Saturday, January 19, 2019

KEPRIHATINAN DERMAWAN AMAT KAMI HARGAI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya terdiam ketika mendapat maklumbalas beberapa orang ketua panitia dalam mesyuarat Bidang Teknik dan Vokasional baru baru ini. 
Mana tidaknya, pendingin hawa makmal telah rosak dan perlu digantikan, kerana  sudah sampai hayatnya dan tidak mampu dibaiki. Ia mula digunakan semasa makmal beroperasi sejak 2001. Haba panas daripada PC dan keadaan bilik yang tidak bertingkap menyebabkan pelajar dan guru kepanasan apabila berada di dalamnya.

Di Bengkel Jahitan, mesin jahit dimaklumkan  rosak 10 daripada 14 unit yang dibekalkan. Mesin jahit juga perlu penggantian nampaknya. Ligat kepala memikirkan, di mana nak dapatkan peruntukan. Peruntukan Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP) juga sudah tidak diberikan oleh KPM mulai 2019. Ia cabaran yang perlu dilalui oleh semua sekolah seluruh negara.

Saya luahkan di media sosial, dengan harapan bekas pelajar dan dermawan sudi memberikan sumbangan. Saya tak bertepuk sebelah tangan. Respons ramai dermawan terutama bekas pelajar SMK Batu Sepuluh, ingin membantu kami. Seorang sahabat saya, terus mengesahkan sumbangan RM1000 untuk dua unit mesin jahit, sebagai infak untuk arwah anakandanya yang telah tiada. Terharunya saya dengan sikapnya. 

Ada juga yang menghubungi saya melalui panggilan, WhatApps, dan datang sendiri menyerahkan sumbangan. Seorang bekas pelajar bertemu saya, berbisik lalu menyerahkan sumbangan peribadi untuk membeli mesin jahit. 
"Ini yang mampu saya berikan, cikgu. Doakan saya murah rezeki." Katanya semasa menyerahkan sampul berisi wang.
Apabila dibuka, ada RM300 di dalamnya.

Ada juga yang terus memasukkan sumbangan mereka ke akaun PIBG untuk tujuan yang sama. Malah, ada yang bertindak sebagai bendahari sementara, mengutip sumbangan bekas rakan rakan sekelas, dan menyerahkan sumbangan yang terkumpul ke akaun yang diberikan.

Allahuakbar, rasa sebak dan terharu itu, saya kongsikan di sini. Dengan sumbangan yang ada sehingga kini, kami dapat membeli 6 unit mesin jahit, untuk digunakan oleh pelajar sekolah.

Terima kasih kepada para dermawan yang sudi memberikan sumbangan ini. Moga infak tuan puan dapat saham akhirat. Teruskan menyumbang, demi pembangunan sekolah yang kita sayangi. 
Mustaqim dan Umi, datang bertemu saya untuk menyerahkan sendiri kutipan sumbangan

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...