Wednesday, July 12, 2017

MOTIVASI AYAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

          Motivasi atau keinginan untuk mencapai impian atau cita-cita, sering dikaitkan dengan kejayaan insan dalam bidang yang mereka ceburi.  Mengikut sains psikologi, motivasi datang daripada dalaman (intrinsik) dan luaran (eksrinsik). Motivasi dalaman dan luaran ini saling berkait rapat. Dengan motivasi yang tinggi, seseorang dapat mengekalkan keupayaan bersaing dengan orang lain, dan akhirnya berjaya mencapai impian dalam hidup. 

       Tan Sri Loh Boon Siew, asalnya seorang pengutip besi buruk, tetapi akhir hayatnya dikenali sebagai jutawan yang sinonim dengan jenama motosikal Honda di Malaysia. Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary, jutawan Melayu yang berasal daripada keluarga yang bukan hartawan, tetapi kini mempunyai empayar perniagaan yang meliputi industri kenderaan, perbankan serta minyak dan gas. Mereka adalah contoh insan hebat yang mempunyai motivasi diri yang kuat untuk berjaya. 

            Saya kongsikan kisah ayah saya, seorang lelaki biasa, tapi kata-katanya masih terpahat dalam jiwa saya hingga ke hari ini. Kehidupan ayah saya bukannya orang senang. Dia seorang buruh majlis bandaran. Dengan gaji yang tidak seberapa, ayah dan emak membesarkan kami lima beradik. Ayah tahu, hidup sebagai pekerja rendah tanpa kelulusan yang tinggi tidak menjamin masa hadapan. Namun, ayah berusaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anaknya.  Usaha itu menjadikan saya kagum dengan ayah. 

Saya tahu ayah memang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang tinggi, kerana kemiskinan zaman dia membesar. Tambahan pula, ibunya meninggal dunia pada usia muda. Hidupnya zaman remaja terumbang ambing. Begitu juga dengan emak. Pemikiran masyarakat Melayu dahulu mengutamakan pendidikan kepada anak lelaki, kerana anggapan bahawa anak perempuan akhirnya akan ke dapur juga. Pendek kata, mak dan ayah tidak berpeluang menamatkan pendidikan pada tahap yang sepatutnya. 

Ayat ayah yang saya ingat sampai kini, adalah kata-katanya, ketika mengingatkan saya tentang pentingnya pendidikan. 

         "Ein, (panggilan mesra ayah kepada saya) ayah tak ada harta. Ayah tak boleh wariskan kamu dan adik beradik lain harta yang banyak."

     "Ayah beri kamu peluang belajar, dan kamu mesti gunakan sebaiknya. Kalau kamu gagal, hidup kamu tak akan ke mana-mana.."

       Nasihat ayah itu memberi kesan besar dalam hidup saya. Apatah lagi, sistem pendidikan zaman itu turut menjadi motivasi yang kuat kepada saya. Dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kegagalan matematik menyebabkan pelajar tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Ini menjadikan saya berusaha mengulangkaji dengan jiran bernama Abang Jamaluddin yang menyewa selang dua buah rumah ketika itu.

      Kata-kata ayah menjadi azimat saya dan adik beradik lain, untuk mengubah nasib keluarga. Kami tidak menghina pekerjaan ayah sebagai buruh, tapi kami bertekad tidak mewarisi pekerjaan itu, kerana ayah telah beri peluang pendidikan kepada kami. Alhamdulillah, kami semua berjaya dalam bidang masing masing. 

Rumusannya, motivasi amat penting dalam mencorakkan minda insan yang ingin kita ubah. Seorang guru perlu mempunyai motivasi yang tinggi untuk membentuk jati diri dan minda pelajarnya. Jika guru tersebut tidak bermotivasi, pelajarnya tentu juga sepertinya. Begitu juga seorang pengurus yang mempunyai motivasi yang tinggi dapat berkongsi semangat dengan pekerja di bawahnya. Ringkasnya, motivasi dapat membangunkan jiwa dan mengubah sikap individu untuk menggerakkan organisasi yang lebih cemerlang.

Persoalannya kini, apakah dan siapakah yang memberi motivasi dalam hidup anda hari ini? 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...