Monday, December 11, 2017

MASJID BUKAN TEMPAT UNTUK ORANG TUA DAN PESARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Masjid adalah rumah Allah, tempat beribadat bagi orang Islam, menjadi pusat penyebaran ilmu semasa zaman perkembangan Islam. Hari ini, masjid dibina lebih cantik dan gah, melalui dana perseorangan dan dermawan, termasuk sumbangan kerajaan. 

Namun begitu, perkara yang perlu kita ambil berat adalah pengunjungnya. Rata-rata hari ini, yang memenuhi masjid hanyalah orang tua dan pesara kerajaan. Jumlah orang muda dan remaja yang mengunjungi masjid semasa solat fardhu, amat sedikit.

Hal ini berlaku kerana mentaliti masyarakat kita hanya menganggap masjid bukan tempat yang sesuai untuk anak-anak kecil dan remaja. Saya pernah melihat, kelompok anak remaja yang melepak di bangunan kosong yang tidak jauh daripada masjid, ketika azan maghrib berkumandang. Mengapa ini berlaku?
Ramai antara kita begitu marah dengan tindakan pihak Israel tidak membenarkan masyarakat Palestin beribadah di Masjid Aqsa di Baitulmaqdis. Namun, jika dilihat di negara kita, berapa ramai yang sanggup hadir ke masjid untuk mengimarahkan solat fardhu? Mungkin ada yang memberi alasan sibuk dengan pekerjaan dan seumpamanya. Bagaimana pula dengan waktu Maghrib dan Isyak? Keadaannya hampir sama dengan waktu Zohor dan Asar. 

Oleh yang demikian, para bapa yang sering ke masjid, sepatutnya menggunakan sedikit paksaan agar anak anak dapat mengikuti mereka ke masjid untuk solat berjemaah. Selain itu, pihak masjid melalui AJK yang dilantik, perlu membuat program mesra masjid agar anak anak remaja dapat mengubah mentaliti 'masjid hanya untuk orang tua dan pesara'. 

Jawatan tertentu dalam jawatankuasa masjid boleh diisi oleh anak muda yang sekaligus dapat menarik minat golongan ini hadir dalam pelbagai program kuliah yang dianjurkan oleh masjid. Melalui cara ini, kita dapat mengubah tanggapan negatif, dan masjid menjadi tempat  yang menyeronokkan untuk dikunjungi oleh generasi muda. 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...