Friday, September 21, 2018

SELAMAT TINGGAL SEBAYU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasa sebak bercampur gembira, dapat surat dari Putrajaya,

Arahan pindah dari Selama, pulang ke daerah asal saya.

Selama 1 tahun 5 bulan 21 hari, saya bertugas di sini, ia satu detik yang menjadi kenangan manis dalam hidup saya. 

Saya masih ingat pada 25 APRIL 2017, hari pertama saya berucap di dataran perhimpunan, saya umpamakan sekolah sebagai bahtera, saya nakhodanya, para guru dan AKP adalah anak kapal, manakala muatannya adalah pelajar sekolah ini. Kita belayar bersama, melalui cabaran dan dugaan, untuk sampai ke pelabuhan membawa muatan dengan selamat. 

Pada minggu pertama saya bertugas, para guru dan pelajar SEBAYU sibuk dengan majlis perasmian penutup IPFuntastic MyIPO, yang dijadualkan pada Sabtu 28 APRIL, dan disempurnakan oleh Menteri KPDNKK yang juga ahli parlimen Larut. Berucap di hadapan menteri, bukanlah satu kebiasaan kepada saya ketika itu. Saya rasa sangat gementar, tapi selesai ucapan, Menteri memberikan komen yang baik terhadap ucapan saya. Lega rasanya. 

Selama sebulan saya dapat mengingati nama guru dan staf SEBAYU, dan a bukan satu yang mudah. Adakalanya saya tertukar nama antara Zuraida, Zuhaida dengan Zubaidah, antara Faiza dengan Faizah, antara nama Azrul Nizam, Zarul Azmi dan Ahmad Nizam.

Berada di SMK Sungai Bayor, atau lebih mesra dengan SEBAYU memberi peluang kepada saya menimba pengalaman sebagai pengetua, dan ia bukan tugas mudah. Saya berdepan dengan lebih 800 orang murid, dengan pelbagai karenah, termasuk lebih 70 orang guru, 16 orang Anggota Kumpulan Pelaksana, 10 orang pekerja pembersihan swasta, 4 orang pengawal keselamatan, pekerja kantin dan sebagainya.

Semua Penolong Kanan SEBAYU adalah mereka yang lebih banyak pengalaman dan lebih berusia daripada saya. Namun begitu, Allah berikan saya nikmat berada di sebuah sekolah yang warga gurunya boleh bekerja bersama sama saya. 

Alhamdulillah, kita buktikan bahawa SEBAYU mampu mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Berjauhan dengan keluarga menjadikan saya lebih menghargai masa hujung minggu untuk anak dan isteri. Perit jerih berada jauh daripada keluarga dikongsi bersama cikgu Musa Abdul Aziz, rakan sejawat di SMK Datuk Haji Hussein, Selama. Kami tinggal menyewa rumah sewa di Taman Permai, dan pulang menjenguk keluarga setiap petang Jumaat. 
  
Saya harap slogan SEBAYU BOLEH! Dapat dijadikan sebagai satu budaya kepada pelajar SEBAYU. Laungan 3 kali SEBAYU BOLEH dapat menjadi inspirasi kepada pelajar untuk berjaya mencapai impian. Begitu juga dengan Tepuk SEBAYU, yang diperkenalkan semasa perkhemahan kokurikulum Julai lalu. Diharapkan ia dapat diteruskanselepas ini. 

Saya juga berdoa dan berharap SEBAYU terus maju jaya, biar siapapun pengganti saya nanti. Pengetua datang dan pergi, sekolah tetap teguh berdiri demi kelangsungan mendidik anak bangsa di Ulu Selama. Saya doakan Allah merahmati sekolah ini, bersama warga guru dan muridnya dengan keberkatan dan rahmat yang berpanjangan.

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah resam hidup dunia. Sampai masa dan ketika, saya diperlukan di daerah sendiri, namun kenangan di SEBAYU segar di hati.

Saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf kepada barisan penolong kanan, guru dan pelajar serta ibu bapa di kawasan Ulu Selama, andainya ada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Izinkan saya membaca seloka khas untuk Penolong Kanan dan Guru Kanan SEBAYU:

Anwar Ridzi nama diberi, mudah senyum tinggi pekerti
Mudah berbudi dan dihormati, Pengerusi surau Taman Menteri.

Haji Kamarul Baharin, PK HEM kita, kebun sawit luas melata,
Kerap melancong ke Indonesia, songkok tak lekang letak di kepala.

Cikgu Ramly penggerak koperasi, banyak idea dibawa ke sini
Kokurikulum amanah diberi, perkasakan SEBAYU di hati

Ahmad Nizam pandai bergaya, jawatannya Ketua Bidang Bahasa
Tampan rupa bijak berkata, rajin orangnya tak kira masa

Hajah Zainab mengajar Kimia, Taman Permai tempat tinggalnya
Bidang VoTek dialah yang jaga, SEBAYU tempat temu jodohnya.

Cikgu Haizan tauke durian, kekadang dibawanya buah rambutan
Ketua Bidang Kemanusiaan, mudah ketawa, susah nak hentikan.

Haji Radzuan serius orangnya, itulah pandangan kali pertama
Pabila sudah mula bicara, baru tahu, lucu juga orangnya.

Setiap pertemuan ada perpisahan, itulah adat, lumrah kehidupan
Walau pahit untuk ditelan, perjalanan hidup perlu diteruskan

Selagi hayat dikandung badan, amanah dipikul dilaksanakan
Tugas guru sepanjang zaman, menyebar ilmu dimuliakan insan

Akhir sekali,

Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan
Intai pelajar SEBAYU antara nampak, supaya tidak rindu-rinduan























No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...