Saturday, October 29, 2011

Pelancaran School Times Oleh TPM Mencipta Sejarah di SMKBS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tanggal 27 hb Oktober 2011, tarikh yang tidak dilupakan oleh semua warga SMKBS apabila pihak New Straits Times Press (M) Berhad atau NSTP mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui pelancaran School Times iaitu sisipan pendidikan di sekolah ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Dato Seri Diraja Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin. 

Pihak sekolah mendapat kerjasama yang baik daripada agensi-agensi berkaitan seperti RELA, JPAM, Jabatan Kesihatan, PDRM dan staf NSTP yang banyak membantu melancarkan majlis yang dianggap sangat bermakna. Kedatangan TPM sempena program "Turun Padang" Ke negeri Perak Darul Ridzuan turut disertai oleh Menteri Besar Perak YABDato' Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Hj Supaat Tumin.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri turut memberi sumbangan kepada sekolah sebuah van untuk pengangkutan pelajar asrama dan sekolah bagi aktiviti luar yang bersesuaian. 

Majlis tersebut dipengerusikan oleh seorang guru Bahasa Inggeris, Pn. Norliza bt Saidi dan pelajar, Nur Nabilah bt Azhari dalam dwibahasa. Tahniah kepada semua warga SMKBS, kerana berjaya menjadikan program ini seperti yang dirancang.
Sebahagian daripada pelajar yang menyaksikan pelancaran School Times


Pelbagai gelagat pelajar sementara menanti kedatangan TPM


Cikgu Norliza dan Nur Nabilah menjadi pengacara majlis

Guru dan pelajar berbaris menanti ketibaan TPM


YAB TPM disambut dengan paluan kompang pelajar SMKBS



TPM menyampaikan ucapan perasmian pelancaran School Times NSTP

Pelajar yang mengambil bahagian dalam pelancaran School Times di pentas utama


Tetamu Khas bergambar dengan pelajar SMKBS




Sunday, October 23, 2011

Pelajar Kelas Belakang Sering Dipinggirkan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramai orang beranggapan tugas guru mudah. hakikatnya, hanya guru yang memahami tanggungjawab untuk meng'insan'kan manusia. Bukan mudah menjadi 'jurutera kemanusiaan' berbanding jurutera permotoran. Secebis kisah yang ingin saya kongsikan di sini adalah kelompok pelajar yang sering diabaikan.
Dalam tempoh hari-hari terakhir menjelang SPM 2011, pelbagai usaha dilakukan oleh guru untuk memastikan pelajar dapat menjawab soalan dengan sebaik mungkin. Impaknya tentulah keputusan peperiksaan yang lebih baik. 

Di sekolah, panitia Bahasa Melayu melaksanakan Klinik Intensif Mampu Lulus (KLIMS) yang bertujuan membantu calon SPM kelas belakang menjawab soalan subjek teras tersebut. Istilah 'kelas belakang' merujuk kepada kumpulan pelajar yang lemah dari segi kemampuan akademik, tiada motivasi dan sering dilabel dari sudut negatif sahaja oleh segelintir guru.

Kelas KLIMS ini sudah sering saya kendalikan mengikut jadual. hanya sekali seminggu sejak awal Oktober. Selebihnya mereka ikut jadual P&P seperti biasa. Semuanya pelajar lelaki. Ada sesetengahnya tidak mampu membaca. Itu tak boleh dinafikan, sebab kelemahan daripada sistem peperiksaan PMR membolehkan mereka yang tidak mampu membaca naik ke tingkatan 4. Hasrat KPM untuk mengurangkan keciciran pelajar pada usia remaja dilihat tidak mampu menyelesaikan lambakan pelajar 'kelas belakang'. 

Saya bertekad mengubah pandangan mereka terhadap kelas KLIMS, lalu membawa mereka ke Makmal Bahasa. Makmal Bahasa adalah kelas khas yang mempunyai pendingin hawa, Projektor LCD dan skrin besar seperti panggung wayang.

"Inilah Makmal Bahasa," Kata saya kepada mereka yang nampak seronok masuk ke situ.

"Sepanjang tahun ini, dah berapa kali kamu masuk  ke sini?" Saya bertanya mereka.

Semuanya terkebil-kebil memandang saya dengan pandangan yang penuh makna. Kemudian, seorang daripadanya menjawab, "Ini kali pertama, cikgu."

Kasihan. Mereka pun berhak untuk mendapat kualiti dalam P&P sebenarnya. Cuma, tak ramai guru yang sanggup melayan karenah sesetengah pelajar ini.

Alhamdulillah, sepanjang bersama saya di makmal tersebut, respons mereka amat memberangsangkan. Saya bertekad membawa mereka ke sini lagi dengan pendekatan yang lebih mesra demi memastikan mereka mampu menjawab soalan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan.

Saturday, October 22, 2011

Bela Aziz Bari dan Senyap dalam Isu Dr Rosti

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

kredit kepada sahabat-gunung

Sikap segelintir pihak yang menyelar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya iaitu pensyarah undang-undang Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebagai suatu yang tidak sewajarnya dibangkitkan apatah lagi untuk dibawa ke pentas politik.

