Sunday, November 1, 2009

Pentingnya Wasiat Sebelum Mati

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Statistik daripada web Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Wasiat kadang kala dianggap tidak penting dalam kalangan warga Malaysia, khususnya orang Islam. Kematian individu yang mempunyai harta mendatangkan masalah kepada mereka yang hidup, apabila si mati tidak berwasiat tentang hartanya sebelum berhijrah ke alam baqa.

Mungkin ada yang beranggapan berwasiat atau membahagi-bahagikan harta, menunjukkan kecintaan kepada dunia. Tidak kurang juga yang beranggapan, wasiat boleh diselesaikan oleh mereka yang hidup kemudian.

Hakikatnya, wasiat sangat perlu dibuat. Apatah lagi, penyelesaian wasiat selepas kematian amat memeritkan, dan mengambil masa yang lama. Karenah birokrasi menambahkan lagi kekusutan hal ini.

Menurut PPIM, orang Islam kurang menyedari pentingnya wasiat. Ini dibuktikan apabila kurang 300, 000 wasiat dibuat pada tahun 2007.

Penduduk Malaysia pada tahun 2008, dianggarkan 28 juta orang. Daripada jumlah ini, 10 juta orang terdiri daripada orang Islam yang berumur 18 tahun dan ke atas. Ini bermakna, jumlah orang Islam yang menyediakan wasiat sebelum kematian mereka tidak sampai 10%!

Impak daripada ini adalah, ia menyebabkan harta milik orang Islam tidak dapat diselesaikan. Bayangkan, jumlah wang simpanan, rumah, tanah dan seumpamanya menjadi pertikaian ahli keluarga. Bukan setakat itu, ia juga menjadi sebab terputus hubungan adik beradik, saudara mara dan menimbulkan fitnah yang berpanjangan. Malah, ada harta seperti tanah yang tidak diurus dan terbiar selama bertahun-tahun, kerana tiada penyelesaian berkaitan pemilikannya.

Dengan adanya Amanah Raya dan institusi kewangan seperti Bank Islam yang boleh menguruskan perkara ini, sepatutnya kita mengambil peluang untuk membuat wasiat demi kepentingan orang tersayang. Cara ini akan dapat mengurangkan statistik masalah berkaitan harta orang Islam selepas mereka mati.

Jika anda mempunyai harta dan tanah, berwasiatlah untuk kemudahan mereka yang disayangi.

Friday, October 30, 2009

Toman bunga bercorak kalimah "Allah"

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 
 KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMA

SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.
Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.
"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.
"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.
Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.
Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.
"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.
Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.
"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.
"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA

NOTA:
Selepas ini, berduyun-duyunlah orang ramai ke FELDA Aring 1, Gua Musang untuk melihat sendiri keajaiban ciptaan Allah. Sebenarnya, tak perlu dihairankan sebab memang Allah berkuasa di atas segala-galanya. 

Sebelum ini, seorang bayi di Rusia menjadi tumpuan media antarabangsa apabila hampir seluruh tubuhnya tertulis dengan ayat-ayat Quran yang silih berganti. 

Jangan jadi kemaruk tengok sejadah berdiri, sudahlah. 

Wednesday, October 28, 2009

Hapah Tak Dikisahnya..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pengalaman mendidik pelajar tahap sederhana amat besar cabarannya. Pelajar kelas sederhana, disebut juga kelas hujung, merupakan mereka yang berprestasi rendah, kurang motivasi dan sering menimbulkan masalah disiplin. Selalunya ramai guru mengelak daripada diberikan amanah mengajar di kelas ini, tetapi bagi saya, ia satu anugerah. Lagipun, kalau semua guru tidak mahu mengajar kelas begini, apa pula nasib mereka.



Dalam kalangan pelajar kelas hujung, antara mereka termasuklah dua orang pelajar saya yang bakal menduduki SPM 2009. 



Mereka memang 'pemalu' orangnya. (Foto selepas kantoi ponteng)
 

Pelajar ini saya namakan sebagai "A" dan "F", kedua-duanya lelaki, dan rakan baik. Ke mana sahaja, selalunya mereka bersama. Ponteng kelas sudah seakan biasa. Merokok di tandas pun pernah 'kantoi' tetapi tak serik-serik. 

A berwatak ceria, lebih gelap kulitnya, rendah dan suka tersenyum. Manakala F pula tinggi, tetapi pendiam dan agak 'lembut' aksinya. 


Dari segi akademik, usahlah berharap mereka cemerlang, asal lulus pun sudah memadai. Mereka bukan jenis biadab terhadap guru. Ambillah apa juga tindakan, mereka terima.


Kertas awal yang perlu dijawab adalah Bahasa Melayu iaitu pada 18 November nanti. Maknanya, hanya tinggal 23 hari lagi. Dalam tempoh minggu-minggu terakhir sebelum SPM, kebiasaannya guru akan memberi latih tubi dan latihan pengukuhan berterusan. 

Begitulah rutin kami pada minggu-minggu terakhir sebelum peperiksaan utama. 

Untuk pelajar kelas hujung, mereka perlu 'dikepung' supaya tiada yang bolos ponteng sekolah atau kelas.



Hari ini, A  dan F sempat lagi ponteng kelas saya. Sebelumnya, saya sudah berpesan kepada semua pelajar kelas tersebut, bahawa kelas berjalan seperti biasa. A dan F sempat 'melarikan diri' bersama pelajar tingkatan 4 yang balik awal kerana terlibat dalam peperiksaan akhir tahun.


