Wednesday, December 13, 2017

PT3: PENCAPAIAN HOLISTIK PELAJAR MENJADI KEUTAMAAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Esok, Khamis 14 Disember 2017, keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan diumumkan. Mungkin ada antara kita akan tertanya-tanya, berapa jumlah 'A' yang diperolehi oleh si polan, dan membandingkannya dengan orang lain.

Hakikatnya, jumlah 'A' dalam peperiksaan adalah penilaian konservatif yang semakin tidak relevan dalam dunia pendidikan. Malah, ia adalah satu penilaian yang sangat tidak adil kepada anak-anak yang sedang membesar. Pernahkan kita mengenali seseorang, yang semasa zaman sekolahnya, tidak mempunyai 'kepintaran' dan gagal mendapat 'keputusan cemerlang' dalam peperiksaan, namun, setelah dewasa, mereka menjadi orang hebat dalam bidangnya?  
Itulah bukti, bahawa sistem penilaian peperiksaan berasaskan jumlah 'A' atau markah tinggi dalam akademik, bukan kayu ukur yang tepat bagi kejayaan seseorang insan. Tiba masanya masyarakat kita khususnya ibu bapa melihat pencapaian anak masing-masing berdasarkan bidang yang lebih menyeluruh, atau disebut holistik. Berapa banyak A yang anak-anak peroleh dalam peperiksaan yang diduduki, bukan lagi menjadi ukuran kejayaan mereka.
Sebaliknya, pencapaian seorang murid di sekolah rendah sehingga tingkatan 3 di sekolah menengah sewajarnya diukur mengikut kepelbagaian. Inilah yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia apabila mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya akan menjadi satu daripada empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dalam menentukan prestasi seseorang murid berbanding sebelum ini.
Untuk PT3, ia juga tidak jauh berbeza. Selain daripada pencapaian akademik PT3, tiga lagi komponen lain adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pendidikan Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan memberi tumpuan kepada perkembangan sahsiah setiap murid.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senan, dipetik sebagai berkata bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara tidak lagi memfokuskan kecemerlangan murid berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
Apa yang perlu ialah mereka turut melihat pencapaian murid secara holistik sebagai seorang insan.
"Setiap murid memiliki keunikan tersendiri dan potensi mereka tidak hanya semata-mata sebanyak mana mereka meraih A dalam peperiksaan.
"Selain pencapaian akademik yang lebih penting adalah pembangunan karakter, memperkasa pendidikan sejati dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di sekolah," katanya.
Untuk lebih mudah memahami matlamat jangka panjang KPM, usia pelajar pada 13 hingga 15 tahun di sekolah menengah, mereka diberi penekanan kepada nilai dan adab budaya di sekolah, termasuk semangat bekerjasama, menghormati individu dan kerohanian, dan seumpamanya. Mereka akan fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila belajar di tingkatan 4 dan 5. 
Dengan perubahan ini, diharapkan anak-anak kita mampu membangunkan potensi diri mereka dengan lebih menyeluruh.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...