Monday, May 3, 2021

TAN SERI ABDUL HAMID BADOR: IGP YANG BERANI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam ucapan terakhirnya sebagai KPN, mencadangkan supaya Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya harus diterajui oleh individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim dilantik menduduki jawatan itu.

Abdul Hamid yang bersara pada Isnin 3 Mei 2021, menegaskan menteri sebagai Pengerusi SPP, juga tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menteri sepatutnya menumpukan perkara berkaitan dasar, bukan terbabit dalam urusan pertukaran pegawai.

"SPP amat penting dan tidak boleh bermesyuarat selama satu dua jam sahaja kerana berpuluh-puluh kes tatatertib masih tergantung," katanya dalam sidang media terakhirnya dengan media di Bukit Aman, semalam.

Abdul Hamid berkata, ia bukan semata-mata soal kuasa, sebaliknya perkara itu perlu untuk KPN menentukan siapa yang boleh dilantik kerana berada bersama-sama pasukan polis setiap hari, berbanding menteri yang bertanggungjawab kepada banyak agensi dan jabatan.

Katanya, SPP hanya bermesyuarat empat kali setahun dan tidak memiliki sebarang pejabat, sekali gus menunjukkan kedudukannya.

"SPP amat penting kepada PDRM kerana sekurang-kurangnya sekali sebulan mesti bermesyuarat. Ia menentukan kepentingan dan kebajikan 129,000 anggota," katanya.

"Sebelum ini, cadangan supaya SPP tidak dipengerusikan menteri turut diusahakan oleh (Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional) Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.

"Saya lihat dalam politik, rasuah berlaku merata-rata dan perbuatan mengugut itu rasuah namanya. Saya minta SPRM masuk, ambil tindakan dan jangan takut. Sudah lama rakyat tengok perbuatan itu, muak terhadap sekejap katak lompat sana-sini.

"Ia memberikan gambaran tidak baik seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang dan sesiapa pun boleh melakukan (apa sahaja) untuk membeli (ahli politik).

"SPRM jangan siasat PDRM sahaja, sebaliknya perlu menyiasat ahli politik. Kembalikan budaya politik yang sihat untuk negara kita," katanya.

Satu rakaman audio yang tular memperdengarkan perbualan telefon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pelantikan pegawai kanan polis,  yang menunjukkan betapa angguhnya menteri tersebut cuba mencaturkan kedudukan pegawai kanan polis demi kepentingan politik.

Pendedahan mantan KPN tersebut secara jelas membuktikan kerajaan harus melakukan sesuatu demi memastikan institusi polis tidak dipergunakan. Jika tiada tindakan yang sepatutnya, polis akan menjadi seperti alat kepada ahli politik yang rakus dan tamak kuasa.  

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...