selain itu, kos pembuatan kapal daripada kayu cengal adalah mahal dan mengambil masa sehingga 3 tahun untuk disiapkan.

#PULAU KAPAS

Kami mencandat sotong tidak jauh daripada perairan sekitar pulau Kapas, iaitu Taman Laut yang kaya dengan hidupan akuatik yang dilindungi. Pulau ini tidak boleh dimasuki oleh mana mana bot yang tiada permit khas. Selain itu, aktiviti memancing dan menangkap ikan sekitar pantainya adalah satu kesalahan. Ramai pelancong luar mengunjungi pulau ini untuk menikmati keindahan semulajadinya.

#TASIK KENYIR

Tasik berkeluasan sebesar negeri Perlis ini mampu menjadi tarikan pada masa hadapan, kerana keindahan kawasannya yang masih terpelihara. Kemudahannya rancak dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu, sesuai dengan statusnya sebagai kawasan bebas cukai. Namun begitu, saya optimis kawasan ini bakal menjadi tarikan utama pengunjung luar dan dalam negara dalam masa 5 tahun lagi.


Tim candat sotong SMKBS

menikmati ikan segar yang dimasak di atas bot

Penyerahan cenderahati kepada PokLah dan Pok Nasir tekong bot

Perjalanan menuju ke lokasi candat di perairan Terengganu

Bot candat agak selesa untuk kami

Thursday, July 4, 2019

CEKAM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Luka akibat kuku menusuk daging, boleh mengakibatkan kesakitan pada jari kaki. Itulah yang saya alami minggu lalu. Bermula khamis 27 Jun, ibu jari kaki kanan sudah berasa bengkak. Pada Sabtu 29 Jun, saya ke PWTC untuk hadir mesyuarat ANGKASA seluruh negara. Turun naik anak tangga dengan berkasut akhirnya 'membuahkan' bengkak bernanah pada luka yang semakin parah. Pada Ahad 30 Jun, saya gagahkan diri ke dusun pakcik Yob Ibrahim mengutip durian sambil menjala di anak sungai belakang dusun.

Akhirnya, luka cekam semakin parah dan saya 'menyerah diri' ke klinik Lekir. Klinik dan hospital adalah dua tempat yang paling akhir saya singgah jika keadaan memerlukan. Pada Selasa 2 Julai, sehari selepas genapnya usia saya 48 tahun, kuku yang cekam dicabut juga.

Pembantu perubatan yang saya kenali, Fairol Rossi, seorang staf perubatan yang amat profesional. Dia memaklumkan setiap langkah yang bakal diambil, melalui prosedur yang tertib. Keliling ibu jari kaki kanan saya disuntik dengan ubat bius, kemudiannya dibiarkan seketika untuk membolehkan ubat tersebut meresap ke sel sel saraf. Dia kemudiannya menguji dengan menyentuh jari yang sakit. Apabila saya tidak lagi berasa sakit, bermakna ubat bius sudah mula bertindak terhadap bahagian jari.

Tempoh penyembuhan juga agak lama, saya dinasihatkan tidak berkasut untuk tempoh dua minggu, sehingga kuku baharu tumbuh. 
Mesyuarat Agung ANGKASA di PWTC

Menikmati durian di dusun Pak Yob Ibrahim Kg. Paya Lintah

Penderitaan cekam sampai penghujung

    


Thursday, June 20, 2019

RINDU KENANGAN MEKAH BERTAMU KEMBALI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tiket pas masuk pesawat

Kenangan foto akhir bersama Andak

Menanti pesawat meluncur di landasan

Room mate isteri

Suasana bilik saya dan Haji Munshi

Kaabah di hadapan mata

Masjidilharam waktu malam
Saya masih ingat tarikh 2 Ogos 2017, iaitu tarikh saya dan isteri dijadualkan ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji. Kami berada di sana selama 44 hari, sehingga 14 September 2017. Saya ada catatkan kenangan di sana dalam entri sebelum ini. Jika anda berminat membacanya, cari di entri tahun 2017 di sebelah kanan blog ini.

Apabila sahabat saya, cikgu Musa dan isterinya Kak Pah dapat menjadi tetamu Allah musim 2019, ia menimbulkan satu perasaan rindu kepada kenangan di Mekah. Antaranya adalah kisah di bawah ini.


Di kedai kedai kebab berdekatan Masjidilharam, saya lalu di gerai yang kelihatan penuh dengan pelanggan sedang berbaris. Tiba tiba seorang lelaki menyapa saya, "Malaysia?"

Saya angguk. 

Dia terus menunjukkan isyarat 'thumbs up' dan berkata, "Malaysia bagus,..", lalu menunjukkan isyarat menadah tangan. 

"Sadaqah... sadaqah," katanya lagi. Saya ketika itu tak memahami situasi itu, lalu, dia menerangkan dalam Bahasa Inggeris yang mudah difahami, bahawa 'pelanggan' yang saya lihat sedang berbaris itu adalah jemaah daripada beberapa negara miskin, kebanyakan mungkin daripada Afrika (melihat warna kulit dan struktur tubuh mereka, saya percaya mereka daripada rantau sebelah Afrika Barat).

Kebiasaannya pakej derma makanan yang disediakan adalah sebiji kebab dan minuman, untuk seramai 20, 40 atau lebih, bergantung kepada jumlah sumbangan para dermawan.

Jika dermawan budiman menderma 100 riyal, mungkin ia mampu memberikan makanan kepada 25 orang, lalu berbarislah para fakir tadi sambil mengucapkan "alhamdulillah" berulang ulang kali dan berdoa untuk si penderma. 

Memang ketika itu, satu perasaan puas dan hiba melihat situasi begini, yang tiada pun di mana mana kedai di negara kita. 

Jika anda mempunyai lebihan rezeki untuk dikongsi semasa di sana, ambil lah peluang ini. 


Moga saya berpeluang menjejak kaki ke sana lagi.

Monday, June 10, 2019

SALAM AIDILFITRI DARIPADA KAMI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari raya, bukan sekadar manifestasi kejayaan menamatkan puasa sebulan sepanjang Ramadhan. Ia sebenarnya adalah masa mengeratkan hubungan silaturrahim, kekeluargaan dan ukhuwah sesama insan, saudara mara, keluarga dan handai taulan.

Permata hati saya




Keluarga besar Ayah Wan

Rangkaian sepupu di Batu rakit
Kami di rumah Yong di Batu 7 Lekir
Itulah sebabnya, fenomena 'Balik Kampung' amat sinonim dengan hari raya, sehingga menjadi satu tajuk lagu Sudirman, yang popular sepanjang musim raya. 

Balik ke kampung isteri di Terengganu, melalui perjalanan sejauh 460 km merentasi Banjaran Titiwangsa, menyusuri Felda Aring dan Tasik Kenyir, adalah sesuatu yang menyeronokkan biarpun sedikit penat.

Kembali ke Perak, dapat juga saya bertemu adik beradik dan saudara mara. Semua ini menjadi tradisi masyarakat kita yang perlu dipertahankan.

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin daripada saya. Sekiranya ada tutur bicara, perkataan dan perangai yang menyinggung hati dan perasaan, mohon apalah kiranya dimaafkan kerana saya juga tak lepas daripada kelemahan sebegitu. 
Berdoalah kita bertemu lagi dengan Ramadhan tahun tahun berikutnya. 

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...