Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Sejak dahulu lagi, sekolah menjadi institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat untuk memberi pendidikan dan ilmu kepada anak bangsa. Sejarah pendidikan awal bermula dengan wujudnya sekolah pondok, yang berteraskan ilmu agama. Selepas kedatangan penjajah, para mubaligh menubuhkan sekolah berasaskan agama Kristian, untuk menyebarkan agama tersebut kepada penduduk tempatan. Imigran seperti dari China dan India juga menubuhkan sekolah untuk memastikan bahasa ibunda mereka kekal dalam kalangan generasi muda. Dengan kata lain, sekolah merupakan sebuah institusi milik masyarakat. Ringkasnya, sekolah adalah harta sepunya masyarakat, diibaratkan bagai isi dengan kuku, kerana saling berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Oleh sebab komuniti merupakan sebuah masyarakat kecil, jadi sekolah juga diertikan sebagai masyarakat kecil kerana sekolah merupakan sebahagian daripada masyarakat di mana semua anggota hidup bersama dalam kawasan sekolah, mengikut peraturan-pertauran dan cara-cara yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bukan itu sahaja, sekolah juga berkonsepkan sebagai suatu sistem sosial iaitu salah satu institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggota masyarakat supaya membolehkan mereka menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan dan perkembangan diri dan masyarakatnya.
Hari ini, peranan sekolah masih dipertanggungjawabkan memberi pendidikan dan membentuk modal insan yang diperlukan oleh negara. Dengan demikian, sekolah mempunyai pengaruh utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya. Kebudayaan masyarakat yang sentiasa mengalami perubahan mewujudkan peranan baharu sekolah. Justeru pendidikan sekolah tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja malah ia perlu menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima proses pembaharuan. Oleh itu, sekolah juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan selari dengan keperluan-keperluan yang telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti kurikulum dan kokurikulum antara sekolah-sekolah daerah, negeri dan negara, konsep sekolah wawasan pula diperkenalkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, pada bulan Disember 1995 bertujuan memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama dalam sesuatu kawasan yang sama demi memupuk dengan lebih awal lagi perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat berbilang kaum.
Sekolah melahirkan pelajar-pelajar atau generasi yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Generasi-generasi yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat bernilai untuk perkembangan dan kemajuan masyarakat dan negara. Kerjasama antara sekolah dan masyarakat adalah penting untuk membawa sekolah dan masyarakat bersama-sama menuju ke arah kejayaan dan kegemilangan. Jika kedua-dua aset ini tidak saling berinteraksi sudah pasti remaja yang berilmu pengetahuan tidak akan terhasil. Golongan ini amat penting kerana merekalah yang akan menentukan masa hadapan dan bakal pemimpin Negara.
Kesimpulannya, membentuk muafakat dalam komuniti memerlukan anjakan paradigma yang bakal mewujudkan suasana sekolah yang disukai dan diterima oleh komuniti. Untuk itu, mereka perlu berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Remaja yang berilmu dan bijaksana juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan negara. Dalam merealisasikan “ Satu Malaysia” remaja seharusnya menghayati falsafah muhibah dan kerukunan serta keharmonian antara kaum.
(dipetik daripada tugasan individu NPQEL 1/2016 IABGH)
No comments:
Post a Comment
Jejak yang ditinggalkan