Wednesday, May 20, 2020

PENGAJARAN KISAH PEMUDA YANG MEMEGANG JANJI DIQISAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika Khalifah Umar dan para sahabat sedang bermusyawarah di bawah pokok kurma, tiba tiba beliau didatangi dua orang pemuda sambil mengapit seorang pemuda yang diikat tangannya. Lalu seorang daripada pemuda itu berkata, "Wahai Khalifah, tegakkanlah keadilan buat kami."

Umar terkejut, lalu bertanya apakah yang berlaku. Kedua-dua pemuda tersebut merupakan adik beradik, manakala yang terikat tangannya adalah pembunuh ayah mereka. Mereka mahukan pembunuh tersebut dihukum mati mengikut hukuman Qisas.

"Unta lelaki ini merosakkan tanaman ayahku, lalu ayahku bunuh unta itu kerana ayahku marah kebunnya dirosakkan. Pemuda ini kemudiannya membunuh ayahku yang telah tua." kata pemuda pertama.

"Benarkah tuduhan terhadap kamu?" Tanya Umar kepada pemuda yang tangannya diikat.

"Benar, wahai khalifah." Kata pemuda tersebut dengan perlahan.

"Aku datang daripada sebuah tempat pedalaman yang jauh dari sini, memikul amanah kaumku, untuk menyelesaikan satu urusan. Setibanya aku di satu tempat, aku ikat untaku untuk berehat sebentar. Tidak lama selepas itu, aku kembali ke tempat untaku, tetapi ia tiada di sana. Aku mencarinya, lalu menemui seorang lelaki tua membunuhnya dan sedang melapah dagingnya." dia bercerita.

"Lalu aku sangat marah dengan tindakannya, aku hunuskan pedang lalu kubunuh dia. Aku menyesali perbuatanku yang dihasut oleh syaitan ketika aku marah," Kata pemuda itu lagi.

Pemuda itu bersedia menerima hukuman. Khalifah bersimpati tetapi keadilan perlu ditegakkan. Manakala kedua dua lelaki adik beradik tersebut tetap mahukan nyawa dibalas nyawa.

"Wahai khalifah, jalankanlah hukuman untukku. Tapi aku memohon satu permintaan." Kata pemuda tersebut.

Dia menceritakan urusan kaumnya belum selesai. Dia harus pulang dan diminta penangguhan hukuman selama 3 hari sebelum hukuman qisas dijatuhkan. 

"Siapakah yang akan menjamin kamu kembali ke sini? Adakah kamu mempunyai rakan, atau saudara mara di sini, yang boleh menjamin kau tidak mungkir janji? Tanya khalifah Umar kepadanya.

Tidak ada orang mengenalinya, malah dia juga tiada saudara di Madinah. Namun, tiba tiba Salman al-Farisi datang dan menjamin pemuda tersebut, agar pemuda itu dapat menyelesaikan urusan amanah kaumnya terlebih dahulu sebelum menjalani qisas.

"Biarlah aku menjaminnya," Kata Salman.

Khalifah Umar terkejut, dan marah kepada Salman, kerana Salman tidak mengenali pemuda tersebut. Andainya dia berbohong dan melarikan diri, tentu nyawa Salman menjadi galang gantinya. Namun Salman tetap yakin pemuda itu memegang janjinya. Pemuda tersebut dilepaskan dan diberikan masa 3 hari seperti yang dimintanya. 

Pada hari ketiga selepas kejadian tersebut, semua orang di kota Madinah menanti kesudahan peristiwa tersebut. Pemuda yang dihukum bunuh masih tidak kelihatan selepas pulang ke kampungnya. Semua orang bimbang dan gelisah, apakah Salman akan menjadi ganti kepada hukuman qisas pembunuhan tersebut.

Lewat petang sebelum matahari terbenam, akhirnya kelihatan tubuh pemuda tersebut berjalan terhuyung hayang dari kejauhan. Apabila sampai di hadapan khalifah, dia menceritakan kejadian yang menimpanya.

"Maafkan aku wahai Amirul Mukminin. Rupanya urusan kaumku mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan. Sebaik sahaja selesai, aku terus memecut dengan kudaku ke sini, tetapi ia keletihan sebelum tiba di sini, dan kutinggalkan ia di dalam perjalanan. Aku berlari sehinggalah aku sampai juga ke sini." katanya.

"Mengapakah engkau masih datang ke sini, menghantar nyawamu, sedangkan engkau boleh sahaja lari menyelamatkan diri?" Umar bertanya kepadanya. 

Lalu dijawab pemuda itu, "Aku datang kembali ke sini, agar jangan ada yang mengatakan dalam kalangan Muslimin, tiada orang yang berpegang kepada janjinya." katanya sambil tersenyum kepada khalifah Umar.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut terus bertakbir dan menangis. Khalifah berasa terharu dengan kesungguhan pemuda tersebut. 

Mata Umar berkaca-kaca, sambil menahan sedihnya, lalu ia bertanya kepada Salman, "Mengapa engkau bersungguh-sungguh untuk menjamin orang yang baru sahaja engkau kenal, wahai Salman?”
Lalu Salman menjawab, “agar nanti jangan sampai dikatakan, di kalangan Muslimin, sudah tidak ada lagi rasa saling percaya dan mau menanggung beban saudaranya.”

Mendengar jawapan Salman, khalayak yang menyaksikan peristiwa itu bertakbir lagi sambil menangis dan terharu dengan sikap Salman yang tulus.

Dua orang pemuda yang menuntut keadilan terhadap ayahnya tiba tiba melaungkan, "Saksikanlah wahai muslimin, kami telah memafkan saudara kami itu!" Kata mereka sambil menangis dan berulangkali melaungkan takbir.

Orang ramai menjerit kegembiraan. Khalifah Umar terkejut dan bertanya,  "Apakah maksudnya semua ini?"

"Agar nanti jangan sampai dikatakan, di kalangan Muslim, sudah tiada lagi orang yang mahu memberi kemaafan kepada saudara seagamanya." Kata seorang daripada pemuda itu.

Pengajarannya, sikap berbaik sangka dan memafkan kesalahan orang lain boleh menjadikan hubungan ummah kuat dan padu.    



No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...