Saturday, January 23, 2010

Menyauk Ikan Di Parit Jiran

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lama sebelum saya masuk ke sekolah menengah, kegemaran saya ialah memancing, atau lebih tepat lagi, menyauk ikan semilai. Di sesetengah tempat, ia disebut ikan laga. Di tempat saya, ia sinonim dengan nama ikan lawan. Warnanya cantik, terutama ikan jantan. Kelibatnya mengembangkan sirip apabila berdepan ikan jantan lain sangat menghiburkan. Dietnya hanya nyamuk kecil. Ikan ini mudah dibela. Biasanya saya bela dalam botol air badak, atau botol Horlick yang ditemui di tepi kedai runcit. 

Saya selalu mencari ikan lawan di parit jiran, iaitu rumah Pak Ngah Tamin belakang rumah.  Parit itu selari dengan jalan raya utama yang menjadi penghubung masyarakat kampung ke pekan  terdekat. Di parit yang lebarnya 2 meter itulah tempat saya menyauk ikan. Kekadang jika bernasib baik, saya boleh dapat ikan puyu atau sepat. Anak haruan yang kemerah-merahan sepanjang satu inci juga boleh ditangkap dengan penyauk  yang asalnya penapis plastik.

Saya jarang mengajak adik-adik lelaki menyertai aktiviti menyauk. Pertama, menyauk ikan tak boleh ramai-ramai. Ikan 'akan lari' jika suasana bising. Kedua, leceh  jika adik beradik ikut sama. Terpaksa jaga dan pantau mereka. Jadi, untuk mengelakkan situasi ini, saya selalunya pergi secara rahsia supaya tak diketahui kedua-dua orang adik lelaki yang hampir sebaya.

Satu hari, saya leka menyauk sehingga tak menyedari ayah balik melalui jalan raya depan rumah Pak Ngah Tamin. Ketika ayah balik dengan motosikalnya, dia ternampak kelibat saya sedang terbongkok-bongkok di tebing parit menyauk ikan. Ketika dia menongkat motor pun, saya tak sedar. Saya leka dengan dunia saya. Saya leka menyauk ikan lawan.

Memang sudah menjadi tabiat ayah, dia merenung perbuatan anak tanpa menegur. terlebih dahulu Tapi tenungan itu sudah cukup memberi maksud kepada saya. Melompat saya  memanjat tebing tinggalkan penyauk apabila menyedari ayah berada di tepi parit memerhatikan perbuatan saya.

Apa lagi, ca alif but, cabutlah. Saya tak tunggu, terus lari balik ke rumah menunggu saat-saat dihukum. Sebagai hukumannya, ayah ambil rotan dan bahagian punggung menjadi sasaran. Selepas itu, mak pun menasihati saya supaya tak buat perkara itu lagi.

"Entah ada ular, tebuan tanah ke, dekat-dekat situ... Bahaya, kamu tau?" kata mak.

Bila dikenangkan kembali, syukurlah tak terjadi perkara buruk ketika zaman nakal dahulu. Apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak lelaki, saya dapat rasakan kebimbangan mak dan ayah terhadap perbuatan saya dahulu.

5 comments:

  1. Akhirnya banyak perkara yang kita ketahui selepas menjadi seorang ayah

    ReplyDelete
  2. Salam sdr. Brahim

    Kenakalan semasa kanak-kanak saya, terwaris juga kepada anak-anak saya. Saya pun lebih kurang sdr. Brahim juga. Semua perkara nak cuba sehinggakan jatuh pokok pengsan pun tiada siapa yang sedar.

    Walau anak-anak perempuan, rupanya mereka juga nakal. Semua perkara yang mereka buat mereka ceritakan kepada saya bila mereka sudah remaja. Saya dan isteri tidak tahu sebab kami bekerja dan tinggalkan mereka bersama Pembantu Rumah.

    Rupanya selama ini Pembantu Rumah hanya buat hal sendiri bila kami keluar bekerja. Anak-anak buat cerita masing-masing.

    ReplyDelete
  3. Salam Pokli,

    Begitulah, asam garam kehidupan. Dah menjadi ayah, kita akan lebih menghargai jasa ibu bapa membesarkan anak-anak..

    Salam Pakdin,

    Anak-anak zaman nakal tak kira jantina. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Jadi, apa yang mereka warisi adalah daripada kita juga.

    ReplyDelete
  4. wah...menarik..saya dulu pun mcm tu jugak!main sauk ikan laga..kat sawah.Dulu penah jatuh gak..abis kotor baju.biasala..kena benda yg sama mcm abg kena.hahaha...rindunya masa dulu..hukhuk...

    ReplyDelete
  5. Iqbal, di mana kita berada, jika asalnya dari kampung, pasti sedikit sebanyak ada persamaan sebab suasana kampung itulah membentuk diri kita.

    Jangan malu menyatakan kita dari kampung, sebab itulah jati diri kita. Yang penting, pandai bawa diri.

    Saya yakin panorama di kawasan sawah lebih menarik..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...