Sunday, February 19, 2012

Lawatan Muhibah SMK Pekan Baru ke SMKBS Merapatkan Ukhuwah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Satu lawatan muhibah dari SMK Pekan Baru, Parit Buntar ke SMK Batu Sepuluh, Lekir telah diadakan pada 18 Februari 2012, melibatkan 8 orang guru termasuk pengetua dengan 80 orang pelajar. Lawatan ini telah dirancang melalui usaha Cikgu Jasmin bin Yusuf, bekas guru SMKBS yang kini bertugas di SMKPB.Acara utama lawatan ini adalah perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring bawah 15 tahun dan 18 tahun melibatkan pasukan sekolah masing-masing.

Lawatan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga SMKBS dan SMKPB. Selain 
itu, ia juga dapat mendedahkan pemain dengan suasana perlawanan bola sepak dan bola jaring 
sebagai persediaan awal bagi kejohanan MSSD 2012.

TENTATIF PROGRAM

3.00 petang
Ketibaan warga SMK Parit Buntar
Taklimat aktiviti oleh PK Kokurikulum
4.00 petang
Perlawanan persahabatan B15:
Bola sepak
Bola jaring
5.00 petang
Perlawanan persahabatan B18:
Bola sepak
Bola jaring
6.00 petang
Majlis penutup:
Ucapan pengerusi
Ucapan wakil pengetua SMK Batu Sepuluh, Lekir
Ucapan pengetua SMK Pekan Baru, Parit Buntar
Jamuan ringan
Bersurai

KEPUTUSAN PERTANDINGAN

Nama Sekolah
Bola Sepak
Bola Jaring
B15
B18
B15
B18
SMKBS
1
1
7
23
SMKPB
0
1
12
9

 
Aktiviti lawatan ini telah mencapai matlamat apabila semua perancangan dapat dilaksanakan melalui kerjasama semua pihak.  Dengan adanya perlawanan persahabatan seperti ini, diharapkan ia menjadi sebahagian daripada amalan warga pendidikan dalam meningkatkan hubungan dua hala antara sekolah di samping memberi pendedahan yang positif kepada pasukan sekolah. 

Pasukan Bola Jaring B15 SMKBS


Pasukan B15 Bola Jaring SMKPB


Guru dan penyokong yang bersemangat.. Tahniah!


Pasukan bola sepak B15 SMKBS


Pengetua SMKPB, Hj Mohd Shahar Ruslan sporting orangnya.





 

Wednesday, February 8, 2012

Pakco..

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi kelmarin saya mendapat perkhabaran bahawa bapa saudara yang saya panggil Pakco telah tidak sedarkan diri. Nama asalnya Abdul Kadir bin Nusi, lebih dikenali sebagai Wak Abu, merupakan seorang yang hebat zaman mudanya. Allah mengurniakan kelebihan untuknya mengubat orang sakit.
Bagaimanapun sehebat mana pun Pakco, dia tidak berupaya melawan kehendak takdir. Penyakit tuanya semakin tidak mampu dihalang. Badannya yang semakin kurang tenaga sudah tiada kudrat untuk menolak qadar Allah. 

Saya segera pulang ke kampung apabila mengetahui Pakco nazak. Ketika tiba di sana, kaum keluarga kami ramai berkumpul untuk menunjukkan simpati. Dengan keadaannya yang terbaring tanpa bercakap apa-apa, saya berbisik kepada sepupu saya, Wah yang merupakan anaknya.

"Nampaknya, Pakco semakin nazak. Jangan tinggalkan dia bersendirian." bisik saya. Kepada isterinya, Makco, pun saya maklumkan perkara serupa. Tubuh tua Pakco yang sudah hampir 80 tahun itu nampak amat lemah.

Selain membaca surah Yaasin, saya berbisik ke telinga Pakco, agar dia terus mengingati Allah setiap masa.

"Pakco, sebutlah 'Allahhhh,.. Allahhhh" Saya ulangi ke telinganya. Saya dan Wah silih berganti mengajarnya mengucap. Ketika itu, saya juga berdoa kepada Allah agar dipermudahkan sakaratul maut untuk bapa saudara saya ini, jika sampai  saat dan ketikanya.

