Monday, September 17, 2018

BERAKHIRNYA MUSAFIR SAYA DI SELAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Sejak Ogos 2018, saya sudah menerima perkhabaran, kononnya akan dapat arahan pindah bertugas di Manjung, daerah asal saya. Berita khabar angin itu tersebar, walaupun tiada tanda-tanda rasmi saya akan meninggalkan Selama.

Sudah lebih setahun 5 bulan saya berkelana di bumi Selama,sejak dilantik sebagai pengetua pada 17 April 2017. Tentunya pengalaman di Selama, khususnya di SMK Sungai Bayor, memberi manfaat besar kepada saya. Saya masih ingat hari pertama melapor diri di PPD LMS, bertemu tuan haji Aminuddin Mohd Nor. Ketika itu, saya ditemani Cikgu Musa Abdul Aziz (juga bertugas sebagai pengetua baharu di SMK Datuk Haji Hussein, Selama) dan Cikgu Roslina Othman (pengetua baharu SMK Toh Johan, Trong). Kami diarahkan bertugas 3 tahun dan membuktikan kecemerlangan, sebelum berfikir untuk pulang ke daerah asal. Saya dan cikgu Musa kemudiannya menyewa sebuah rumah di Taman Permai, dan kami berkongsi suka duka hidup berjauhan daripada keluarga sepanjang berkhidmat di LMS.  

Pagi Khamis 13 September 2018, saya berasa ‘tidak sedap badan’. Tubuh rasa letih lesu, dan tidak bersemangat. Selepas pukul 10 pagi, iaitu selepas tamat kelas Sejarah 4K2, saya bercadang untuk ke klinik. Namun begitu, saya dikejutkan dengan panggilan tuan PPD, Haji Aminuddin semasa sedang mengajar, meminta saya bertemu dengannya pukul 2 petang nanti.

“Nanti cikgu datang ke bilik saya, ada perkara saya nak bincang dengan cikgu,” kata-katanya dalam telefon terngiang-ngiang dalam ingatan.
 
Bersama Tuan Haji Aminuddin, di PPD LMS
Hati saya tertanya-tanya, apakah isi perbincangan tuan nanti? Adakah sampai masanya saya kembali ke Manjung? Atau, adakah isu tertentu yang negatif melibatkan sekolah yang gagal saya tangani? Semuanya bermain di kepala saya sepanjang perjalanan ke Taiping sejauh lebih 50 km.

Apabila tiba di PPD, saya diminta menunggu sebentar, kerana tuan PPD ada tetamu. Sebaik sahaja selesai, saya diminta masuk bertemu dengannya, menambahkan debaran hati, apakah maksud pertemuan kali ini. 

Tuan PPD LMS memaklumkan saya perlu kembali ke daerah Manjung atas keperluan perkhidmatan. Di daerah Manjung, ada beberapa sekolah yang ketiadaan pengetua.

"LMS dah mempunyai stok calon pengetua yang mencukupi sekarang. Kami kembalikan pengetua luar ke daerah asal, jika diminta oleh daerah tersebut." Katanya tersenyum, sambil menyerahkan surat JPN, yang menyatakan saya diarah berpindah tempat bertugas ke SMK Batu Sepuluh, Lekir.

Saya juga diminta melapor diri ke PPD Manjung keesokan harinya. Maka, sudah jelaslah segala-galanya. Terungkailah sudah maksud pertemuan kami kali ini. Hati saya bagai ingin melonjak gembira, kerana saya dapat kembali bersatu dengan anak isteri. Namun begitu, ada perasaan sebak di jiwa kerana bakal meninggalkan bumi Ulu Selama yang semakin serasi dengan saya. Memang SEBAYU sangat dekat di hati saya, walaupun tidak lama persinggahan saya ke Ulu Selama. 


SMK Sungai Bayor, tak akan hilang dalam ingatan hidup saya
Kepada cikgu Musa @ Chor dan cikgu Maznah, geng Trio Selama, teruskan perjuangan dan saya iringkan doa agar kedua-duanya juga dapat kembali berkhidmat di daerah sendiri. 

Kepada rakan guru SEBAYU yang baik budi, terima kasih atas segalanya. Semoga ukhuwah kita berkekalan. 



2 comments:

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...