Tuesday, February 20, 2018

HISTERIA 1996

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada tahun 1996, iaitu ketika baharu beberapa bulan mengajar di SMK Batu Sepuluh, Lekir, saya berdepan situasi pelajar diserang histeria. Kawasan sekolah dikelilingi hutan pokok gelam, dan sesetengahnya masih hutan sekunder. Di sebelah utara sekolah, projek membina 12 unit rumah guru sedang rancak dibuat. 

Histeria, kalau mengikut maksud perubatan tradisional, adalah gangguan makhluk halus. Ia  menyebabkan mangsa menjerit tidak sedarkan diri dan berjangkit kepada pelajar lain, kemudiannya keadaan boleh menjadi tidak terkawal.

Saya ketika itu masih bujang, bersemangat dan energetik. Tentunya ia satu pengalaman baharu buat saya. Saya masih ingat, ia bermula di kelas 5SN1. Antara pelajar yang ada ketika itu adalah Rahim, Khairol Nizam, Azni Azwin.

Azni Azwin dikhabarkan memandang ke arah pintu tanpa berkelip, dan selepas itu badannya tiba tiba tertolak ke belakang. Dia jatuh ke lantai dan mula menjerit. Rahim, Nizam dan beberapa orang pelajar lelaki cuba membantu menenangkannya. Namun begitu, kekuatan Azni begitu luar biasa. Dia bingkas bangun dan berlari di koridor tingkat tiga bangunan sekolah. Pelajar dan guru mengejarnya untuk mengelakkan tragedi lompat bangunan.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila beberapa orang pelajar dan guru perempuan lain mengalami gangguan yang sama. Guru-guru lelaki seperti Cikgu Zulkiply (arwah), Nor Zaidi, Ustaz Amin, Cikgu Amri dan beberapa orang lagi membantu memastikan suasana terkawal. Pengetua ketika itu, Cikgu Shukor membuat keputusan sekolah cuti kecemasan kerana darurat, yang boleh menjejaskan pembelajaran. Pelajar dibenarkan pulang awal, dan datang pada lusa. Hampir dua minggu juga kejadian tersebut berlarutan, tetapi syukurlah ia tidak mengakibatkan kecederaan dan kematian.

Sekolah terpaksa mendapatkan bantuan pengamal perubatan tradisional, di samping mengadakan majlis bacaan yaasin dan solat hajat bersama ibu bapa dan komuniti Batu 10, Lekir.

Akhirnya, kami tahu bahawa makhluk halus di hutan berhampiran kononnya bertindak mengacau warga sekolah kerana pembinaan rumah guru dan pembangunan ladang sawit di kawasan hutan pokok gelam menyebabkan 'kediaman' mereka terjejas. Makhluk halus tersebut 'dipindahkan' ke hutan lain oleh beberapa orang ahli perubatan tradisional. 

Begitulah sedikit pengalaman kisah histeria, yang pernah saya lalui semasa mengajar di Lekir satu ketika dahulu. 

 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...