Sunday, April 29, 2012

RUSUHAN BERSIH 3.0 MENGAJAR PESERTA JADI BIADAB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Seluruh negara dikejutkan dengan berita rusuhan BERSIH 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Bagi majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman, berita seperti ini adalah satu malapetaka yang wajar diambil iktibar. Tunjuk perasaan tersebut disertai lebih 30 ribu orang dengan alasan untuk menuntut ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan pilihanraya. Ironinya, mereka juga melakukan tindakan sama melalui BERSIH 2.0 yang diadakan tahun lalu dengan menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan dakwat kekal semasa pengundian. Tuntutan berkenaan diperhalusi oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan PRU. Wakil pembangkang turut dijemput menyertai jawatankuasa ini, tetapi malangnya ia tidak dipedulikan oleh gabungan Pakatan Rakyat. Kebanyakan tuntutan tersebut dipenuhi dan dipertimbangkan oleh SPR setelah mengambil kira keputusan jawatankuasa berkenaan. 

Sepanjang rusuhan dan tunjuk perasaan berlaku, Kuala Lumpur berada dalam suasana tegang dan tidak selesa untuk dikunjungi. Apabila rusuhan terjadi, tentulah penganjur BERSIH patut memikul tanggungjawab terhadap perilaku ‘hooligans’ BERSIH 3.0 yang tampak bagai tidak bertamadun dan beradab apabila merosakkan kenderaan polis dan mencederakan penjawat awam.
            Ironinya juga, Pengerusi penganjur, Datuk S. Ambiga meminta pihak polis melakukan siasatan dan sedia membantu penyiasatan terhadap pihak yang melanggar undang-undang negara. Bagaimana Ambiga ingin membantu, sedangkan dia sendiri berada dalam kelompok rakyat yang tidak menghormati undang-undang? Untuk mendengar permintaan maaf daripadanya jauh sekali. Umum menyedari, jumlah peserta BERSIH yang ramai, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal, baik oleh penganjur, mahupun pihak polis.  

            Sebelum ini, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permintaan penganjur untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Dataran Merdeka, sebaliknya menawarkan beberapa lokasi yang lebih sesuai demi keselamatan orang ramai. Ini tidak dipatuhi oleh Ambiga dan konco-konconya, sehingga menyebabkan apa yang dibimbangi, telah berlaku pada siang Sabtu 28 April lalu. Bukankah ini jelas menunjukkan Ambiga dan pengajur BERSIH 3.0 sebenarnya obses dengan tindakan rusuhan ini? Sudah terang lagi bersuluh, niat mereka sebenarnya bukan ditujukan kepada SPR, sebaliknya cuba menyampaikan mesej kepada majoriti rakyat, bahawa mereka sanggup melanggar undang-undang dan memperjudikan imej negara di mata dunia luar semata-mata untuk mengambil alih pemerintahan negara melalui tindakan kekerasan.
           

Tuesday, April 17, 2012

Teluk Rubiah: Antara Realiti Dan Sejarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Teluk Rubiah, terletak di Manjung, Perak merupakan sebuah kawasan yang amat 'dekat' di hati saya, sebagaimana dekatnya jarak kampung saya dengannya. Kawasan pantai bersih dan kaya dengan nilai sejarah dan dongeng yang unik serta penuh dengan tarikan tersendiri. 

Semasa kecil, kami berbasikal untuk mandi-manda di pantainya. Ada bukit yang agak tinggi dengan kesan tinggalan lombong yang pernah diteroka pada zaman penjajah, tetapi kini hanya tinggal puing-puing yang bersemadi di sebalik lipatan sejarah. Di bukit itu, saya pernah jatuh basikal, kerana lerengnya agak curam dan lutut saya berdarah. Hingga kini, parutnya masih ada. 

Pantainya kaya dengan 'remis', sejenis hidupan seperti kerang berkulit licin dan hampir sama bentuknya dengan 'gayam'. Bagaimanapun remis lebih kecil dan hidup di gigi air. Apabila musim cuti, kami anak-anak kampung dari sekitar Kg. DSK, Permatang dan pasir Panjang Laut akan ke sini mencari remis. 

