Friday, March 29, 2013

Batuk Berulang Boleh Menyelamatkan Pesakit Jantung

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. 
Sakit jantung merupakan pembunuh senyap yang tidak disangka oleh ramai orang. Kehadirannya secara tiba-tiba, boleh membunuh individu tanpa sebarang amaran. Kebiasaannya ia datang bersama pakej tiga serangkai, dengan dua lagi penyakit berbahaya iaitu diabetes (kencing manis) dan darah tinggi.

Kebanyakan pesakit bersendirian ketika
mereka mengalami serangan jantung, Tanpa bantuan, individu berkenaan mula berasa lemah, dan hanya mempunyai kira-kira 10 saat kiri sebelum hilang kesedaran atau koma.

Walau bagaimanapun, penurut pakar kardiologi, mangsa-mangsa boleh membantu diri mereka melalui batuk berkali-kali dan sangat bersungguh-sungguh. Satu nafas harus diambil setiap sebelum batuk, dan batuk mesti mendalam dan berpanjangan, kerana batuk itu mampu mengeluarkan kahak yang jauh dalam dada.

Satu nafas dan batuk perlu diulangi kira-kira setiap dua saat tanpa membiarkannya berterusan sehingga bantuan tiba, atau sehingga jantung dirasai agak selesa untuk kembali berdegup.

Bernafas untuk mendapatkan oksigen ke dalam paru-paru dan batuk membantu pergerakan memerah jantung dan mengekalkan peredaran darah. Memerah tekanan pada jantung juga membantu ia mengembalikan degupan ke rentak normal. Dengan cara ini, mangsa serangan jantung boleh sampai ke hospital dan sempat diberi rawatan lanjut.

Beritahu seberapa ramai orang lain yang mungkin tentang perkara ini. Ia boleh menyelamatkan nyawa mereka!

Sebaliknya jika anda sekadar menganggap ia perkongsian jenaka sahaja, ia tidak menyumbang kebaikan yang boleh membantu kehidupan seseorang .

TERJEMAHAN SUMBER:  http://www.facebook.com/Dr.AbduRazzaq
(Muslim Doctor)

Monday, March 25, 2013

Pakcik Endan Dalam Kenangan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
 

Dinihari ketika diulit mimpi, saya dikejutkan panggilan yang memaklumkan pakcik saya, Khairi Md Husin, 60 tahun telah kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal dunia di sisi anak isterinya, setelah mengadu sesak nafas. Bekas pengurus Pos Malaysia ini meninggalkan seorang isteri, 4 orang anak dan dua orang cucu pada Sabtu malam, dan dikebumikan pada Ahad, 24 hb MAC 2013 di Tanah Perkuburan Kg. Bharu, tempat kelahirannya.
Pakcik Endan bersemangat bercerita

Antara 3 orang bapa saudara, arwah sering dijadikan ‘jurucakap’ majlis pertunangan anak-anak saudaranya termasuklah saya sendiri. Bukan sahaja petah berkata-kata, Pakcik Endan (panggilan mesra kami kepadanya) seorang yang ramah. 

Semasa kecil dahulu, saya menumpangnya menaiki motor ke sekolah TADIKA di Kg. Bharu, Lumut. Apabila melalui jalan sunyi, dia meminta saya memeluknya kuat-kuat, sebab bimbang kalau-kalau saya terjatuh atau tertidur.

Foto ini dirakamkan pada Januari 2013-Pakcik, Abang Joey dan Abang Hashim
Ketika berita kematian pakcik, anak lelakinya Mohd Nur Hidayatuddin masih di UTEM Terengganu. Dia bergegas pulang ke kampung dengan memandu sendirian menempuh perjalanan 9 jam melalui jalan raya Timur Barat. Setibanya di rumah, saya melihat Hidayatuddin lemah longlai menahan sebak, melihat sekujur tubuh terbaring di tengah rumah. Tangisan pilunya menambah kepiluan dalam suasana yang sudah hiba. Tetapi, dia masih boleh memberi khidmat akhirnya kepada ayah tersayang dengan memandikan jenazah dan turut sama mengkafankan dan menyolatinya.

Jenazah pakcik Endan disembahyangkan di Masjid Cangkat Cermin, kira-kira 2 km daripada pekan Ayer Tawar dan disemadikan bersebelahan pusara bondanya (opah saya) selepas solat Zohor.

Mohd Nur Hidayatuddin, berkopiah putih, masih belum hilang penat memandu 9 jam.