Tubuh Pakco menggeletar dan nafasnya turun naik. Air Yaasin disuapkan ke mulutnya untuk membasahkan tekak yang mungkin kekeringan. Menjelang selepas Zohor, kami sepakat membawanya ke hospital Seri Manjung setelah mendapati keadaannya agak 'baik'. Bagaimanapun, Pakco masih tidak mampu memberi respons, cuma dadanya yang 'berombak' pagi tadi semakin tenang.

Semasa di HSM, Pakco dirawat oleh pakar dan dibawa ke Hospital Tuanku Bainun, Ipoh untuk pemeriksaan CT Scan. Pihak HTB juga tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan merujuknya semula ke HSM. Sepanjang malam tadi, anaknya yang bekerja di Klang, sudahpun berada di kampung dan dapat menemani Pakco di wad. 

Video talkin untuk Pakco boleh ditonton di sini:
http://youtu.be/jfDR_o1m92A

Pagi tadi, saya mendapat perkhabaran Pakco dijemput Allah ke alam Baqa. Hilang seorang lagi bapa saudara saya, bekas polis SC semasa zaman penjajahan British menentang pengganas komunis.

Monday, January 30, 2012

Budak Sekolah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Jika disebut budak sekolah (baca: murid sekolah sama ada di sekolah menengah atau rendah), apa yang melingkari pemikiran sebahagian besar daripada kita adalah, mereka bersikap kebudak-budakan, tidak matang dan perilaku mereka didorong keinginan  yang bertunjangkan emosi.

Begitulah yang sesetengah guru lihat apabila berdepan manusia bergelar murid. Budak sekolah sinonim dengan pakaian seragam biru putih yang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.

Tidak boleh lewat ke sekolah, mesti ada lencana, tidak boleh berambut panjang, tidak boleh itu, tidak boleh ini dan seumpamanya.

Sama ada kita sedar atau tidak, budak sekolah ini terus membesar dan belajar. Menjelang 10 atau 15 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, pemikiran mereka sudah berubah. Malah, persekitaran dan pemahaman yang mereka lalui akan mengubah cara mereka bertindak.

Hakikatnya, mereka semakin dewasa dan memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Itulah sebabnya, Imam Al-Ghazali, seorang ilmuwan Islam yang hebat, apabila ditanya anak muridnya, lalu beliau berkata, jika kamu hendak melihat maju sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya. Jika baik akhlak mereka, majulah negara itu, dan sebaliknya berlaku jika akhlak mereka buruk.

Ramai murid saya, yang dahulunya naif dan pemalu, malah ada juga yang sering didenda lantaran sikap culas mereka di dalam kelas, hari ini boleh saya banggakan.

Sebenarnya, seorang guru tidak memerlukan pujian untuk terus menabur bakti. Cukup sekadar ucapan terima kasih daripada anak muridnya.

Saya berterima kasih kepada guru-guru saya di SMK Ahmad Boestamam, Sitiawan yang telah mendidik saya dahulu. Kepada murid saya, terima kasih kerana menjadi seorang warga negara yang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Tuesday, January 24, 2012

Tahniah Polis Malaysia. Memang Patut Penjenayah Tegar Dibunuh!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Polis Diraja Malaysia(PDRM) sering dimomokkan oleh pihak tertentu sebagai lembab dan menjadi mangsa tuduhan liar parti-parti politik pembangkang akhir-akhir ini.Bagaimanapun, kecekapan polis mematahkan peristiwa seorang kanak-kanak menjadi tebusan penagih dadah kelmarin, wajar membuka mata kita.


Kanak-kanak perempuan tersebut berdepan saat cemas lebih lima jam apabila dijadikan tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau, dipercayai penagih dadah yang kurang siuman akibat pengaruh dadah yang menceroboh rumah keluarganya di Kampung Baru di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Lorong Raja Muda Musa 6, mangsa yang berusia 10 tahun sedang menonton televisyen bersama keluarganya, dan tidak semena-mena, suspek yang dalam keadaan bogel meluru masuk dan mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke arah kanak-kanak terbabit dan menangkapnya untuk dijadikan tebusan.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jam 4.10 petang selepas polis memasuki rumah berkenaan dan melepaskan empat das tembakan ke arah suspek.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang cedera di perut, rusuk dan kaki disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Memang patutlah dia mati, sebab dia boleh mencetuskan keadaan panik dan mencederakan mangsa.

