Friday, December 6, 2019

PERTUKARAN KERJAYA, BUKAN SESUATU YANG ANEH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Acapkali kita bertemu dengan rakan lama, yang dahulunya mungkin bekerja di dalam sektor kerajaan, kemudian telah bekerja di sektor swasta, atau bekerja sendiri.

Pertukaran dalam kerjaya, bukanlah sesuatu yang aneh, terutama apabila melibatkan kebarangkalian kos hidup yang meningkat, minat individu atau peluang di hadapan mata.

Saya pernah bertemu dengan seorang pemuda, yang menamatkan 'housemanship' sebagai seorang doktor sebelum masanya. Dia tidak mampu berdepan dengan situasi dunia perubatan yang memerlukan komitmen tinggi. Mungkin juga kerana tiada minat, akhirnya masa belajar dan kos belajar perubatan, hangus begitu sahaja. Namun begitu, dia selesa dengan dunia baharunya.

Seorang bekas pelajar saya, tidak meneruskan kerjaya sebagai juruteknik komputer, sebaliknya memilih bidang jualan insurans takaful sebagai punca pendapatan. Hari ini dia boleh berbangga dengan usahanya.

Rakan saya, seorang guru dan menyambung pengajian di universiti, akhirnya memilih bidang penyiaran sebagai kerjaya selepas hampir 20 tahun menjadi pendidik.

Dalam hidup ini, setiap insan mempunyai sasaran dalam hidup. Adakala kepuasan kerja dan laba yang diterima, tidak seiring, menyebabkan mereka melakukan dua atau tiga kerja. Dalam masa yang sama, minat kepada pekerjaan asal semakin menurun. Pada penghujungnya, mereka memutuskan tidak lagi meneruskan kerjaya awal, dan memilih kerjaya baharu yang lebih sesuai dengan jiwa.

Banyak faktor yang mendorong manusia mengubah kerjaya. Antaranya desakan hidup. tanggungjawab terhadap keluarga dan pelbagai lagi sebab lain.

Apa pun alasannya, pertukaran kerjaya tidak boleh dielakkan. Manusia mempunyai daya pemikiran, kreativiti dan kemampuan untuk berubah. Perubahan mendorong manusia memikul cabaran lebih besar dalam hidup. Ada kala perubahan kerjaya membawa kepada kebaikan. Ada juga sebaliknya.

Usah bimbang dengan perubahan dalam kerjaya. Sebaliknya, percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Yang penting, setiap pekerjaan yang kita lakukan, harapkan redha Allah dalam kehidupan.  

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Tun Daim Zainuddin, mantan menteri k...