Makcik Kiah menyiram air di pusara selepas pengebumian selesai
ALFATIHAH UNTUK PAKCIK ENDAN, 1 hb Julai 1953- 24 hb Mac 2013


Wednesday, March 20, 2013

Kenangan Akhir Bersama Sahabat Di Asrama 1988

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Mendengar cerita-cerita di ruangan ADILA, Radio Klasik pada setiap Isnin hingga Jumaat menyebabkan aku mengimbau kenangan lalu ketika tahun 1988, ketika masih belajar di Sekolah Menengah Ahmad Boestamam, Sitiawan. Pada tahun itulah, aku mula-mula mengenali hidup di asrama. Awal tahun 1988, aku secara rasmi menjadi penghuni asrama bilik B, di bangunan dua tingkat bersebelahan kantin sekolah. Asrama putera itu terletak di belakang kuil Hindu. Setiap subuh dan Maghrib, kami dikejutkan bunyi loceng kuil dari kuil tersebut.

Antara rakan sebilik kami, Rosli Mat Johan, paling suka membuat lawak. Lawak jenakanya bersahaja tetapi kami yang mendengarnya ketawa berdekah-dekah. Usianya setahun lebih tua daripada kami, tetapi dia mengulang di tingkatan 3 kerana gagal SRP kali pertama. Rosli juga suka mengajuk lagu Hindi yang permulaan lagu itu, “Churalia”. Boleh jadi, itu jugalah tajuk lagu itu. Ia sering Rosli nyanyikan ketika di Dewan Makan. Kawanku seperti Roslan pandai bergendang. Nome pandai bermain gitar dan yang lain-lain termasuk aku, lebih gemar menikmati ‘halwa telinga’ yang tak seberapa itu. Biasanya kami gemar duduk di koridor luar bilik pada waktu petang dan bersantai sambil melihat kalau-kalau ada pelajar asrama puteri yang boleh diusik jika mereka ke kantin.

                Rosli sering mengadu sakit kepala, tetapi ia hilang apabila dia makan ubat. Masalah sakit kepalanya tidak selesai sebaliknya berlanjutan hingga ke bulan Mac 1988. Satu  hari, Rosli pulang ke Kampung Batu 3, Segari kerana sakitnya semakin teruk. Malam sebelumnya dia tidak dapat tidur dan  merintih mengadu sakit kepala. Esoknya, keluarganya datang membawanya balik untuk dirawat di Hospital Taiping. Itulah kali terakhir kami melihat Rosli, kerana dia tidak balik selepas cuti hujung minggu berakhir.

Ketika sedang mengikuti pembelajaran dalam kelas selepas tamat cuti penggal, terdengar satu pengumuman meminta pelajar Bilik B Asrama Putera untuk berjumpa warden. Setelah semuanya berkumpul, warden mula bercakap dengan suara yang tenang. Beliau meminta kami menerima berita tentang Rosli, kawan sebilik yang sudah hampir dua minggu tidak ke sekolah. Ketika itulah kami diberitahu, bahawa Rosli sudah meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam otak. Kami terkejut mendengar berita itu. Ada yang sebak manakala yang lain terkesima mendengar cerita warden.

Kami dibawa ke kampungnya menaiki sebuah bas. Sesampainya di sana, jenazah Rosli sudah pun dibawa ke perkuburan. Sempat juga urusan itu ditangguhkan semata-mata untuk memberi peluang kami, rakan-rakan sebiliknya menatap wajah Rosli, buat kali terakhir.  Wajahnya pucat tetapi bersih seolah-olah senyum. Selesai talkin, kami kembali menaiki bas pulang ke asrama, dengan seribu persoalan. Rupanya Allah pinjamkan kami seorang sahabat yang baik dan ramah untuk kami mengenali erti persahabatan.

Tiada lagi nyanyian lagu Churalia daripada Rosli. Alfatihah.. 

Saturday, March 2, 2013

Tragedi Lahad Datu Lambang Keberanian Pasukan Keselamatan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika saya coretkan luahan ini, saya masih terdengar-dengar kata anak sulung anggota polis yang terbunuh angkara penceroboh  Sulu di Lahat Datu di Buletin Utama.

"Ayah tak ada, ayah masuk kubur.." itulah antara kata-kata anak Inspektor Zulkifli Mamat, 30 yang terbunuh dalam serangan mortar lanun Sulu tengah hari Jumaat 1 Mac 2013.


Sementara itu, Noraziah Nor, 29, isterinya, tidak dapat menahan sebak dan pengsan sejurus menerima berita kematian suaminya.

"Nak balik, Azi nak balik, tolong bawa Azi balik, tolonglah sesiapa hantar Azi balik...," begitulah rintihan Noraziah yang dilihat tidak berhenti-henti menangis ketika ditemui di kediaman bapa angkat pasangan itu di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.

