Monday, March 9, 2015

EKSPEDISI BERBASIKAL BUKIT ENGKU BUSU (BEB)

Terima kasih sudi membaca blog saya.

Pada Ahad 8 hb MAC 2015, saya menyertai Cikgu Haslina Abdul Hamid, Cikgu Intan Maimunah dan Cikgu Siti Rafeah serta lebih 25 orang pelajar SMK Seri Samudera Seri Manjung, ke program Kayuhan Ekspedisi Ke Bukit Engku Busu, Lumut.

Pada awalnya kami dijangka memulakan kayuhan pada 7.30 pagi, tetapi hujan rahmat yang turun renyai-renyai melewatkan jadual ke pukul 9 pagi. Keadaan cuaca tidak merencatkan semangat para peserta. Malah semuanya bersemangat untuk meneruskan aktiviti. 
 


Sebelum berkayuh, kami buat aktiviti regangan otot
Pergerakan kami bermula daripada Masjid Salahuddin, Desa Bayu dengan konvoi basikal pelbagai jenis yang kebanyakannya disertai oleh remaja, melalui Desa Manjung Raya hingga ke kaki bukit Engku Busu. Perjalanan sejauh 4 km diiringi oleh polis trafik IPD Manjung dan petugas masjid Salahuddin. 

BEB memang menjadi tempat rekreasi pelancong tempatan untuk menikmati keindahan flora hutan Khatulistiwa berusia jutaan tahun. Bukit rekreasi ini telah digazetkan sebagai Hutan Simpan sejak tahun 1974. Sebaik tiba, kami diberi rehat dan taklimat ringkas sebelum memulakan pendakian pada pukul 10.00 pagi.

Di kaki bukit, saya bersua Cikgu Maslina Adanan, Cikgu Rozifah dan Cikgu Lailawati yang membawa ahli Kelab Bola Jaring SMK Batu Sepuluh mendaki BEB. Turut menyertai pendakian ialah Pengerusi Masjid Salahuddin, Datuk Haji Zulkifli yang pada hemat saya amat mesra dan mudah membantu peserta yang kepenatan. Tidak dinafikan, cabaran mendaki BEB tidak kurang hebatnya. Apatah lagi kami mendaki dalam keadaan denai licin selepas hujan. Mujurlah tidak ada peristiwa buruk berlaku kepada pelajar-pelajar saya. Perjalanan mendaki lebih sukar berbanding menuruni bukit. Dengan keadaan denai yang licin, kami lebih berhati-hati ketika menuruni bukit kerana bimbang tergelincir.   



Cikgu Intan Maimunah dan Cikgu Siti Rafeah bersemangat kental


Datuk Hj Zulkifli (berbaju putih) menyertai kami mendaki BEB


Antara peserta yang dapat hadiah Cabutan Bertuah

Cikgu Haslina turut mendapat hadiah cabutan bertuah
Hadiah Bonanza berupa basikal MTB
Tiga sekawan yang bertuah


Senaman regangan dipimpin oleh jurulatih Pejabat Belia Manjung


Inilah wira yang berjaya mendaki BEB!
Datuk Haji Zulkiffli, Pengerusi Masjid Salahuddin Desa Bayu, dalam ucapannya bertekad menjadikan aktiviti ini sebagai program tahunan masjid, demi menggalakkan budaya sihat dalam kalangan remaja. Saya berbesar hati dengan program seperti ini yang pada hemat saya boleh membentuk jati diri remaja yang positif. Selain itu, ia memberi persepsi bahawa pihak masjid tidak mengetepikan golongan remaja.

Saya bersama ahli Kelab Bola Jaring SMKBS yang turut mendaki
Sebenarnya kita harus menyokong program seperti ini kerana ia sangat bermanfaat untuk para remaja. Semoga aktiviti seperti yang telah dianjurkan oleh pihak AJK Masjid Salahuddin Desa Bayu dapat dijadikan contoh oleh masjid sekitar daerah Manjung dalam mendekatkan jiwa remaja kepada aktiviti masjid.
Tahniah kepada AJK Masjid Salahuddin Desa Bayu yang mengelolakan program ini. Insya-Allah pelajar saya akan menyertainya lagi jika dibuat lagi tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...