Monday, November 23, 2020

BERTUKAR TEMPAT BERTUGAS DI SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Agak lama juga bertebaran khabar kononnya saya bakal digerakkan ke sekolah lain di Manjung. Ada rakan yang memaklumkan saya akan ke SMK Pangkor. Ada juga yang memberitahu saya perlu bersedia ke SMK Pantai Remis. Sebagai penjawat awam, saya tentunya akur dengan apa jua arahan yang ditetapkan oleh pihak atasan.

Akhirnya khabar angin tersebut terjawab selepas pertemuan bersama tuan PPD Manjung diadakan pada petang Rabu 11/11/20. Ketika sedang mempengerusikan mesyuarat pengurusan, saya menerima panggilan daripada En. Rosman, pegawai di PPD Manjung.
"Datang petang ini, jam 2.30 petang. Ada pertemuan dengan tuan," katanya ringkas.
Usai menerima surat arahan pertukaran, muktamadlah saya ditempatkan di SMK Pangkalan TLDM Lumut mulai 9 November 2020. Patah tumbuh hilang berganti, saya redha dengan ketentuan Allah. Di tempat baharu, tentu cabarannya juga baharu.

Lebih 20 tahun saya memikul amanah sebagai warga pendidik di sini. Daripada bujang, sehinggalah mempunyai 6 orang cahaya mata. Daripada guru biasa, merangkak ke Guru Kanan Bahasa, kemudian sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, dan memikul amanah sebagai Penolong Kanan HEM, di sekolah inilah saya menimba pengalaman.
Banyak kisah suka duka di sini. Ia menjadi satu kenangan tersimpan kukuh di hati. Terima kasih kepada warga SMKBS Lekir yang menerima kehadiran saya selama dua tahun dua bulan, menerajui SMKBS sehingga hari terakhir. Saya senang sekali dengan suasana di sini. Saya mendoakan agar urusan tuan puan dipermudahkan. Insyaallah ukhuwah yang terbina daripada keikhlasan hati akan terpelihara.
Apa diuji dalamnya paya,
Landai tidak tohor pun bukan.
Apa dipuji kepada saya
Pandai tidak masyhur pun bukan.
Bukan senang melerai selasih,
Selasih sudah bercampur arang,
Bukan senang bercerai kasih
Kasih di SMKBS bercampur sayang.
Tinggi bukit gilang- gemilang,
Air laut tenang- tenangan,
Budi semua manakan hilang,
Itu menjadi kenang- kenangan.
Puas saya menanam ubi,
Janganlah halia diminta orang,
Puas saya menanam budi,
Janganlah hina di mata orang. SMKPTLDM, suasana baharu, cabaran baharu

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...