Noraziah yang merupakan guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan terpaksa dipimpin beberapa jiran dan anggota keluarga kerana pengsan sebelum dihantar ke klinik berhampiran.

Pasangan yang menetap di Bandar Baru Putra, Bercham itu mempunyai dua cahaya mata iaitu Mohammad Akmaluddin, 5, dan Mohammad Akhil, setahun dan Noraziah kini mengandung anak ketiga.

Zulkifli, adalah antara dua anggota komando yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini.

Sementara itu, bapa angkat pasangan itu, Sjn Hussain Harun, 53, yang merupakan jurulatih pusat latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta berkata  beliau menerima berita itu selepas solat Jumaat sebaik sahaja Noraziah datang ke rumahnya.

"Saya cukup terkejut apabila mengetahui berita ini dan Aziah terus pengsan sebaik memberitahu kami.

"Saya mengenali arwah pada tahun 2004 semasa dia menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UUM dan saya merupakan pengajar untuk pandu arah peta," katanya sambil memberitahu kali terakhir beliau bertemu arwah ialah minggu lepas sebelum bertolak ke Lahad Datu.

Amatlah malang apabila peristiwa sedih ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu sebagai satu drama yang diada-adakan oleh pihak kerajaan. Kononnya, ia dirancang untuk menangguhkan PRU13 yang patut diadakan selewat-lewatnya Jun ini. 

Kenyataan biadab Tian Chu, ahli Parlimen Batu dari Pakatan Rakyat, meletakkan kesalahan kepada parti pemerintah. Begitu juga Anwar Ibrahim, Penasihat PKR yang meletakkan kesalahan kepada kerajaan kerana dianggap lewat bertindak. Tujuannya untuk mempengaruhi rakyat agar bersetuju dengan pandangan mereka.

Respons mereka sebenarnya sudah boleh difahami, kerana ia bertujuan memperlihatkan kerajaan pimpinan Najib kelihatan lemah, dan perlu diganti. Apa yang mereka tidak faham sebenarnya adalah keterbukaan kerajaan menerima penceroboh untuk berunding sama ada dengan ATM atau PDRM, kerana isu ini berakar umbi sejak zaman sebelum merdeka. Malah, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia berketurunan Sulu yang masih mempunyai hubungan persaudaraan dengan rakyat Selatan Filipina, khususnya Mindanao.

Saya kira kita semakin jelas tentang watak politikus seperti Anwar dan Tian Chua, yang tampak menangguk di air keruh, atas peristiwa yang mengorbankan perwira negara ini. Seharusnya, orang seperti ini tidak perlu diberi ruang menjadi pemimpin kerana sikap bermuka-muka dan memperjudikan keselamatan negara demi karier politik mereka.

Alfatihah untuk Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

 

Tuesday, February 12, 2013

Kenduri Kahwin Di Kg. Repah, Tampin

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Cuti TBC dimanfaatkan untuk membawa anak-anak berkunjung ke Tampin, Negeri Sembilan. Ada majlis kenduri bapa saudara saya di Kampung Repah, kira-kira 7 km daripada pekan Tampin. Bapa saudara saya, Haji Ibrahim merupakan Imam 1 di masjid Kg. Seri Repah dan antara yang rapat dengan kami. Sementelahan, kenduri kahwinj ini melibatkan dua pasangan mempelai, iaitu anak pertamanya, Muhammad Huzaifah dengan Siti Nur Rahmah, serta anak ketiganya, Siti Hajar dengan Abdul Hakim. 
Ayahda dan Cekda menyambut para tetamu yang hadir
Senang dipanggil "Ayahda", kakitangan TNB berusia 56 tahun ini tetap mesra menyambut kami biarpun beliau agak sibuk dengan majlis akad nikah Siti Hajar yang baru berlalu.
Wajah penatnya tidak dapat disembunyikan, tetapi majlis yang lancar tanpa masalah yang besar melegakan hati dan perasaannya. 

YAM Tuanku Besar Tampin segak bergaya ke majlis perkahwinan sepupu
Apatah lagi, Tuanku Besar Tampin turut berangkat ke majlis kendurinya serta beramah mesra makan tengah hari bersama pasangan mempelai. Orangnya sangat 'mesra rakyat' dan tidak terlalu protokol menghadiri majlis seperti ini.

Lihat sarang penyengat yang kosong selepas disembur racun

Tanpa memikirkan kepenatan, keesokannya, Ayahda masih menggunakan tenaga dan kudratnya memanjat pokok pulasan untuk bekalan kami pulang ke Perak. Kami turut disengat penyengat yang bersarang di pokok pulasan belakang rumah. Apa lagi, saya dan anak-anak lelaki yang membantu, memecut laju meninggalkan pokok pulasan, kerana penyengat sudah menggila akibat sarangnya diganggu.