Teluk Rubiah juga, kaya dengan mitos dan dongeng masyarakat setempat. Kononnya, seorang anak pembesar dari Pulau Sumatera, membawa diri ke sini setelah ditunangkan dengan seorang jejaka keturunan bangsawan juga. Malang bagi si gadis, yang namanya Rubiah, dia mengalami kecacatan sejak kecil iaitu hanya mempunyai satu payu dara. Rasa malu dan rendah diri, takut kecacatannya menjejaskan kebahagiaan suami isteri, Rubiah nekad membawa diri ke sebuah teluk. Setibanya di teluk tersebut, Rubiah mengikat sampannya di rumpun buluh, dan menjejakkan kaki buat pertama kalinya di tempat yang asing dari keluarganya. Rubiah membina periginya, berdekatan batu dan tinggal di gua dekat dengan tanjung.

Hingga kini, tapak kaki Rubiah, masih boleh dilihat di batu berdekatan tanjung. Sebelah tapak kakinya ada di sekitar perigi, manakal sebelah lagi di sebalik tanjung. Guanya masih ada. Begitu juga dengan rumpun buluh tempat perahunya diikat. Malah, periginya juga kelihatan jelas terutama ketika air surut. 

Teluk Rubiah pernah menjadi kawasan perkelahan eksklusif dengan padang golf 36 lubang, dikenali sebagai Teluk Rubiah Country Club. Kelab Guru SMK Batu Sepuluh, Lekir pernah mengadakan majlis Hari Keluarga pada tahun 2008. 

Hari ini, Teluk Rubiah tidak lagi dikenali sebagai pantai peranginan, sebaliknya ia menjadi pusat pengedaran bijih besi syarikat Vale, dari Brazil. Dengan komitmen padu syarikat tersebut terhadap alam sekitar, saya percaya Teluk Rubiah akan kekal sebagai kawasan unik dan bersejarah.

Foto semasa majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale
Kawalan dibuat untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin

Secara peribadi, saya berasakan satu 'kehilangan' apabila Teluk Rubiah dijadikan Pusat Pengedaran Bijih Besi syarikat Vale. Bagaimanapun, melalui majlis dialog wakil Majlis Belia Daerah Manjung dan pengurusan Vale yang diterajui oleh En. Williams, dan eksekutif seperti Rafidah Mansor, mereka meyakinkan kami bahawa pihak Vale komited menjaga persekitaran Teluk Rubiah dan mengekalkan nilai sejarah yang ada padanya.

Saya berharap, selepas kilang ini beroperasi nanti, ia masih mengekalkan keindahan pantai dan tempat-tempat sejarahnya, seperti yang dijanjikan kepada masyarakat Manjung. 

Saturday, April 14, 2012

Pandanglah Pada Nasihat, Bukan Pada Pemberi Nasihat

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seorang guru masuk ke kelas lalu meminta pelajarnya mengikut apa yang disuruh, sambil dia sendiri melakukannya.

"Baiklah, hari ini cikgu mahu kamu ikut apa yang cikgu suruh, boleh?" Dia bertanya kepada para pelajarnya.

Semua pelajarnya teruja dan menurut apa yang disuruhnya.

"Angkat tangan kanan kamu.." Kata guru tersebut, lalu dia mengangkat tangan bagi memudahkan pelajar mengikut pergerakannya. Semua mata pelajar tertumpu kepadanya sambil menurut gerakan yang dibuatnya.

"Sekarang, letak tangan kanan di dada, dan dengar degup jantung kamu."

Semua pelajar melakukannya sambil mata mereka masih terpaku kepada guru yang berada di hadapan.

"Sentuhkan jari telunjuk tangan kiri kamu pada dahi.." Kata guru itu, sambil meneyentuh tangan kirinya pada dagu, bukannya dahi seperti yang dia arahkan.

Ketika itu, ada pelajar yang melakukan gerakan menyentuh dahi, dan ada juga yang menyentuh dagu. Sesetengahnya keliru dan kemudiannya ketawa kecil. 

"Cikgu salah!" Kata seorang pelajarnya.  Mereka kemudian ketawa dan kelas pun menjadi riuh rendah. 

Apabila keadaan kembali tenang, guru itu pun berkata kepada muridnya, "Saya minta kamu ikut arahan saya, bukan?"

Semua mengangguk. 

"Tapi kamu lakukan apa yang saya buat... Bukannya apa yang saya suruh." Guru itu menjelaskan maksud tersirat dalam 'induksi set' sebentar tadi.

"Moralnya, dengar dan ikutlah apa yang dikata, bukan apa yang dibuat."Kata guru itu lagi.

Pengajaran: Kita harus menerima nasihat yang diberikan, bukan melihat siapa yang memberi nasihat. Sebagai contoh, jika penagih dadah memberi nasihat, kita harus menerimanya sebagai satu teladan. Jika kita mempertikaikan kelayakannya orang seperti itu untuk memberi nasihat, kita sebenarnya adalah manusia sombong dan ego dengan diri sendiri.