Bagi penganalisis politik dan ahli akademik, Prof. Dr. Ahmad Atory, tindakan yang dibuat oleh UIA terhadap Aziz Bari adalah berkaitan dengan tugasnya sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada perintah am dalam melaksanakan tugas.

“Kedudukan Aziz Bari juga sama seperti saya iaitu penjawat awam jadi segala kenyataan yang dikeluarkan walaupun dalam dunia akademik tetapi masih tertakluk sebagai kakitangan kerajaan,” katanya yang juga menjawat pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Difahamkan Aziz Bari menerima surat tunjuk sebab daripada UIA ekoran tindakannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tindakan tersebut telah menimbulkan polemik sehinggakan wujud segelintir pihak yang mahu mewujidkan himpunan membantah penggantungan tugas beliau atas alasan membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’.

“Kebebasan ada hadnya walaupun dalam dunia akademik kerana semua yang terlibat tidak boleh bercakap sesuka hati dengan menyentuh mana-mana pihak semata-mata untuk kepentingan peribadi atau ada agenda tertentu apatah lagi dalam hal-hal yang melibatkan sesitiviti; tambahan pula apa yang dipertikaikan oleh Aziz Bari adalah titah Sultan Selangor yang sememangnya mempunyai tanggungjawab dan kuasa penuh atas agama Islam dan adat istiadat orang Melayu dan rakyat di seluruh negeri Selangor.

“Apa saja yang mahu dilakukan ada kebebasannya tetapi tidak ada kebebasan mutlak sebagaimana kebebasan akademik yang diperkatakan oleh para pendukung himpunan terbabit.”
Katanya, pihak universiti mengambil tindakan tatatertib ke atas kakitangannya yang diminta menjawab surat tunjuk sebab.

“Jika mahu bercakap tentang kebebasan janganlah bersikap berat sebelah sebaliknya biarlah adil dan memberikan pihak universiti kebebasan juga untuk mengambil tindakan atas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Aziz Bari yang secara tidak langsung telah mengheret nama universiti terbabit.

“Salahkah pihak universiti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kakitangannya dan sewajarnya, sebagai seorang ahli akademik maka Aziz Bari perlu bertanggungjawab atas kenyataan yang telah dikeluarkannya dan ikutlah prosedur dengan menjawab saja surat tunjuk sebab yang dikemukakan,” katanya.

Jelas beliau lagi, seharusnya Aziz Bari sendiri dapat menjangka apa yang bakal berlaku sebelum membuat kenyataan yang boleh menyinggung perasaan pihak lain apatah lagi Sultan Selangor dan apabila tindakan tatatertib diambil maka dia perlu bertanggungjawab tanpa berasa tersinggung.

Apabila kerajaan Negeri Selangor yang terang-terang melakukan tekanan politik kepada bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr. Rosti Saruwono sehinggakan terpaksa meletak jawatan dengan notis 24 jam maka pihak yang lantang bersuara sepertimana mempertahankan Aziz Bari tidak tampil ke hadapan atas alasan yang sama.

Pendapat saya, isu Dr Aziz Bari hanya manipulasi pembangkang, tetapi ia gagal menarik sokongan rakyat kerana Dr Aziz Bari sendiri menghina titah sultan.

Tuesday, October 18, 2011

Kaki Komplen Hanya Tahu Cari Salah Orang

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pernahkah anda berdepan dengan orang yang suka komplen (complaint) atau mengkritik membuta tuli. Ada sahaja salah dan kelemahan orang yang dilihatnya. Lebih buruk lagi, dia menjaja 'keburukan' tersebut merata-rata dengan harapan ada orang lain akan terpengaruh akan cerita yang dibawanya.  

Situasi ini sering berlaku dalam dunia pekerjaan kita. Tidak kira di mana atau apa profesion anda, kita terdedah kepada komplen yang tidak berasas. Manusia seperti ini bagai parasit dan ada di mana-mana. Mereka ada sahaja perkara hendak diadukan. Pantang ada ruang pasti mereka mengomel dan mengkritik.

Menurut Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya '55 Petua Kerja Berpasukan' golongan yang suka komplen ada dua kumpulan. Pertama, mereka ikhlas memberi teguran dan aduan. Cara mereka juga nampak jujur. Misalnya, seorang guru menasihati pelajar agar membaca buku sewaktu ketiadaan guru yang sepatutnya mengajar. 

Kumpulan kedua, menurut beliau adalah orang yang suka mengkritik kerana hobi dan supaya diterima oleh orang lain. Mereka merasakan apabila mereka sentiasa membuat komplen, merekalah orang yang cemerlang. 
Berdasarkan pembahagian ini, menurut pakar motivasi ini, kumpulan kedua tidak perlu dilayan. Bagaimanapun, kumpulan pertama, memberi sumbangan kepada sesebuah organisasi. Mereka sebenarnya adalah golongan yang prihatin; jika mereka pekerja, mereka merupakan orang yang responsif dengan persekitaran. Apabila mereka mengkritik, sewajarnya mereka diajak bersama bagi mengatasi masalah yang timbul, agar penyelesaiannya dapat dibuat secara konsensus.