Saya dapat 'menangkap' mereka  yang hampir melepasi pintu pagar utama. Biarpun sudah dihukum, A dan F tersenyum dan tersengih.

Bagai tiada rasa insaf di hati mereka. Agaknya, mereka berasa selesa melanggar peraturan. Mungkin juga mereka tiada rasa tanggungjawab untuk lulus dalam SPM 2009.


Kata orang Perak, hapah tak dikesahnye...

Tuesday, October 27, 2009

Doktor Kasut (Sajak)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

(Sajak ini khusus untuk Doktor Kasut seluruh Malaysia)



Doktor kasut itu

Kedut tua memamah wajahnya
Melangkah longlai 
menuju pejabat tanpa hawa dingin
di lalu lalang sibuk 
berbekal benang kasar dan jarum besi
dia menahan pedih mata 
asap dan bunyi kereta warga kota


Seorang gadis melecet kakinya
Dengan senyuman tak lekang
Dia menanti setia
Sepatu tingginya sudah uzur
Biar saja doktor kasut merawatnya
hingga sepatunya kembali dapat berjasa



Doktor kasut itu

Tidak akan kaya harta
Manusia hari ini sudah tidak bisa
merawat kasut mereka
buang saja yang lama
kerana poket dan saku mereka
sentiasa berisi
untuk membeli sepatu baru

Sunday, October 25, 2009

Risiko Rumah Di Tepi Jalan





Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Tengah hari tadi, sebuah lori kecil membawa peralatan sembahyang Cina terlanggar sebuah rumah., betul-betul di hadapan Warung Selera Kampung, yang menjadi tumpuan masyarakat di sini.

 Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas. Mengikut ceritanya, pemandu Cina itu gagal mengawal kenderaan setelah bergesel dengan sebuah lori lain. Akibatnya, dia terbabas sehingga melanggar bahagian tepi rumah tersebut.


Bukan itu sahaja, sebuah Iswara sedan milik tuan rumah yang malang itu turut rosak teruk. Mujurlah tiada kemalangan jiwa. Hanya melibatkan kerosakan rumah dan kenderaan.




Pelik juga jika berumah di tepi jalan. Kemalangan yang tak sepatutnya berlaku, boleh menyebabkan kerugian yang bukan sedikit.

Saturday, October 24, 2009

Kami Berjaya Mengemas Bilik Guru


Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sekalung penghargaan kepada semua yang menjayakan Gotong Royong Mengemas Bilik Guru.


Keterangan foto : Latar-Ustazah Faridah dibantu pelajar asrama memindahkan barang. 
(Ikut arah jam)-Keadaan bilik guru yang bagai diserang garuda ketika operasi pemunggahan; Pelajar asrama turut membantu memasang langsir;Senyuman Cikgu Shamsul, kaunselor kami yang ringan tulang.
 

Program Gotong Royong berjaya mengubah keadaan Bilik Guru. Bagaimanapun, pelan asal terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan saiz dan ruang yang terhad.

Kesuntukan masa menyebabkan urusan mengubah suai kedudukan meja guru ditunda pada minggu hadapan. Biarpun penat, ia sesuatu yang berbaloi.  Yang pasti, aktiviti KGKT kali ini berjaya menyusun bilik guru yang kali terakhir disusun pada 2001.




Keterangan foto (Ikut arah jam): Latar- Sebahagian daripada pekerja dan pelajar yang turut sama membantu gotong royong kali ini. Pengerusi Kelab guru, Cikgu Nazeem tersenyum lebar kerana program berjaya mencapai sasaran. Guru-guru lelaki sedang menikmati jamuan tengah hari. Sebahagian daripada guru wanita yang hadir menyumbang tenaga.

Kesimpulannya, Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Seikat bagai lidi, serumpun bagai serai.  Jika bersatu, semua yang dirancang boleh dijayakan.


Kepada rakan yang tidak hadir, pasti mereka akan terkejut melihat perubahan yang berlaku. Tapi jika ada barang anda yang 'hilang', ia mungkin tersalah letak..

Friday, October 23, 2009

Gotong Royong Bilik Guru

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Esok, Sabtu 24 Oktober 2009, Kelab Guru akan mengadakan gotong royong membersihkan bilik guru, bilik solat dan seumpamanya. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada program LADAP, selain satu taklimat "Menabung Cara Islam" akan diadakan di Pusat Sumber pada hari berkenaan.

Menurut Pengerusi Kelab Guru, En. Nazeem Elmy, gotong royong tersebut bertujuan mengemaskan bilik guru agar lebih selesa untuk para pendidik.

"Kami telah menyediakan pelan kedudukan meja guru yang lebih sesuai. Di samping itu, kami akan memunggah bahan lama yang tidak perlu." katanya .

Beliau berharap semua guru yang tidak terlibat dengan program lain, hadir ke aktiviti berkenaan. Pihak KGKT dilaporkan turut menyediakan jamuan untuk sambutan Hari Raya dan Deepavali selepas gotong royong.

Pengetua, Pn. Hajah Che Saliha bt Che A. Rahman turut menyokong aktiviti ini. Beliau berharap para guru dapat mengeratkan hubungan dengan rakan sejawat demi pembangunan sekolah.

"Saya akan semak guru yang tidak hadir. Jika tiada sebab yang munasabah, cikgu perlu beri surat tunjuk sebab." katanya mengakhiri taklimat, menyebabkan dua tiga orang guru yang bercadang ponteng, mencebikkan muka...

Hehehe..

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...