Thursday, March 8, 2018

"Saya Dah Rosak, Cikgu!"

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


     Pada Rabu 7 Mac, saya ke sebuah sekolah di Kemunting, untuk mengikuti satu bengkel berkaitan urusan kerja. Dalam perjalanan pulang, saya berhenti untuk membeli pisang goreng. Ketika menuju ke sebuah gerai, sebuah motosikal lalu berhampiran saya dan berhenti.
  Remaja lelaki penunggang motor Honda EX5 itu menegur saya, "Cikgu Izzuddin  ke ni?" Dia bertanya.
     Saya mengiyakan, lalu memerhatikan wajahnya.
     "Cikgu tak kenal saya?" Dia bertanya lagi.
   "Biasa tengok, Kamu memang tinggal di sini?" Saya bertanya semula, sambil kepala ligat cuba mengingati namanya.
   Dia menyebutkan namanya, dan biarlah saya kenalkan dia sebagai 'R'. Dari susuk tubuhnya, saya lihat saiz R kecil dan kurus seperti dulu. Ingatan saya kembali mengingati detik saya pernah mengajarnya. Dia juga menyebutkan nama beberapa orang kawannya. Jadi, sahihlah dia bekas pelajar saya di sebuah sekolah menengah dulu.     
      "Tak buat apa-apa, cikgu..." Katanya tersengih, apabila saya bertanyakan kerjayanya. 
      Dia pulang ke Taiping selepas SPM dan tinggal bersama bapa dan ibu tirinya. Dia tidak sambung belajar. Pernah bekerja, tetapi tidak lama di satu satu tempat.
        "Saya cepat jemu,"Katanya memberi alasan dia berhenti kerja.
     Pelik, fikir saya. Mata saya menyoroti tubuhnya yang kecil itu. Tangan kirinya masih memegang rokok yang berasap. R pernah makan pelempang saya semasa di sekolah dahulu, kerana merokok di tandas sekolah. Rupanya itu tak menginsafkan dia. 
       "Kamu dah nikah? Dah ada anak?"
     "Saya muda lagi, cikgu..Lagipun ..." tiba-tiba lidahnya bagai kelu tak terucapkan bait penyudah ayat akhir. Seolah -olah ada maksud yang tak dapat disampaikan.   
        Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Meliaht perwatakannya, ada sesuatu yang tak kena dengannya. Kata hati saya. Keadaannya bagai tak terurus, wajahnya kusut masai, giginya kekuningan mungkin sebab kerap merokok. Pakaiannya yang serba sederhana, membuktikan dia tidak punya citarasa  dan gaya insan normal.
        Bagai tahu maksud hati saya, R tiba-tiba perlahan berkata, "Saya dah 'rosak', cikgu". 
      Saya terkejut, dan diam seketika, sambil memikirkan maksudnya. Hati saya meyakini dia memaksudkan dirinya sudah terlibat dengan najis dadah. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya, itulah yang dia maksudkan.
       "Dah lama ke?" Saya memancing rahsia sisi hitamnya.
       "Sejak habis sekolah, salah pilih kawan." Katanya bersahaja. 
       "Tak mau berubah?"
       "Susah, cikgu.. Dah terjebak."
       "Pilihan di tangan kamu, cikgu doakan kamu dapat berubah... Berubahlah, belum terlambat. Kamu muda lagi. " Saya menasihatinya.  
       Dia diam, tapi pandangan redup matanya masih merenung saya. Tiba-tiba dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.
       "Saya pergi dulu cikgu," Katanya bagaikan tidak mahu lagi mendengar nasihat saya. 
Dia menghidupkan enjin motornya, dan berlalu pergi meninggalkan saya. 
       Dalam setandan pisang, bukan semuanya elok. Moga R kembali ke pangkal jalan satu hari nanti. Terima kasih kerana masih ingat saya sebagai bekas gurunya.   

                         

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...