Saya dan abang ipar, Wan Long turut menikmati rambutan gading (kuning kemerahan) yang manis serta lekang isinya. Sebenarnya, di keliling rumah Ayahda, memang ditanam pokok buah-buahan yang memberikan hasil yang bukan sedikit. Benarlah kata orang tua-tua, berbudi kepada tanah, tidak mustahil hasilnya dapat dinikmati kemudian hari.
Saya dan Abang Long menikmati rambutan gading
 
Aktiviti menghalau semut hitam yang bersarang di buah rambutan
Indah dan bertuahnya bumi kita, warisan berzaman yang harus dipertahankan. Pengalaman disengat penyengat menjadi kenangan yang tak mungkin dilupakan oleh anak kedua saya, Afif Wajdiy.


Tuesday, January 29, 2013

Kayuhan Solo Melebihi 45 km.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Cuti Thaipusam saya manfaatkan untuk berkayuh melebihi kebiasaan. Selepas solat subuh, saya bertekad berkayuh sejauh yang mampu.

Tepat pukul 7 pagi, roda berputar mengikut hala yang dituju. Saya berkayuh sehingga ke Pasir Panjang Laut dan menuju ke Kg. Koh. Dari situ, kayuhan diteruskan hingga ke Sitiawan. 

Perjalanan masih tidak terasa panas kerana udara pagi begitu nyaman. Apatah lagi cuti begini, jumlah kenderaan tidak banyak menggunakan laluan saya. Kayuhan berterusan hingga ke Seri Manjung dan berhenti di kedai makan setelah saya terserempak Abdul Razak, kawan sekampung semasa remaja  yang sedang  menabar roti canai. Selepas bersarapan dan berbual seketika, saya teruskan kayuhan hingga ke Lekir. Jumlah kayuhan sepanjang 45 km itu adalah yang terjauh untuk laluan solo saya. Tidaklah terlalu teruk untuk seorang pengayuh MTB amatur seperti saya.

Usai tiba di rumah pukul 9.30 pagi, saya pastikan Corratec berkeadaan baik dan bersedia dikayuh untuk aktiviti seterusnya.

Syukur pada-Mu Allah, yang memberi kekuatan untuk hamba-Mu berkayuh. Hargai nikmat kesihatan agar kita tidak rasa rugi jika diberi sakit.

*Maaflah tiada foto, sebab tak bawa telefon.

Monday, January 14, 2013

Peristiwa Sedetik, Ditanggung Seumur Hidup (Update)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada lewat petang Sabtu, 12 Januari 2013, saya mendapat perkhabaran seorang pelajar tingkatan 5, yang juga atlet harapan sekolah telah ditimpa kemalangan. Saya dimaklumkan oleh Ustaz Mohd Imran, bahawa Muhamad Asyraf Muhamad Haisham telah mengalami kemalangan motosikal bersama rakannya Fakhrul Faiz ketika bersiar-siar di pekan Lumut.

Dalam kemalangan tersebut, Faiz mengalami kecederaan ringan, tetapi Asyraf luka parah di tangan kirinya. Tangannya kemungkinan dipotong, kata rakan saya yang berasal dari Kelantan itu.

Saya menghubungi En. Haisham, yang merupakan ayah Asyraf. Dia dalam perjalanan ke Ipoh bersama Asyraf ketika itu.
"Tak taulah cikgu. Saya serah pada Allah," Katanya dalam nada pilu.
 Saya sendiri terkejut dengan berita ini. Sejujurnya, saya mengenali Asyraf sebagai pelajar yang baik dan berpotensi dalam bidang sukan. Saya hanya mendoakan agar tangannya dapat dirawat sebaik mungkin.
Awal pagi Ahad, saya menghubungi ayah Asyraf sekali lagi.
"Bagaimana dengan Asyraf?" Tanya saya.
"Dia dah dibedah malam tadi, ...dah selamat." Katanya menghela nafas yang kedengaran di hujung talian.
"Syukur... Jadi, tangannya dapat dirawat?" Saya bertanya lagi.
"......Tak dapat... tak dapat, cikgu." En. Haisham berbicara dengan nada tersekat-sekat.
"Tangannya dah selamat kena potong." Katanya sebak, tapi jelas maknanya.
Saya terkesima.
Cikgu Tajul memberi kata-kata semangat untuk Asyraf

Saya dan cikgu Tajul sempat menemui Asyraf selepas pulang dari rawatan di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh petang kelmarin di jeti Lumut.

Semangatnya perlu dipulihkan agar dia terus hidup. Hikmah di sebalik kejadian ini, hanya Allah yang tahu.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...