Saya akui, kadang kala saya menjadi orang yang suka mengkritik, tetapi saya berhasrat untuk menjadi kumpulan pertama, iaitu mengkritik untuk kebaikan. 

Anda, bagaimana?



Tuesday, October 4, 2011

PYTHON RETICULATIS HAIWAN BELAAN EKSOTIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Python Reticulatis atau ular sawa adalah haiwan reptilia terpanjang yang sering ditemui di hutan-hutan Asia Tenggara. Ular dewasa boleh membesar sehingga lebih 8.7 m (28 kaki) tetapi kebiasaanya purata panjang ular ini antara 3-6 m (10–20 kaki).

Ular sawa merupakan reptilia yang tidak berbisa. Ia tidak menjadi ancaman kepada manusia kerana ular ini bersifat pemalu dan menjauhkan dirinya daripada kawasan penempatan manusia. Jarang berlaku serangan ular sawa terhadap manusia. Bagaimanapun pernah dilaporkan, di Johor, seorang penoreh getah mati dibaham seekor ular sawa pada tahun 1995. Walaupun tiada bisa, rahangnya amat kuat dan gigi tajamnya mampu mengoyak kulit  jika digigit olehnya.
Ular sawa boleh berenang dan mampu berlapar selama berbulan-bulan. Ia mempunyai persamaan dengan sepupunya, anaconda yang banyak ditemui di Hutan Amazon, Amerika Selatan. 

Habitat

Ular sawa tinggal di hutan hujan, dan sekitar belukar. Ia juga mudah ditemui di kawasan paya. Ia sering berlingkar di pokok atau menyerang hendap mangsanya dari hutan semak samun.

Pemakanan

Dalam persekitaran semula jadi, ular sawa makan mamalia terutamanya burung kecil. Pernah . direkodkan ia membaham beruang madu dan babi hutan. Ia boleh mengambil masa 10 minggu untuk mangsanya dihadamkan sepenuhnya.
Sebagai pemburu, ular sawa menangkap mangsanya dengan cara menunggu mangsa di kawasan tertentu. Ia menggunakan kelebihan badannya yang kuat untuk membelit mangsa sehingga lemas. Kemudian, ular ini membaham mangsanya dengan menelannya dari kepala, sehinggalah ke bahagian kaki atau ekor.

Pembiakan

Secara am, ular sawa betina menghasilkan antara 15 dan 80 biji telur dalam satu musim pembiakan. Suhu optimum pengeraman 31–32°C (88–90 °F), dan telur tersebut mengambil masa purata 88 hari untuk ditetaskan. Anak ular sawa yang baru lahir berukuran sekurang-kurangnya 2 kaki 2 kaki (61 cm).

Kepentingan

Ular sawa merupakan haiwan yang dilindungi. Habitatnya makin diancam oleh kemajuan dan pembangunan. Tanpa sokongan masyarakat, ular sawa akan hilang habitat semula jadi dan boleh pupus sekiranya tiada tindakan diambil oleh pelbagai pihak untuk melindunginya.

Saturday, October 1, 2011

PM Mengecewakan Isi Hati Orang Melayu Islam

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tidak perlu saya huraikan apa dosa Wee Meng Chee a.k.a Namewee kepada orang Melayu. Jika anda pembaca naif yang tak tahu apa-apa tentang anak muda Johor yang penah menuntut di Taiwan ini, anda boleh taip namanya di Youtube dan melihat betapa biadabnya dia terhadap orang Melayu dan agama Islam.

Persoalan yang menarik untuk saya ketengahkan adalah respons manusia paling berkuasa di Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang saya hormati selama ini

Datuk Seri Najib dipetik sebagai berkata 'Namewee merupakan seorang individu yang ada kelainan tersendiri.'
Beliau juga berkata, "Saya tak nak beri komen, tapi sebab masing-masing ada kelainannya. Dia merupakan seorang yang ada kelainan dia, bukanlah merupakan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,”


Saya kecewa dengan pandangan Datuk Seri Najib. Bertambah kecewa lagi apabila mendapati rakan-rakan yang sebelum ini mengkritik kebiadaban Namewee, juga menjadi lembut hati apabila secara terang-terangan Namewee menunjukkan sikap menyokong perhimpunan BERSIH melalui penghasilan filem merapunya, Nasi Lemak 2.0.

*Saya ingin menasihati rakyat Malaysia yang patuh pada peraturan, anda tidak akan mendapat perhatian PM jika kekal begitu. Anda harus ada sikap 'lain daripada yang lain'. Atau anda boleh buat kacau huru harakan negara, kemudian burukkan negara kepada dunia luar

*Bahasa yang digunakan adalah bahasa inversi, iaitu bahasa sindiran yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Pemahaman secara tersirat amat diperlukan.

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...