Usaha memujuk suspek yang dilakukan bapa mangsa namun tidak berhasil apabila lelaki terbabit membawa kanak-kanak itu ke dalam sebuah bilik berhampiran ruang tamu. Sepasukan anggota polis yang tiba tidak lama kemudian turut gagal memujuk suspek menyebabkan pakar psikiatri HKL terpaksa dipanggil untuk memujuknya tetapi masih menemui jalan buntu.

Difahamkan, polis juga turut memanggil seorang wanita dipercayai kakak kepada teman wanita suspek untuk memujuknya melepaskan mangsa, namun tetap tidak berhasil. 'Drama' tebusan kira-kira lima jam 10 minit itu bagaimanapun berakhir beberapa polis masuk ke rumah berkenaan dan melepaskan empat das tembakan ke arah suspek, manakala kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata sebelum kejadian suspek dilihat berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu menyebabkan beberapa penduduk mengejar untuk menangkapnya.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri kemudian menceroboh masuk ke rumah mangsa lalu mengambil pisau di dapur lalu menangkap mangsa dan dijadikan tebusan.

"Polis tiada pilihan selain terpaksa melepaskan tembakan ke arahnya selepas pelbagai usaha memujuknya lebih lima jam tidak berhasil. 

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk samun," katanya.

Harapnya SUHAKAM dan Badan Hak Asasi yang sering menghentam polis tidak mengambil tindakan bodoh mempertikaikan usaha polis menyelamatkan mangsa.

TAHNIAH POLIS!

Sunday, January 8, 2012

Akhirnya Datuk Hassan Ali Dipecat Juga..(UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya bukanlah ahli politik, malah bukan juga pemerhati politik yang tegar. Tapi sebagai rakyat Malaysia, yang cintakan agama, saya pernah beranggapan PAS adalah wadah terbaik untuk memartabatkan Islam kerana ketegasannya sebelum ini.

Jujur saya nyatakan di sini, saya antara orang yang mula-mula menziarahi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selepas PAS berjaya menguasai DUN negeri berkenaan pada pilihanraya umum (PRU) 1999.

Saya mengagumi ketrampilan (arwah) Ustaz Fadzil Noor yang pada hemat saya, seorang yang berpegang kepada prinsip PAS sejak dahulu lagi. Satu jawapan ustaz Fadzil yang masih saya ingat ketika beliau ditanya mengapa memakai songkok, jawapannya ialah, "Songkok bukan milik mutlak UMNO atau mana-mana kumpulan."

Apabila Datuk Hassan Ali bertindak mempertahankan agama semasa beliau menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor, saya masih mempunyai harapan bahawa PAS akan memegang prinsipnya dan mempertahankan beliau. Terlalu banyak isu berkaitan portfolio beliau termasuklah isu gereja, murtad, kalimah Allah, arak dan demonstrasi HIMPUN.

Rentetan 'keceluparan' dan keterbukaan Hassan Ali mendepani isu berkaitan Islam di Selangor, ia tidak disenangi banyak pihak khususnya beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat daripada DAP dan PKR. Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum mesyuarat jawatankuasa disiplin parti telah memberi kata dua kepada PAS agar satu tindakan tegas perlu diambil terhadap exco Negeri Selangor tersebut kerana  melampaui batasan persefahaman dalam PR.

Saya masih ingat lagi kata-kata Datuk Hassan Ali dalam temu bual dengan media, "Jika memerintah Selangor pun kita (PAS) tidak mampu menegakkan Islam dan mempertahankan institusi raja Melayu, apakah yang kita harapkan apabila kita menguasai Putrajaya nanti?"

Hari ini,Hassan Ali sudah tidak lagi menjadi ahli PAS. Beliau bukan sahaja dibuang jawatan, tetapi juga keahliannya juga ditarik balik.Pelbagai respons pro dan kontra boleh dilihat di portal maya.

Sudah menjadi kelaziman, ini akan menjadi satu isu yang kontroversi dan boleh menjejaskan kredibiliti PAS yang selama ini pun dilihat sebagai 'tukang angguk' kepada PKR dan DAP.

