Tuesday, March 29, 2022

Rasuah Di Malaysia: Isu Yang Semakin Membarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Januari 2022, laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia tahun 2021, meletakkan negara ini jatuh ke kedudukan 62, berbanding 57 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut secara langsung meletakkan imej Malaysia sangat tidak baik dalam pengurusan rasuah.

Sama ada kita setuju atau tidak, hakikat pembabitan beberapa indiidu dalam isu 1MDB, dakwaan terhadap kepimpinan negara dalam beberapa isu rasuah dan penyelewengan, termasuk kes mahkamah melibatkan pegawai kerajaan, ia membuktikan kepada kita isu rasuah di Malaysia sudah semakin tenat. 

Adalah amat malang, Malaysia mempunyai pelbagai sumber semulajadi dan potensi, semakin jauh ditinggalkan dalam bidang ekonomi, berbanding negara lain di Asia Tenggara. Kita semakin jauh di belakang Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Pengurusan sumber yang tidak seimbang, ditambah dengan isu rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik dan agensi penguatkuasa, menghambat rakyat menjadi terhimpit dan tersiksa. Kesannya, ia menjejaskan pelaburan luar ke Malaysia, memberikan persepsi negatif kepada negara dan mengakibatkan negara dipandang serong. 

Sebagai contoh, pembalakan hutan yang berleluasa, mengakibatkan banjir besar di beberapa negeri awal tahun 2022. Namun begitu, pihak berkuasa menyatakan ia berpunca daripada hujan lebat berterusan yang luar biasa. Dengan isu 1 MDB yang masih belum selesai, ditambah dengan imej SPRM yang tercalar dengan dakwaan pegangan saham oleh pegawai kanannya baru baru ini, sedikit sebanyak ia memberi konotasi isu rasuah di Malaysia semakin memburuk. 

Walaupun Islam mengharamkan rasuah, mereka yang terlibat tidak berasa bersalah melakukannya. Jika tiada usaha tuntas di peringkat kerajaan dan penguatkuasa untuk membanteras rasuah, segala perancangan negara akan menjadi sia-sia. 

Saya melihat kepimpinan Indonesia di bawah Pak Jokowi, sangat berusaha ke arah memajukan negara tersebut dan mengurangkan rasuah dalam birokrasinya. Hasilnya kini, Indonesia sekarang semakin dihormati dan disegani. Banyak pelabur asing termasuk dari Malaysia yang menanam modal di sana. Malah, beberapa syarikat pelabur asing yang sebelum ini membuka kilang di Malaysia, sudah beralih arah ke negara tersebut, kerana kos buruh yang rendah dan isu rasuah yang semakin dapat ditangani dengan baik. 

Diharapkan kepimpinan negara dapat berbuat sesuatu untuk mengatasi isu rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa dan pemimpin politik di negara ini. Buat rakyat Malaysia, janganlah memilih parti atau pemimpin yang terlibat dengan isu rasuah. Mereka tidak akan berubah sikap, kerana sekali terjebak, selamanya mereka akan terus bergelumang dengan rasuah, tanpa rasa bersalah.         

Thursday, March 24, 2022

MENJELANG RAMADAN YANG BAKAL HADIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramadan menjelma lagi. Alhamdulillah, bersyukurlah atas nikmat rezeki, kesihatan dan kesempatan yang Allah berikan, tidak terhitung banyaknya. Dalam tempoh 10 hari lagi, kita akan didatangi bulan yang penuh rahmat, berkat dan keampunan iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pada bulan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

صدق الله العظيم

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa"

Sebagai Muslim, marilah kita mengambil peluang ini menguatkan azam untuk beramal ibadah dan merebut pahala dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Antara amal ibadah yang perlu kita lakukan di bulan yang mulia ini ialah:
  1. Menambah amal ibadah umpamanya memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Qur'an, berzikir, bersembahyang fardhu berjemaah di masjid, qiamulail dan seumpamanya.
  2. Mendalami ilmu agama khususnya dalam perkara ibadah puasa seperti hukum-hukum puasa dan adab-adabnya. Antara adab-adab tersebut adalah seperti menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa seperti menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.
  3. Memperbanyakkan amal bersedekah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن عبدالله بن عباس كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون فى رمضان، حين يلقاه جبريل، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان، فيدارسه القرآن، كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة (رواه الإمام البخاري)

Maksudnya:

Daripada Abdullah bin Abas, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ialah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan disaat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam di bulan Ramadhan untuk mengajarkan Al-Qur'an. Kedermawanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam melebihi angina yang berhembus.

