Wednesday, March 27, 2019

TEMPOH SIBUK MEMBESARKAN ANAK ANAK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Entah mengapa saya merindui detik detik melihat anak-anak ketika mereka kecil, pada usia antara 1 hingga 10 tahun. Ia satu tempoh masa yang begitu sibuk untuk kami suami isteri, membesarkan anak seramai 6 orang, yang beza jarak umurnya antara 1 dan 2 tahun. Anak yang sulung, (kakyong), lahir pada 1998, diikuti abangah (1999), abang yang (2001) ude (2002) abangcik (2004 dan si bongsu Nuha pada 2006.

Kami tidak mempunyai pembantu rumah, tetapi ada orang tempatan membantu mengasuh anak anak ketika kami bekerja. Kebetulan kami pula tinggal di rumah warden, tentulah masa saya sibuk dengan urusan menjaga pelajar asrama. Pada hujung minggu, kami bawa anak anak ke rumah mak ayah di DSK. Setiap awal bulan, peruntukan yang agak banyak juga disimpan untuk kos susu dan lampin pakai buang.

Saban hari, melihat anak anak membesar di hadapan mata, adalah satu anugerah. Ia satu tempoh yang memenatkan, menyeronokkan, menjengkelkan dan adakalanya saya terfikir hari ini, bagaimana kami boleh melalui tempoh masa yang cukup memenatkan itu?

Kini, segalanya semakin jauh ditinggalkan. Anak anak yang dahulunya suka mendengar celoteh saya bercerita, sering menempel di lengan ketika saya terbaring, selalu menaiki motor buruk arwah ayah mengelilingi kawasan taman, sudah semakin dewasa.

Apabila merindui kenangan itu, saya tengok semula klip video, foto dan berbual bersama isteri, dan kami ketawa bersama mengenangkan peristiwa abangah tersembam hingga luka di keningnya kerana cubaan menangkap kelkatu, kakyong jatuh bersama 'walker' pada pagi raya, serta seribu satu kisah perangai anak anak semasa mereka kecil dahulu.

Kenangan akan terus terpahat di dalam hati.

Kalau tuan menanam ubi,
Tanam bersama daun mempelas;
Kalau sudah menabur budi,
Jangan diharap ia dibalas

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...