Friday, March 30, 2012

Hari Anugerah Cemerlang 2012

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

LEKIR, 29 hb Mac 2012: Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan dengan disempurnakan oleh Tuan Pegawai Daerah Manjung, mewakili YAB Menteri Besar Perak yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Majlis bermula pada pukul 3.00 petang, apabila ketibaan perasmi disambut oleh Pengetua, Haji Shaifuddin bin Masduki serta barisan penolong kanan. Turut hadir menyambut beliau adalah Yang Dipertua PIBG, En. Mohd Tazalli bin Md Tamin, barisan AJK PIBG, penghulu mukim Lekir, En. Mohd Khamis dan guru-guru SMKBS.
Ketibaan perasmi disambut dengan paluan kompang
 Tuan pegawai Daerah turut disambut dengan paluang kompang dan bunga manggar, lambang budaya tinggi masyarakat Melayu menyambut tetamu. Barisan unit seragam yang dipimpin oleh saudara Amir Sabirin, telah bersedia di medan perhimpunan sebagai simbolik penghormatan tertinggi kepada Tuan Pegawai Daerah yang sudi merasmikan majlis yang begitu bererti kepada warga SMKBS.

Para ibu bapa yang telah mendaftar telah diberikan buku program sebagai rujukan. Bekas pelajar SPM 2011 yang mendapat keputusan cemerlang, turut diraikan dan diberi penghargaan oleh pihak sekolah. Dalam ucapannya, Haji Shaifuddin menggariskan kejayaan sekolah sebagai hasil usaha guru-guru yang tidak mengenal jemu  dalam mendidik anank bangsa. Beliau juga berharap para pelajar yang berjaya tidak melupakan sekolah dan memberikan sumbangan moral dan semangat kepada pelajar lain biarpun selepas meninggalkan alam persekolahan. 
Tuan Pegawai Daerah mewakili YAB Menteri Besar sedang berucap
Tuan Pegawai Daerah Manjung yang mewakili YAB Menteri Besar telah membacakan teks ucapan MB. Dalam ucapan beliau, Menteri Besar menaruh keyakinan yang tinggi kepada usaha ibu bapa dan guru dalam mencorakkan kejayaan anak-anak. Beliau juga berharap para pelajar yang berjaya dapat mengekalkan budaya sopan santun yang menjadi jati diri masyarakat Malaysia.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan pelajar seperti nasyid yang berjaya menarik perhatian ibu bapa. Ibu bapa yang hadir menyatakan rasa kagum kerana lagu yang disampaikan amat menarik dan sesuai dengan majlis. Selain itu, persembahan sajak Bahasa Arab oleh adik Nurul Fatin Fadhiliah bt Omar bertemakan penderitaan rakyat Palestin, menyebabkan suasana dewan menjadi sebak, ditambah dengan persembahan multimedia yang dikendalikan dengan baik oleh Ustaz Mohmet Yaser dan Cikgu Nazem Elmi.
Persembahan nasyid dan sajak pelajar
Penyampaian hadiah dan penghargaan berlatarbelakangkan muzik gamelan menjadikan suasana tersebut hidup dan bertenaga. Terima kasih juga kepada jawatankuasa penyediaan pentas yang menyusun pentas dengan baik sehingga menampakkan suasana yang harmoni. Ia turut menarik rasa kagum beberapa orang guru sekolah berdekatan yang turut hadir ke majlis berkenaan.



Saturday, March 17, 2012

Sufi Sofia Diuji Allah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sebetulnya, saya tidak mengajar murid tingkatan 3 bernama Sufi Sofia, tetapi apabila warden asrama menceritakan kisahnya, namanya menjadi popular dalam kalangan guru SMK Batu Sepuluh, Lekir. Sufi Sofia, 15 tahun, telah dimasukkan ke wad ICU setelah hampir sebulan demam dan sakitnya semakin melarat. Ibunya membawa ke klinik, malah ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk dirawat, tetapi tiap kali ubat diberikan, badannya menolak dan dia muntahkan semula ubat berkenaan.

Saya sempat menziarahi Sufi ketika dia dirawat di Unit Rawatan Rapi HSM. Dengan saluran berselirat di mulut, dia tidak sedarkan diri. Keadaannya begitu memilukan sesiapa yang mengenalinya. 