PAS, kembalilah kepada prinsip asal.

Sunday, January 1, 2012

Kemalangan Ngeri Di Jalan Lekir-Sitiawan Membuka Tirai 2012 (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika bersarapan dengan anak-anak di sebuah warung berdekatan, saya mendapat berita kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori treler dan sebuah kereta yang berlaku lewat malam tadi. Jumlah korban agak besar, menyebabkan saya bergegas ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumah saya.

Setibanya di sana, lori treler masih lagi belum dialihkan, manakala sisa kenderaan dan gerai buah yang roboh masih tidak diurus. Beberapa orang termasuk seorang dua kenalan turut berada di sana.

"Anak murid cikgu jugak, budak Batu 14. Budak Batu 15 pun ada." Kata seorang kenalan memberitahu.

Berderau hati mendengar berita bahawa kemalangan tersebut meragut nyawa beberapa orang murid sekolah saya. Tanpa berlengah, saya terus ke rumah mereka. Setibanya di rumah seorang mangsa, saya mendapatkan khabar lebih jelas. 7 orang mereka dalam sebuah Honda Stream terbunuh manakala seorang lagi cedera ringan tetapi trauma. Pelajar saya yang terbunuh ialah Muhamad Kamil Samsuri,15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad,15; Ahmad Faizal Ahamad Termizi,15; Mohd. Shafiq Riduan Yusof,16; Badrul Isa Sulaiman,20; dan adiknya Mohd. Hadi,17 manakala Khairul Faiz, 17 tahun cedera. Pemandunya, Mohd. Hisham Mat Zaki,23 merupakan abang angkat kepada Badrul dan Hadi.

Saya mendapat makluman daripada Nasarudin, abang arwah Kamil bahawa mereka dikebumikan dalam satu liang dan disembahyangkan di masjid Batu 14, Lekir setibanya dari Hospital Manjung.

Faizal, paling hadapan ketika satu kejadian di ladang sawit
Muhammad Kamil, saya temui kali terakhir minggu lalu ketika dia berjumpa saya sambil berbual tentang hala tuju selepas PMR 2011. Katanya, dia ingin ke Vokasional, tetapi dia sayangkan sekolah lama. Syafiq Ridzuan pula adalah pemain takraw sekolah. Dia seorang pendiam, tetapi tidak menimbulkan masalah disiplin. Faizal pula, pernah 'kantoi' bersama rakan lain di ladang sawit pada hari persekolahan. Walau apa pun yang pernah mereka lakukan, saya sudah memaafkan anak-anak ini. Moga syurgalah tempat mereka. AMIN..

Koleksi foto http://dahujan.blogspot.com/









Honda Stream yang terbalik
Bahagian belakang Honda Stream
Rempuhan dari treler yang membawa tong gas.
Terdapat cebisan mangsa di kereta  En. Osman






Moga Allah merahmati mereka. Ajal maut adalah ketentuan. Mati sudah pasti tetapi masanya sahaja yang kita tidak tahu. Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita.

Saturday, December 24, 2011

Ketibaan Van Baru Sekolah Menceriakan Tahun 2012

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam ucapan pada perasmian School Times, Timbalan Perdana Menteri menjanjikan van bernilai RM100,000 untuk kegunaan pihak sekolah.

Semalam 23 Disember 2011, hampir 3 bulan selepas janji tersebut, van Nissan URVAN yang siap dengan logo SMKBS telah diterima.

Van berkapasiti 14 penumpang dan berkuasa 3.0 cc dijanakan enjin diesel telah selamat tiba selepas maghrib. Pengetua dan saya sendiri telah menjadi saksi penyerahan dan penerimaan van tersebut.

Kepada Kementerian Pelajaran, khususnya YAB Menteri Pelajaran, sekalung perhargaan kerana menunaikan janji yang dibuat. Moga van baru ini akan mencetuskan semangat kepada warga SMKBS untuk lebih berjaya dalam menaikkan nama sekolah.

Pengetua menandatangani surat akuan terima




Jumlah penumpang 14 orang, keselesaan diutamakan
Tak dapat plet pandaftaran Perak, sebab didaftarkan di bawah nama KPM

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...