Berpuasa juga meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan. Ini kerana, dengan tubuh badan yang sihat akan memudahkan kita menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain seperti solat sunat Terawih, qiamulail, membaca Al-Qur'an, iktikaf dan sebagainya. Antara perkara-perkara kesihatan yang perlu dititikberatkan semasa di bulan Ramadhan ialah:

Pertama: Memilih dan menyediakan makanan daripada sumber yang halal dan bersih. Bagi mereka yang terlibat dalam penyediaan dan pengendalian makanan, sama ada untuk kegunaan sendiri atau berurus tenaga. Pastikan makanan itu hendaklah daripada sumber yang halal lagi baik dan bukannya dari sumber yang syubhah. Ingatlah kepada peniaga-peniaga bahawa tujuan berniaga bukan sahaja untuk mengaut keuntungan akan tetapi lebih utama adalah untuk mencari keberkatan rezeki hasil perniagaan tersebut.

Kedua: Mengamalkan makanan yang seimbang dan bersederhana. Membanyakkan meminum air putih dan kita juga disunatkan bersahur bagi mendapatkan keberkatan.

Ketiga: Meneruskan aktiviti-aktiviti harian yang menjerus kepada kegiatan fizikal seperti senaman ringan dan sebagainya mengikut kemampuan masing-masing kerana ibadah puasa bukan penghalang untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja harian tersebut.

Keempat: Berpuasa merupakan satu latihan yang amat berfaedah untuk mengatasi tabiat merokok dan perokok-perokok boleh mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk berazam berhenti merokok. Agama Islam melarang keras umatnya dari melakukan apa jua perkara yang boleh membinasakan diri.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 195:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

صدق الله العظيم

"Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu sahaja menjerumus diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan"

Menjelang 1 Ramadhan ini, marilah kita sama-sama membuat persiapan dengan sebaik-baiknya sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Ambilah peluang di bulan ini, dengan melipat gandakan amal ibadah dan mengamalkan cara hidup sihat. 

Isilah ruang dan masa yang ada dengan melakukan perkara-perkara kebajikan kerana belum pasti pada tahun yang akan datang, kita dipertemukan lagi untuk menikmati bulan Ramadhan. 

Semoga dengan tibanya Ramadhan pada tahun ini, kita akan dapat melaksanakan amal ibadah dengan sempurna dan diterima serta mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Ahlan wa sahlan, Ya Ramadan.

Friday, March 18, 2022

PERANG RUSSIAN-UKRAINE MEMBERI KESAN LANGSUNG KEPADA BEKALAN MINYAK DUNIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Di tengah-tengah Perang Rusia-Ukraine yang berlanjutan hampir sebulan sejak 24 Februari lalu, dunia Eropah dan AS mula menerima kesan kenaikan harga minyak yang menjadi bahan api utama sektor ekonomi. Eropah sebenarnya menerima 40%  bekalan minyak daripada Russia. Sudah pasti sekatan ekonomi yang dilakukan terhadap Russia, menjejaskan pengeluaran minyak dan bekalan ke benua tersebut.  

AS pula mempunyai hubungan yang tidak stabil dengan Arab Saudi, sejak Putera Mahkota Muhamad bin Salman mendominasi pemerintahan negara pengeluar minyak terbesar dunia itu. Sejak beberapa tahun lalu, hubungan AS-Arab Saudi sedikit terjejas, akibat beberapa dasar dan keputusan AS yang tidak berpihak kepada Arab Saudi.

Riyadh kini menunjukkan minat untuk menyumbang ke arah memajukan proses de-dolarisasi ekonomi dunia. Selama ini urusniaga minyak ditentukan melalui USD, dan ia lebih banyak membawa keuntungan kepada AS. Menurut laporan baru-baru ini, kerajaan Saudi sanggup berdagang minyak dalam mata wang Yuan China. Langkah ini tentu menjadi tamparan hebat terhadap kuasa kewangan Amerika, yang menjadikan matawang USD sebagai asas keselamatan monetarinya.

Menurut Wall Street Journal (WSJ), dalam artikel yang diterbitkan pada hari Selasa, 15 Mac, Riyadh sedang mempertimbangkan untuk memperdagangkan jualan minyaknya dalam Yuan China. Ia juga memaklumkan bahawa pelan penetapan harga sedemikian telah dibangunkan selama enam tahun, dan dipercepatkan baru-baru ini sebagai reaksi terhadap tekanan kuat yang dikenakan oleh kerajaan Biden terhadap Arab Saudi. 

Hubungan AS dengan Arab Saudi juga telah berubah, dengan Biden menganggap negara teluk tersebut bukan sekutu rapat, sebaliknya hanya rakan ekonomi. Telah diketahui China adalah pengimport minyak mentah terbesar dunia dan mereka menawarkan banyak insentif yang menguntungkan kepada negara pengeksport minyak.