Puncanya, tidak dapat dikenal pasti. Menurut ibunya, dia terkena 'angin tuju-tuju', berdasarkan perubatan Islam yang dibuat sebelum ini. Apa yang pasti, tubuhnya semakin lemah. Buah pinggangnya dikhabarkan telah dijangkiti kuman. Lebih malang buat pelajar calon PMR ini, dia telah dibawa ke Hospital Tuanku Bainun, Ipoh setelah rawatan di HSM   gagal membuahkan sebarang hasil yang memuaskan.

Semasa coretan ini dibuat, saya menerima mesej daripada ibunya. Mesej yang pendek tetapi memberi makna mendalam tentang kedudukan Sufi Sofia:" Cikgu, Sufi kini di ICU Ipoh dalam keadaan kritikal. Tolong doakan dia mampu melepasi keadaan ini."

Moga Sufi Sofia kuat semangat. Keluarga Sufi Sofia juga harus tabah menerima ujian seperti ini.. Allah lebih mengetahui, dan yakinlah setiap kesulitan ada kemudahan dan jalan penyelesaiannya.

Thursday, March 8, 2012

BERHEMAHLAH KETIKA MENDIDIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Arwah Saiful Syazani Saiful Sopfidee

Kesabaran adalah ciri utama dalam mendidik pelajar.  Jika rasa sabar itu sudah hilang, ia akan menghilangkan ciri murabbi pada individu bergelar guru. Guru, ustaz, ustazah atau cikgu, adalah golongan yang sangat dihormati dalam masyarakat. Kita harus menerima hakikat bahawa tugas guru sangat besar. Ia bukan jawatan untuk mencari kekayaan, atau kesenangan hidup yang hakiki.
 
Tugas sebagai pendidik tidak semudah jurutera automobil. Kesilapan seorang jurutera mungkin merosakkan sebuah kereta, tetapi jika guru salah mendidik, ia merosakkan manusia. Begitulah tamsilan betapa beratnya tanggungjawab guru dalam era global hari ini. 
 
Amat menyedihkan, apabila seorang ustaz sebuah sekolah rendah agama di Arau, Perlis dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab yang menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hanif Mohd Ali, 28, berkata hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditahan pada 1 April 2011.

Semalam, Hanif mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.



Mohd Zaki semasa penghakimannya, berkata hukuman dijatuhkan setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh dan diharap dapat menjadi pengajaran kepada sesiapa yang ada kuasa mendisiplinkan pelajar agar lebih berhati-hati serta tidak bertindak berlebihan ketika mendidik.


"Apa yang dilakukan mestilah berkonsep mendidik dan bukan tindakan di luar perikemanusiaan... tidak harus bertindak melulu dan melampau. Harus diingat si mati masih kecil, manja dan bersaiz kecil," katanya.

Mohd Zaki berkata sebagai pendidik, tertuduh seharusnya perlu lebih banyak bersabar dalam menjalankan tugas tersebut.

Sebelum mengakhiri penghakimannya, Mohd Zaki turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyelesaikan kes itu dalam masa yang singkat.

Tertuduh yang memakai kemeja putih, berseluar kelabu serta berkopiah dilihat berpelukan dengan beberapa sahabatnya sambil menangis selepas penghakiman terhadapnya selesai.

Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada Isnin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar, manakala tertuduh diwakili lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. - BERNAMA