Seperti yang dijangkakan, kesan berita itu terhadap pasaran kewangan adalah serta-merta. Nilai Yuan luar pesisir telah meningkat dengan ketara berbanding dolar di seluruh pasaran Asia, menjana banyak jangkaan pelaburan dalam mata wang China. Kesannya dijangka lebih besar dalam beberapa minggu akan datang, memandangkan konflik ketegangan Eropah Timur dan konflik semasa, Riyadh mempunyai senario yang ideal untuk mendedahkan kepada umum dan memajukan langkah-langkah kewangannya bagi mengurangkan dolar tanpa menunggu senario yang semakin memburuk.

Malah, percaturan Arab Saudi kelihatan menarik dan mempunyai nilai ekonomi yang strategik pada masa ini. China membeli lebih satu perempat daripada eksport minyak besar-besaran Riyadh dan sejak 2018 telah menawarkan satu siri kontrak berharga yang lumayan. Tambahan pula, kerjasama nampaknya semakin meningkat dalam kedua-dua arah. Sebagai contoh, Saudi Aramco milik kerajaan mengumumkan minggu lepas bahawa ia akan membantu membina penapisan minyak baharu di timur laut China dengan kapasiti untuk mengeluarkan 300,000 tong sehari. 

Nampaknya, Beijing melihat Riyadh sebagai sekutu tenaga utama untuk projek Inisiatif Belt and Road (BRI), dan, sebaliknya, Riyadh melihat BRI sebagai peluang besar untuk pelaburan jangka pendek yang menguntungkan. Dalam pengertian ini, penetapan harga dalam Yuan akan menjadikan hubungan kedua dua negara ini semakin dominan dalam kerjasama ekonomi dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mengurangkan kebergantungan terhadap standard USD.

Jelas sekali, di sebalik kepentingan ekonomi, kita tidak boleh mengabaikan aspek geopolitik yang terbina dalam hubungan ekonomi yang semakin padu antara kedua dua negara. Pentadbiran AS di bawah Biden, nampaknya selesa mengekalkan pendirian tidak mesra Saudi. Contohnya tahun lalu, Biden menghentikan sokongan AS untuk kempen Saudi terhadap pemberontakan di Yaman. Biden mengekalkan pendirian menganggap Arab Saudi rejim yang tidak demokratik, yang melakukan kempen ketenteraan yang ganas terhadap pemberontak Houthi. 

Konflik di tanah Ukraine juga menambahkan kemelut ukuran dagangan ini, kerana terdapat trend global ke arah multipolarisasi pada beberapa peringkat, termasuk ekonomi dan kewangan. China menentang boikot ekonomi ke atas Rusia. Malah China meningkatkan perkongsiannya dengan Moscow, dan penggunaan Yuan adalah penyeleaian jangka pendek kepada sekatan barat terhadap Russia. Barat mungkin melaksanakan langkah paksaan terhadap Beijing agar tidak membantu Russia. Jadi, Arab Saudi memanfaatkan situasi ini untuk mengukuhkan laluan pasaran baharu, dengan harga dagangan dalam Yuan, sekaligus memenuhi kepentingan China, negara rakan kongsinya – termasuk seluruh BRI – dan BRICS. 

Dengan senario global hari ini, Barat akan berdepan  wujudnya berbilang piawaian monetari, tanpa ruang lagi untuk bergantung  kepada Dolar Amerika. Tidak dapat dinafikan bahawa dolar akan bersaing dalam urus niaga antarabangsa, bukan sahaja dengan Yuan, tetapi juga dengan mata wang lain dan aset digital, seperti mata wang kripto. 

Jelas sekali, Washington perlu menilai semula hubungan baik dengan Riyadh pada masa hadapan, agar tidak kerugian, seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Monday, March 14, 2022

PESANAN DAN NASIHAT SHEIKH ABDUL KHOLIQ ASSUWADI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada hari Ahad 1 Mac 2022, jemaah surau Nur AlHidayah, Batu 10 Lekir bepeluang mendengar kuliah subuh khas yang disampaikan oleh seorang ilmuwan dari Yaman, iaitu Sheikh Abdul Khaoliq Assuwadi. Beliau menyampaikan takzirah dalam bahasa Arab, dan diterjemahkan oleh ustaz Ismail Satimin, mudir sekolah pondok Kampung Permatang.

Antara isi nasihat dan pesanan beliau adalah:

1. Kita perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai muslim. Ia adalah anugerah Iman dan Islam yang sangat berharga.