Sunday, March 4, 2012

SATIRA POLITIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari kejauhan, sawah padi terbentang luas ke arah selatan Masjid Kg. Kuala. Lebai Kudus mendepakan kedua-dua tangannya di jenang tingkap masjid yang sudah berusia hampir 30 tahun itu. 
Matanya kemudian melirik ke arah muka beberapa orang di dewan masjid tua itu. Dia benar-benar tidak menyangka, perebutan kuasa di kawasan kariahnya sampai ke tahap itu. Sebelum ini, Lebai Kudus bangga dengan sikap anak buahnya yang konon tampak bersopan dan mendahulukan apa yang dikatakannya. Tapi, akhir-akhir ini perdebatan siapa yang perlu memimpin masjid Kg. Kuala sudah tidak dapat disorok lagi.
"Kalau begini, apa pandangan masyarakat kepada kita?" Dia menyoal anak buahnya, tanpa mengharapkan jawapan.
Dua tiga orang anak buahnya, termasuk Leman Gagap, Mail Murai dan Seman Tukang, berbisik sesama sendiri.
Perbalahan antara dia dan Haji Manap, bukanlah perkara baru. Sejak masjid Kg. Kuala ditadbir oleh kumpulan Lebai Kudus, pentadbirannya sering dijadikan sasaran, bukan sahaja oleh pengurusan lama masjid yang dipimpin oleh Haji Manap, tetapi oleh anak buahnya sendiri. Orang kepercayaannya, Lebai Maulud dan Lebai Rodhi, kini sudah tidak sehaluan dengannya.
"Aku tak kisah sangat tentang puak haji Manap tu. Lantaklah depa nak kata apa, yang penting, pihak kita." Lebai Kudus mula bersuara.
"Aku sedih dengan Maulud dan Rodhi.." Kata Lebai Kudus seolah-olah merintih minta simpati.
"Depa orang kepercayaan aku, sanggup tikam aku dari belakang." Katanya sambil memandang semula ke arah sawah padi yang terbentang. 
"Maulud memang tak setuju dengan Lebai," Kata Mail Murai. Seman Tukang menganggukkan kepala tanda setuju. Manakala Leman Gagap sekadar diam, bimbang kata-katanya tak difahami lantaran gagapnya yang semakin menjadi-jadi.
"Tak setuju hapa? Hangpa bagi tau aku, mana silapnya aku tadbir masjid ni?" Tiba-tiba Lebai Kudus melepaskan amarahnya yang ditahan-tahan sejak beberapa hari lalu.
Leman Gagap hampir melatah dek terkejut.
"Kutipan Jumaat, aku pantau. Duitnya aku masukkan ke bank dengan Haris. bendahari masjid. Kuliah Fardhu Ain, bukan aku sebat kat tembolok aku. Jadual dah ada. Kuliah tu berjalan ikut jadual. Guru agama kampung sebelah pun kita jemput. Macam-macam kuliah kita susun. Feqah, Aqidah, semua ada. Masjid ni pun dah meriah dengan sambutan Maulid Nabi, Israk Mikraj.. Dulu, jangan kata majlis, kuliah pun takdak." Kata Lebai Kudus mempertahankan dirinya.
"Lebai Maulud dan Lebai Rodhi khabarnya tak suka cara lebai ikut kepala sendiri, tak ikut panduan dalam buku kuning, seperti yang dipersetujui sebelum ni," kata Seman Tukang perlahan dan tertib. 
"Buku Kuning tu?"
"Ya...Ya, Buku.. Buku Kuning," Leman Gagap menyampuk pendek. Dia bimbang kalau-kalau gagapnya menyebabkan kata-katanya tak difahami.
"Buku Kuning tu, bukan Quran. Awatnya depa tak tanya aku. Depa bukan tak tau sikap aku. Aku ni, jenis boleh berunding," Lebai Kudus mula memperlahankan tempo marahnya.
"Khabarnya, depa juga  tak suka bila lebai tolak pandangan Tauke Too Toh Kuat, sebab selama ni, tauke itulah yang 'support' kita masa nak ambik pengurusan masjid ni, dulu." Mail Murai menjelaskan, sambil menelan air liurnya.
"Tauke Too Toh Kuat? Apa kena mengena dia dengan pengurusan masjid ni? Dia bukan orang Islam. Dia bukan tau pasai masjid kita, pasai agama kita!" 
"Tu lah, lebai. Tauke Toh Kuat tak suka lebai kuatkan azan waktu masuk waktu solat. Lebai selalu tegur anak muda yang keluar masuk kedai judi tauke tu. Lebai kata judi tu haram. Lebai nasihat orang kampung jangan pi joli di sempadan, jangan main betina Siam. Tu dah menjejaskan pendapatan tauke Toh Kuat." Mail Murai bercerita panjang lebar.
"Habis, hangpa tak setuju apa aku kata?"
"Kami setuju. Kami takdak apa-apa." Kata Seman Tukang. Mail Murai dan Leman gagap mengangguk-angguk setuju.
"Habis?"
Semua senyap. Mail Murai tunduk. Leman Gagap tunduk. Seman Tukang tak kata apa-apa.
"Yang aku buat tu, bukan saja-saja. Itu yang Nabi kita buat dulu.  Aku tak bagi anak bangsa kita rosak main judi, main pompuan Siam, buat maksiat sana sini." Lebai Kudus memandang ke arah anak buahnya yang masih bersila.
"Aku rasa, hanya satu je penjelasan yang sesuai." Kata Lebai Kudus.
"Depa ni, gila kuasa. Depa nak jawatan ni." Katanya perlahan.
"Hangpa bagi tau kat dua ekoq tu, aku tak mau jawatan Pengerusi Masjid ni. Depa nak, mai habaq kat aku. Aku rela jadi ahli kariah biasa." Kata Lebai Kudus dengan air mata bergenang.

Satira ini tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
Dia sungguh kecewa hari itu.   

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...