2. Dalam satu hadis Nabi s.a.w, bermaksud, barangsiapa yang mengetahui kelebihan solat subuh dan Isyak secara berjemaah, pasti dia mendatanginya walaupun terpaksa merangkak. Ini bermakna kelebihan solat subuh dan Isya' berjemaah sangatlah besar ganjarannya

3. Pada zaman Rasulullah, orang orang munafik sangat sukar mengerjakan solat Isyak dan subuh berjemaah, walaupun mereka mengetahui kelebihannya. Untuk membezakan muslim dengan munafik, adalah solat subuh dan Isyak berjemaah.




4. Solat menjadi kunci utama hisab amalan di akhirat nanti. Allah akan menerima amalan lain daripada hamba-Nya, jika mereka menjaga ibadah solat.

5. Muslim pada akhir zaman perlu menjaga khusyuk dalam solat. Hati yang kotor dengan maksiat, akan menyukarkan seseorang khusyuk semasa mengerjakan solat. Bersihkan hati, dan fahami setiap zikir dan bacaan dalam solat, supaya dapat lebih khusyuk dan fokus kepada ibadah.

6. Sahabat Nabi menikmati kelazatan dalam solat sehingga tidak terasa sakit ketika ditusuk panah musuh dalam masa peperangan. Itulah hebatnya ketinggian iman para sahabat terdahulu.

7. Dikisahkan bahawa ada seorang abid yang bermusafir dengan dagangannya. Dalam perjalanan, sekumpulan perompak datang untuk merampas dagangannya, manakala mereka bercadang abid itu akan dibunuh. Sebelum dibunuh, dia meminta izin solat dua rakaat. Ketika dalam solat tersebut, dia bersungguh-sungguh meminta Allah menyelamatkannya, lalu permintaannya dimakbulkan. Allah menurunkan malaikat yang memancung semua perompak yang berniat jahat terhadapnya. Begitulah hebatnya doa bagi orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk.

8. Kita sudah berada pada bulan Syaaban. Tidak lama lagi bulan paling mulia, iaitu Ramadhan akan hadir. Bersediakah kita untuk mencari pahala pada Ramadhan ini? Perbanyakkan ibadah dan amalan pada bulan Syaaban, sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan Ramadhan.

KESIMPULAN:

Jagalah ibadah solat dan laksanakan sebaiknya. Raikan kedatangan Ramadhan dan buatlah persediaan dengan memperbanyakkan amalan solat sunat, sedekah, baca Quran pada bulan Syaaban. Semoga Allah mempertemukan kita dengan Ramadhan ini dan yang akan datang.

Untuk lebih mendapat penjelasan, datanglah ke majlis ilmu di surau kita. Insyaallah, tidak rugi mendapat ilmu daripada para asatizah yang menyampaikan kuliah.


Terima kasih

Wednesday, March 2, 2022

PERANG RUSSIA TERHADAP UKRAINE

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila Russia memulakan tindakan ketenteraan terhadap jirannya, Ukraine pada Khamis 24 Februari 2022, seluruh dunia menjadi kaget. Ini kerana Russia meruapakan negara berkuasa nuklear yang tentu mempunyai kecenderungan menggunakannya jika terdesak. 

Dari segi sejarah, Ukraine adalah sebahagian dari Kesatuan Soviet (USSR) dan mendapat kemerdekaan selepas kesatuan tersebut berkubur pada 1991.  Sebelum ini hubungan kedua-duanya adalah baik, memandangkan presiden Ulraine sebelum itu adalah pro-Moscow. Kemudahan dan pangkalan tentera peninggalan USSR banyak diserahkan kepada Ukraine. Pada 2014, rakyat Ukraine mendesak penyertaan negara tersebut dalam Kesatuan Eropah. Ini bertujuan memperbaiki ekonomi Ukraine yang mundur berbanding negara lain. 

Pada 2019, seorang pelawak yang diangkat menjadi presiden Ukraine, Volodymir Zelensky telah memutuskan negara tersebut untuk menganggotai NATO, iaitu Pakatan Tentera Atlantik Utara, yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Russia melihat penyertaan Ukraine ini sebagai mengancam kedaulatan negara tersebut yang berjiran dengan Ukraine. 

Peperangan dan penaklukan Russia ke atas Ukraine sudah dijangka, apabila sejumlah besar tentera dan kelengkapan militari ditempatkan di sempadan Ukraine sejak beberapa bulan sebelum terjadinya peristiwa 24 Februari. 

Russia sudah dikenakan tindakan sekatan ekonomi, sukan dan seumpamanya. Namun sehingga kini, tenteranya masih berada di Ukraine. Amerika dan negara Eropah lain memberikan pelbagai ugutan dan amaran, bagi mengelakkan ia berterusan.

Namun, hanya Presiden Putin yang boleh menghentikan semua keributan ini. 

Untuk memudahkan pemahaman kita, tamsilannya seperti dalam sinopsis sinetron di bawah:



MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...